Tuesday, February 13, 2018

Jangan biarkan Jho Low lepas, bebas


MOHD ALI HASHIM

Jangan biarkan Jho Low lepas, bebas
Sebagai rakyat yang cintakan negara sudah pasti makhluk yang sedang menjahanamkan ekonomi negara ini tidak harus dibiarkan berleluasa begitu sahaja.

Atas kesungguhan bagi mempertahankan ekonomi negara daripada terus menjunam dan dirosakkan oleh makhluk-makhluk tersebut maka ‘Gerakan Anak Muda Cari Jho Low’ tetap diteruskan hingga kini.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil ketika ditemui semasa program ‘Diskusi Buruk Baik Pelaburan China ke Malaysia’ di Kampung Petani, Permatang Pauh kelmarin.

Menurut beliau lagi, mereka yang sedang menjahanamkan negara tidak mempunyai integriti dan merompak wang negara sehingga menjadikan rakyat sebagai korban.

“Jho Low adalah individu yang tidak mempunyai jawatan dalam insitusi kepentingan negara, namun begitu ia cuba diselamatkan oleh kerajaan.

“Orang yang didakwa merompak wang rakyat negara ini kini hilang entah ke mana.

“Dengan kesedaran yang ada inilah maka ‘Gerakan Anak Muda Cari Jho Low’ diteruskan kerana ia adalah simbol kerosakan negara yang penuh korupsi,” ujarnya lagi.

Malah kata Faiz, usaha bagi mengesan Jho Low tidak akan terhenti begitu saja, beliau juga tidak akan dibiarkan terus mengebas wang rakyat, bebas dan lepas sehingga merosakkan ekonomi negara.

“Persoalan yang timbul kenapa kerajaan pimpinan Najib tidak berani untuk mengekstradiksi Jho Low ke negara ini.

“Sewajarnya Najib mengambil tindakan segera bagi membawa pulang Jho Low ke negara ini setelah pelbagai pembongkaran didedahkan.

“Ia mesti diheret ke muka pengadilan tanpa ada tangan-tangan ghaib yang cuba melindunginya,” jelas Faiz Lagi.

Tegas beliau lagi, kes yang melibatkan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dalam isu kehilangan tanah Felda juga semakin sunyi dan sepi.

“Ia tidak didakwa dan wujud pelbagai persepsi negatif rakyat terhadap sistem keadilan yang cuba dilaksanakan membabitkan pimpinan kerajaan.

“Begitu juga kes melibatkan Mara yang mengaitkan urus niaga apartment di luar negara yang masih dipertikaikan hingga kini.

“Sekiranya individu seperti Jho Low dibiarkan bebas lambat laun ramai lagi Jho Low yang rosakkan negara akan dilahirkan,” tambahnya.

Oleh kerana itu katanya, negara ini perlu diselamatkan dengan segera dari pimpinan rasuah dan korup dibawah pemerintahan Najib kini.

“Membiarkan Najib, Umno-BN berkuasa, maka negara akan lebih korup dengan pelbagai skandal dan penyelewengan.

“Tiada tindakan konkrit untuk mengheret pimpinan Umno yang rasuah, sebaliknya menjadikan pimpinan pembangkang yang membuat pendedahan sebagai kambing hitam.

“Keadilan tercemar dan terus dinodai sehinggakan yang bersalah dan ketara penyelewengannya cuba dinobatkan sebagai juara untuk mengaburi mata rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment