Tuesday, February 13, 2018

Tidak halang BN, rakyat lagi teruk dibebani kos sara hidup

ARIF ATAN

https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2016/10/UMNOBN-e1464227547794-500x334.jpg
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad bimbang rakyat akan menanggung lebih banyak beban kos sara hidup jika membiarkan Umno-BN berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menurutnya, tiada sebab lagi untuk pengundi memberi kemenangan kepada rejim kleptokrasi itu pada pilihan raya nanti dengan rekod lambakan hutang yang mencecah RM800 bilion pada masa ini.

“Kalau dia (BN) menang pilihan raya, tidak mustahil bila duit sudah tidak ada, hutang semakin banyak, bayaran hutang semakin besar.

“RM800 bilion (hutang negara) iaitu RM800 ribu juta sekarang ini,” tegasnya dalam Forum Muafakat Rakyat di Gombak kelmarin.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan hutang negara boleh mencecah RM1 trilion sekali gus akan menjejaskan kualiti hidup rakyat akibat pelbagai tindakan termasuk penarikan lebih banyak subsidi barangan keperluan.

“GST (cukai barang dan keperluan) dan hutang akan naik. Semakin banyak (subsidi) akan ditarik balik. Segala bantuan, biasiswa akan ditarik balik.

“Kalau RM1 trilion iaitu satu juta juta, nak bayar, bagaimana? Kalau kita tidak hentikan dia, jadi lagi teruk dalam keadaan dia mendakwa GST bagus.

“Walaupun semua kata (GST) tidak baik, dia masih kata GST enam peratus itu bagus. Kalau bagus, 10 peratus lagi bagus,” sindirnya.

Mengulas dakwaan kerajaan sebelum ini bahawa pinjaman akan diteruskan selagi mampu dibayar, Khalid berkata, hal tersebut memang boleh dilakukan tetapi akibatnya tetap memangsakan rakyat.

“Kerajaan kata kita akan terus meminjam selagi kita boleh bayar. Ini sikap dia. Rating masih bagus, A-, hutang kita bayar. Selagi mana kita boleh bayar kita akan terus meminjam.

“Sepatutnya, kerajaan kata kita boleh bayar tanpa menjejaskan kos hidup rakyat. Ini selagi mana boleh bayar, habis tergadai negara,” bidasnya.

Ahli Parlimen Shah Alam berkenaan juga menyifatkan dakwaan kerajaan bahawa pertumbuhan ekonomi negara berada pada tahap baik sepatutnya dapat mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan rakyat.

“Sepatutnya pertumbuhan ekonomi yang lestari menghasilkan peluang pekerjaan tapi pertumbuhan itu kerana buat pinjaman dari China, bina bangunan, buat landasan kereta api.

“Kalau kita tidak hentikan sekarang, dia tidak akan berhenti. Ini masalahnya kerana dia tak mengaku apa yang dibuat itu salah,” ujarnya.

Justeru, Khalid mengingatkan perubahan boleh dicapai jika rakyat mengundi Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 bahkan sejarah tamadun Islam juga menyaksikan perubahan kerajaan.

“Dalam sejarah Islam banyak tukar kerajaan. Tiada pun masalah. Nak bawa perubahan kita kena tamatkan cengkaman Umno ke atas pengundi Melayu. Mereka guna macam-macam cara kaum dan agama,” tambahnya lagi.

No comments:

Post a Comment