Monday, February 12, 2018

Pelbagai masalah dihadapi negara disebabkan PM sendiri, kata MP Batu Gajah

MALAYSIA DATELINE

Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar berkata, rakyat kini semakin faham bahawa masalah yang dihadapi oleh negara ini adalah disebabkan oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak sendiri.

“Nama Malaysian tercemar kerana pelbagai skandal melibatkan ketua negara yang juga merupakan Presiden parti Umno.

“PM Najib Tun Razak telah hilang sokongan rakyat. Beliau berpura-pura menampilkan watak alim di mata masyarakat, tetapi rakyat tidak boleh diperbodohkan selama-lamanya,” kata beliau dalam kenyataan medianya kelmarin.

Kata beliau, rakyat tahu tentang skandal Altantuya. Rakyat sedar mengenai skandal FELDA dan Tabung Haji. Rakyat celik dalam kes 1MDB yang melibatkan MO1.

Macam-macam lagi penyelewengan yang melibatkan PM dan kuncu-kuncunya terbongkar, jelas beliau.

Justeru tambahnya, tidak ada sebab untuk rakyat Malaysia menolak PM yang korup dan memilih seorang pemimpin yang jujur dan amanah untuk menerajui negara.

PM Najib amat khuatir tentang masa hadapan parti Umno dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain. Itulah sebabnya beliau masih tidak berani membubarkan Parlimen dan memanggil Pilihanraya Umum, tambahnya.

“Pengaruh Pakatan Harapan (PH) pula semakin menular ke seluruh pelusok negara.

“Kawasan-kawasan kubu kuat BN juga telah direntasi oleh pemimpin-pemimpin PH dengan mudah.

“Tun Dr Mahathir juga berjaya mengolah semula strategi dan dinamika politik barisan pembangkang untuk bersiap sedia melangkah masuk Putrajaya melalui PRU14,” kata Ketua Sekretariat PH Perak itu.

Menurutnya lagi, Tun Dr Mahathir merupakan seorang negarawan yang terpuji di dalam negara dan juga di arena antarabangsa.

Manakala Najib pula dikenali dunia dengan istilah kleptokrasi yang tidak pernah kita dengar sebelum ini, katanya.

“Rakyat harus membuat pilihan terbaik antara watak hitam dan watak putih dalam PRU14 nanti.

“Kita tidak boleh membiarkan negara kita terbinasa di bawah sebuah regim kleptokrat. Kita mahu melihat negara kita ditadbir dengan baik, adil dan saksama.

“Kita mahu Malaysia menjadi maju dan negara berpendapatan tinggi dalam tempoh terdekat,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment