Friday, February 16, 2018

PRU 14 : Ayuhlah kita realisasikannya!

ATRIZA UMAR

Ayuhlah kita realisasikannya!
Pilihan raya perbezaan negara kita dengan negara Arab, peluang itu kita nampak di sini. Namun di dunia Arab peluang seperti ini tidak nampak.

Kalau inginkan juga, perlulah terpaksa melalui perebutan yang dasyat, hingga mengorbankan nyawa, keluarga dan harta yang akhirnya, boleh jadi rakyat itu berpeluang atau mungkin tiada langsung dapat melihat segala apa yang diperjuangkannya itu berikutan kemusnahan dan desakan yang berlaku semata-mata untuk meraih peluang tersebut.

Sebagaimana Algeria yang menang pilihanraya, mereka ingat peluang sentiasa terbuka, tetapi tidak sama sekali. Hingga sampai satu tahap rakyat yang menentukan pemimpin, kuasa negara tidak membenarkan sebagaimana negara Mesir. Setahun selepas itu, kuasa tentera berkuasa semula dan peluang rakyat negara itu sama sekali musnah.

Bagaimana kita pandang negara kita ini? Ada kemungkinankah negara kita berpeluang untuk menukar pemerintahan? Negara kita menggunakan pendekatan sistem demokrasi.

Hanya kita perlu tambah sedikit keberanian kerana demokrasi ini mereka boleh peralatkan juga.

Justeru itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlu melihat semua faktor-faktor ini. Bagaimana kita boleh atasi dan harungi kemungkinan-kemungkinan halangan yang timbul, sehingga pilihanraya ini dilaksanakan dengan baik, telus dan amanah tanpa ada tangan-tangan kotor merosakkannya?

Melalui bacaan politik ini, kita sewajarnya memanfaatkan peluang yang dihamparkan itu. Kita semua perlu menggunakan peluang yang ada ini untuk mengujudkan perubahan di tanah air kita ini dan itulah yang kita bahkan semua rakyat Malaysia harapkan.

Bertegaslah kita dalam melaksanakan kewajipan membuang undi dalam pilihanraya 14 akan datang. Berilah peluang kepimpinan dalam parti baharu bersama rakan pakatannya, membuktikan apa yang dibicarakan mereka. Hanya kita sebagai rakyat mampu melakukannya.

Jika tidak, bila lagi kita akan dapat lihat peluang yang ada ini? Bagaimana keadaan generasi ini dan seterusnya? Tekadlah perubahan yang kita lakukan ini untuk menyelamatkan sebuah negara yang amat kita cintai dan sayangi, negara Malaysia.

Berilah peluang kepimpinan dalam parti baharu bersama rakan pakatannya, membuktikan apa yang dibicarakan mereka.

Kehadiran Islam

Persoalannya, apakah tujuan daripada kehadiran Islam itu kepada masyarakat? Ia adalah supaya kita boleh membina sejarah baru, negara baru, realiti baru iaitu kabinet orang lain, Perdana Menteri orang lain, bukan semua kepada seorang sahaja.
Tentunya, rakyat Malaysia inginkan Perdana Menteri yang mempunyai keyakinan yang tinggi dan berintegriti serta ia adalah seorang yang menang menerusi sistem demokrasi yang bersih, telus dan amanah itu.

Bersegeralah dan berusahalah kita cuba merebut peluang yang ada ini, bagi merealisasikan Malaysia Menuju Negara Rahmah agar semua menikmati situasi yang benar dan harmoni sebagaimana Islam sarankan kepada umatnya.

Sebagaimana yang diketahui, sistem dalam negara ini, bukan sebagaimana yang kita inginkan. Di mana yang patuh Syariahnya? Perkara yang boleh dipersoalkan. Sebenarnya negara kita berdiri dalam dwi-sistem sebagaimana bank pun di negara ini masih ada yang konvensional dan Islamik, fully Islamic dan ada window sahaja. Begitujuga mahkamah, terdapat mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

Namun itu tidak bermakna, kita akan mengenepikan pengalaman-pengalaman daripada ‘engagement’ kita dengan tamadun-tamadun dunia, ‘engagement’ kita dengan masyarakat antarabangsa yang pelbagai-bagai.

Tentunya, mana yang baik, haruslah kita mengambilnya, kita manfaatkan supaya kemajuan yang ingin dilaksanakan di negara ini, dapat dipercepatkan dan tidak perlulah kita juga menciptanya semula.

Sekiranya telah ada rekaan daripada orang lain, iaitu daripada pemerintahan yang sebelumnya, sewajarnya kita manfaatkan saja. Ini supaya kemajuan, pengembangan akan berlaku lebih cepat serta tidak perlulah dimulakan daripada sifar dan tentunya ia memakan masa yang sangat lama.

Terdapat pengalaman-pengalaman kemanusiaan di tempat lain, yang terlihat kebijaksanaaan mereka, yang dicetuskan menerusi perbincangan golongan pakar-pakar, dan kita sewajarnya terima sebagaimana yang dihasilkan oleh syura.

Masyarakat manusia yang menjadi ‘think tank’, pemikir, ilmuan, supaya dengan demikian, kemajuan yang dilaksanakan itu boleh berkembang dengan lebih cepat.

Umat Islam perlu melakukan perubahan dan ini adalah tuntutan Allah Subahanahu Wa Taala. Kedudukan kita sekarang ini, daripada sudut peribadinya, sebagai anggota keluarga, sebagai jiran tetangga, sebagai anak bangsa, sebagai warganegara, jadi kedudukan kita yang sebenarnya bagaimana? Tentunya kita mahukan kedudukan yang diredhai Allah Subahanahu Wa Taala. Jadi semua itu perlu ada dalam pembacaan kita.

Hal-hal negara sekarang ini adakah yang Allah redhai atau tidak? Sikap ‘international’ dulu, dengan pelbagai isu iaitu isu Rohingya, isu Syria, isu al Quds, isu Palestin dan pelbagai isu antarabangsa lainnya hinggalah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatunya, kuasa dunianya. Yang mana semua itu perlulah dengan pandangan yang patuh syariah.

Inilah keperluan-keperluan yang akan dipersoalkan kepada umat Islam. Lantaran itu, kita hendaklah bekerja untuk mewujudkan perubahan-perubahan itu.

Secara jelasnya, banyak kerja yang perlu dilakukan dan kita tidak boleh berlengah apalagi bertangguh, supaya tugasan-tugasan baru yang menjadi tuntutan ini, mampu dilaksanakan secara teratur dan sistematik.

Bagaimana sekiranya tugasan-tugasan di peringkat awal ini pun kita takut nak buat, maka peluang yang ada ini, tentunya akan terlepas begitu sahaja. Sungguh diharapkan, janganlah sampai begitu jadinya.

Jika kita tidak boleh pindah ke era baru, era negara dan kita sendiri tidak mahu berubah, jadi bagaimana kita ingin memasuki era serantau, era global? Sedangkan dalam negara, kita tidak berusaha memainkan peranan yang sewajarnya, nak ubah negara pun kita tidak boleh, bagaimana kita nak ubah yang lainnya?
Itulah langkah-langkah awal, sekiranya kita nak lakukan perubahan di peringkat dunia. Kita perlu merubah dulu negara ini ke arah yang lebih baik.

Sebab itulah, jambatan atau hubungan yang boleh berperanan ke arah peringkat nasional, iaitu berperanan mewakili Malaysia ke peringkat ‘international’ sebagai negarawan bukanlah menteri luar.
Bercakap tentang sistem ekonomi sebagai menteri kewangan, bukan sebagai pakar ekonomi , pensyarah universiti melalui ‘conference’. Jika hanya ‘conference’, ia setakat perbincangan, keputusan, dibukukan dan diletak di rak-rak universiti. Entah ada yang membacanya atau tidak.

Itulah hakikat yang perlu kita ubah dan perbaiki.

Semangat Baru

Apabila disebut zaman baharu, tahun baru, sepatutnya umat Islam telah dan sentiasa bersedia menempuh ke era baru. Kita sebagai umat Islam perlulah membawa semangat baharu dan jangan duduk di tahap lama yang tidak berubah.

Yang penting untuk masa ini, semua hendaklah faham bahawa Islam yang kita bawakan ini bukan setakat perlu digerakkan dengan ucapan sahaja, bukan setakat dengan dakwaan semata-mata, tetapi menerusi pengamalan dan kita perlu sama-sama memperjuangkannya di medan realiti iaitu lapangan umat dengan mempamerkan qudwah (contoh) yang terbaik.

Ya, kita mahukan masyarakat mempunyai tarbiah seperti kita juga. Mendapatkan Pendidikan Islam yang sebenarnya dan begitujuga mendapatkan sumber kehidupan daripada sumber yang halal. Tidak terkecuali, patuh pada syariat, sejajar dengan tuntutan ekonomi dan kewangan Islam dan yang terpenting berlandaskan apa yang Allah dan Rasul sarankan.

Tentunya, apa yang diutarakan oleh kepimpinan merupakan unjuran-unjuran untuk beralih kepada satu era baru, untuk membolehkan kita membuat perubahan dalam negara ini yang akhirnya, mempromosikan diri kita dalam realiti yang ‘interesting’. Maka dengan demikian negara ini dapat kita warnakan dengan warna yang kita inginkan iaitu Malaysia Negara Rahmah. Ayuhlah kita realisasikannya.

No comments:

Post a Comment