Wednesday, March 28, 2018

Bagaimana jika kerajaan buat berita palsu, soal Rais Yatim


Rais Yatim mempersoalkan tindakan yang sepatutnya diambil sekiranya kerajaan yang menyebarkan berita palsu menjelang pembentangan Rang Undang-Undang Anti Berita Tidak Benar di Dewan Rakyat minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2018.

MENJELANG pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar di Dewan Rakyat minggu ini, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Rais Yatim mempersoalkan bagaimana sekiranya pihak pemerintah yang membuat berita palsu.

Penasihat bertaraf menteri itu membincangkan tajuk RUU yang paling sesuai dibentangkan Barisan Nasional (BN) minggu ini melalui laman sosial medianya.

“Cuba anda pilih yang mana tajuk paling sesuai sempena BN membentangkan RUU berita palsu:

1. Rang Undang Undang Berita Palsu


2. Rang Undang Undang Anti Berita Palsu

3. Rang Undang Undang Pencegahan Berita Palsu. Saya pilih no.3

“Pendapat anda? Kalau kerajaan buat berita palsu macm mana?,” soal Rais di akaun Twitter @DrRaisYatim lewat malam tadi.



Minggu lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata kerajaan akan membentangkan RUU itu minggu ini selepas Kabinet meluluskannya.

Azalina berkata bacaan kali pertama RUU itu akan dilakukan di Dewan Rakyat pada minggu ini.

Pemimpin pembangkang berpandangan, RUU ini bertujuan untuk melenyapkan kritikan terhadap kerajaan seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mereka berkata, sekiranya benar berita berkenaan 1MDB yang disiarkan media antarabangsa itu palsu, Putrajaya seharusnya menyaman mereka.

Minggu lalu Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Johari Jailani yang berkata semua maklumat mengenai 1MDB yang tidak ada dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) adalah berita palsu.

Katanya, kes ini sudah disiasat pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Peguam Negara serta dibentangkan kepada PAC yang diwakili ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

"Cadangan PAC diterima penuh dan dilaksanakan kerajaan sepenuhnya.

"Proses rasionalisasi juga dilakukan dengan baik, sehubungan itu pihak kerajaan berpandangan selain dari maklumat yang disahkan pihak yang berkuasa yang disebutkan tadi, apa-apa maklumat yang selain darinya akan diiktiraf sebagai maklumat palsu," kata ahli Parlimen Hulu Terengganu itu di Dewan Rakyat minggu lalu.

Dalam tweetnya hari ini, Rais berkata semua rakyat Malaysia perlu meneliti RUU itu.

"Semua warga harus meneliti Rang Undang2 Anti Berita Tak Benar yg kini dibentang di Dewan Rakyat. Implikasinya amat luas termasuk terhadap kerajaan, badan, NGO dan individu. Kerja tambahan kpd PDRM dan pendakwaan.

"Tumpu kepada pemahaman dan takrif 'berita tidak benar' - apa dia?" kata Rais.

RUU itu juga mentakrifkan "berita palsu" sebagai "apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea".

No comments:

Post a Comment