Wednesday, March 28, 2018

Rafidah jawab ‘meroyan kepala bapa mereka’

 
Bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz “geli hati” dengan tindakan sesetengah pihak yang mempersoalkan ‘locus standi’ atau haknya untuk mengulas atau memberi pendapat tentang hal ehwal semasa di negara ini.

Sambil meminjam gaya bahasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika mengulas dakwaan dirinya meroyan kerana inginkan jawatan semula selepas terlibat selama lebih 52 tahun dalam kerajaan.

“Meroyan kepala bapa mereka.

"Maaflah kalau ada copyright istilah bahasa PM tersebut," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Rafidah dipercayai merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa yang membidas dirinya dan Tan Sri Rais Yatim yang dakwanya bersikap berat sebelah dalam menyuarakan isu yang berkait dengan kerajaan sekarang.

Annuar mendakwa, kedua-dua mereka kini bersuara kononnya atas nama kebenaran tetapi berkemungkinan juga mempunyai perancangan dan niat tertentu.

Mengulas lanjut, Rafidah berkata, sebagai warga Malaysia yang sanggup berkorban nyawa untuk tanah tempat tumpah darah, beliau berhak bercakap tentang apa yang benar yang melibatkan negara ini.

Malah, Rafidah berkata beliau akan terus bercakap hingga ke akhir hayatnya.

"Saya akan terus bercakap bila perlu dan wajar sehingga ke akhir hayat. Siapa yang makan cili terasalah pedasnya.

"Untuk makluman semua, saya Rafidah Aziz tidak perlu ada kumpulan ‘comms’(unit komunikasi), tidak perlu ada komplot hendak buat ‘perancangan’, tidak perlu menyokong mana-mana individu atau pihak," katanya.

Menyokong kebenaran

Menurutnya, beliau kini hanya menyokong kebenaran dan menyokong apa yang terbaik untuk negara.

"Saya gunakan fikiran saya untuk membuat penilaian dan pertimbangan tentang siapa yang berusaha untuk rakyat dan negara.

"Saya tidak pandang umur seseorang. Saya menang bertanding Majlis Tertinggi Umno dalam tahun 1975, pada umur 31 tahun.

"Allahyarham Tun Razak (bapa Najib) presiden dan perdana menteri. Masa itu Najib (Razak) baru setahun layak mengundi. Entah di mana dia pun. Di London?” soalnya.

Beliau seterusnya menghuraikan perjalanan politiknya selama 52 tahun dengan berkata dirinya menanggotai Parlimen, termasuk Dewan Negara selama 39 tahun dan bersama kerajaan selama 32 tahun.

Justeru katanya, geli sungguh hatinya mendengar ada pihak tertentu menganggap dirinya dan rakan sebaya ‘hendak jawatan’ dan meroyan.

Rafidah juga mengingatkan pemimpin supaya tidak bersifat angkuh kerana merasakan diri mereka masih muda.

"Umur, Allah SWT penentunya. Jangan pula kita mendahuluinya. Ingat bahawa semua yang muda akan tua, Insya-Allah.

"Belum tahu apa nasib seseorang bila sampai umur 40, 50, 60, 70-an, apatah lagi 90-an. Jangan bongkak kerana kita 'muda'," katanya.

Berdosa

Tidak pasti sama ada Rafidah merujuk kepada sikap sesetengah pemimpin Umno, termasuk Najib yang mempersendakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan mencecah usia 93 tahun tetapi masih mempunyai cita-cita politik.

Kata Rafidah lagi, memfitnah, menyokong yang salah, mengiakan yang tidak betul adalah berdosa.

"Tidak kira siapa yang melakukan perbuatan.Tidak kira undang-undang manusia boleh mengatasi undang-undang Tuhan yang maha berkuasa.

"Tuhan yang maha esa sahaja yang boleh mencabut nyawa kita bila-bila masa. Apatah lagi mencabut jawatan, kuasa dan harta yang tidak boleh dibawa mati," katanya.

Mengulas soal sumpah taat setianya, Rafidah menegaskan ia tidak pernah berubah kerana beliau memegang apa yang dididik oleh ibu dan ayahnya.

"Sumpah jawatan bermula dengan lafaz, wallahi, wabillahi, watallahi.

"Baik pun dalam parti atau dalam kerajaan. Saya dididik dan diajar oleh ayah dan emak saya supaya jangan sekali melanggar sumpah itu. Buruk padahnya," katanya.

Rafidah turut menitip pesanan supaya semua pihak menghentikan debat peribadi yang dipercayai merujuk kepada isu skandal 1MDB.

“Lihatlah masalah di depan mata yang satu dunia tahu dengan fakta dan bukti.

"Ada yang terlalu taksub menyokong dan menidakkan, sehingga sudah dianggap sebagai seolah-olah kepala-kepala burung unta sudah terbenam, bukan lagi dalam pasir tetapi dalam simen dan konkrit sehingga tidak lagi mampu di angkat keluar untuk melihat dan mendengar apa yang sebenarnya di sekeliling," katanya.

No comments:

Post a Comment