Friday, July 13, 2018

Elak harta wakaf diseleweng atas nama agama

Sehari dua ini kecoh cerita seorang ustaz selebriti di Perak hendak jual Sekolah Tahfiz beliau di Perak. Dengar cerita, sekolah tahfiz tersebut dibina hasil dari wakaf orang ramai.

Beliau hendak jual sekolah itu kerana beliau sudah tidak lagi mampu untuk menampung perbelanjaan pengurusan sekolah itu atas alasan telah disekat oleh kerajaan sekarang dari mengajar di masjid.

Sebenarnya kalau mengikut undang-undang, harta wakaf di Malaysia ini sepatutnya berada di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

MAIN bertindak sebagai Pemegang Amanah terhadap setiap harta wakaf. Di Perak sebagai contoh, undang-undang yang mengurus harta wakaf diperuntukkan di bawah Enakmen Wakaf (Perak) 2015.

Adakah maahad tahfiz, pondok, pusat pengajian dan rumah anak yatim yang dibina hasil daripada dana wakaf di Perak ini semuanya didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam Perak?

Itu saya tidak boleh sahkan dan saya pun tidak pasti sejauh mana undang-undang wakaf ini dikuatkuasakan ke atas harta-harta wakaf yang ada di negeri Perak ini.

Bagi saya, harta wakaf ni perlu diurus dengan baik. Kerajaan perlu ambil serius terhadap setiap harta yang dibangunkan dan diberikan melalui dana wakaf ini sebab setiap pewakaf ini mewakafkan harta mereka dengan niat untuk ibadah dan pahala, bukan sebab lain.


Kalau ada keperluan, wujudkan Jabatan khas untuk mengelola dan mengurus semua harta wakaf di peringkat negeri. Letakkan di dalamnya orang yang benar-benar berkepakaran dan berkelayakan daripada pelbagai bidang untuk menguruskan harta wakaf.

Ini penting supaya semua harta wakaf dapat dibangunkan, dimajukan dan akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat. Kalau harta wakaf ini dapat dijaga dengan baik, wakaf boleh benar-benar menjadi instrumen penting dalam memperkasakan ekonomi ummat.

Antara harta wakaf yang berjaya dibangunkan dan memberi manfaat kepada masyarakat ialah tanah wakaf di Jalan Perak yang menjadi tapak Menara Bank Islam sekarang. MAIWP yang menjadi Pemegang Amanah untuk tanah wakaf itu.

Sekiranya undang-undang yang mengurus harta wakaf ini tidak dikuatkuasakan dengan baik, dibimbangi ia akan disalahguna oleh sesetengah pihak yang menjadikan wakaf sebagai “modal” untuk mereka mengaut keuntungan peribadi.

Jadi banyaklah nanti tumbuh sekolah tahfiz dan rumah anak yatim atas nama wakaf, tetapi pengurusannya teruk dan tempatnya kotor, budak-budaknya bermasalah dan tak berdisiplin. Harta wakaf tidak berkembang, orang lain yang kaya. Ini realiti, bukan fantasi. Tolong jangan kecam!

Mengikut Enakmen Wakaf (Perak) 2015, Majlis Agama adalah Pemegang Amanah tunggal bagi semua wakaf yang terletak di negeri Perak.

Hanya Majlis Agama saja yang ada hak untuk tentukan sama ada wakaf boleh dijual atau diganti, bukan orang lain. Bagi saya, membiarkan harta wakaf di bawah pengurusan individu atau pihak yang tidak berautoriti hanya akan menyebabkan terbukanya lagi ruang penyelewengan atas nama agama demi kepentingan peribadi.

Saya harap pihak kerajaan ambil berat dan aware dengan isu wakaf ni. Kalau bekas Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Ali Hashim masih hidup, tentu beliau akan respon isu wakaf yang sedang hangat sehari dua di Perak ini.

MOHD FITRI ASMUNI
* Penulis ialah Ketua Pemuda AMANAH Perak.

No comments:

Post a Comment