Friday, July 13, 2018
Tiga puak dalam media sosial perlu kita awasi
NASUHA RAHMAN
Selepas PRU14 peranan media khususnya media sosial mutakhir ini telah digunakan oleh beberapa puak atau kumpulan di dalam masyarakat hari ini bagi menimbulkan bermacam-macam persepsi.
Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Professor Dr Abdul Muati Ahmad berkata terdapat tiga puak di dalam media sosial mutakhir ini.
Puak pertama, katanya suka mengadu domba yang menyifatkan apa yang dilakukan oleh kerajaan rakyat pada hari ini salah belaka.
“Puak ini akan cari salah kerajaan. Kalau tak ada salah pun mereka akan cipta kesalahan. Mereka sengaja beri maklumat yang tak betul. Mereka mengapi-apikan sentimen bangsa dan agama.
“Mungkin mereka harap akan berlaku kacau-bilau dalam negara dan rakyat akan bangun menentang kerajaan Tun M ini,” katanya.
Umpamanya, tambah beliau dalam kes pelantikan Peguam Negara (AG) mereka sengaja membangkitkan isu AG baharu ini bukan Islam dan bukan Melayu.
“Saya yakin mereka tak faham pun tentang institusi AG ini dalam konteks negara kita. Tapi yang mustahak bagi mereka bakarkan kemarahan rakyat. Begitu juga dalam kes JAKIM. PM tak sebut pun nak tutup JAKIM. Tapi mereka bangkitkan isu kononnya PM nak tutup JAKIM supaya orang Islam marah kepada PM dan kerajaan.
“Mujur juga Allah tak izinkan jarum mereka menusuk pemikiran rakyat Malaysia. Tapi kita kena hati-hati dengan puak pengadu domba yang berniat jahat. Jangan percayakan puak ini malah ‘unfriend’ saja mereka. Tak ada manfaatnya pun,” ujarnya.
Puak kedua pula katanya, puak yang berlagak tahu hakikatnya mereka tidak tahu dan tidak faham isu tetapi berlagak faham.
“Umpamanya dalam kes pelantikan AG baharu ini. Puak ini kononnya mengatakan dalam perlembagaan dinyatakan kena lantik orang Melayu/Islam sebagai AG. Padahal tak pernah ada pun peruntukan sedemikian dalam Perlembagaan.
“Saya tak pasti perlembagaan mana yang mereka rujuk. Bagi saya puak ni tak pernah baca pun perlembagaan. Biasanya puak ini bukanlah jenis yang suka mengkaji dan membaca. Mereka hanya petik sepotong dua ayat daripada Facebook dan Wikipedia kemudian ditularkan kononnya merekalah pakar perlembagaan.
“Padahal buku tentang Perlembagaan Malaysia dan Undang-undang kita pun mereka tak pernah sentuh. Posting daripada puak ini juga sepatutnya jangan kita percaya. Ianya sesat lagi menyesatkan. Jika kita dapat posting daripada puak ini, eloklah kita selidiki daripada sumber sebenar yang berwibawa.
“Rajin-rajinlah membaca supaya tidak terkeliru dengan maklumat tidak tepat daripada puak yang memandai-mandai ini, tidak kira dalam aspek apa juga sama ada politik, perundangan, ekonomi, sosial, malah agama sekali pun,”tegas beliau di dalam Facebooknya.
Ketiga katanya, puak yang bertindak sebagai tukang tular yang disifatkan amat pelik kerana mereka memang tidak faham apa-apa mengenai isu yang disiar di media sosial ini.
Malah katanya, kadang-kadang mereka tidak habis membaca sesuatu dimuatkan di media sosial kemudian terus ‘share’ serta ‘copy paste’ untuk ditularkan kepada pihak lain.
“Kerja mereka sebagai tukang hebah dan heboh, tanpa memahami kedudukan perkara sebenar. Puak ini hanya sekadar menyemak di media sosial sahaja.
Beliau menasihati pengguna media sosial agar menyelidiki terlebih dahulu maklumat yang diperoleh daripada ketiga-tiga puak ini.
“Jadilah pengguna media yang bertanggungjawab dan bijak, demi keharmonian Malaysia Baharu yang kita cintai. In sha Allah, kejayaan akan bersama kita,” katanya.
No comments:
Post a Comment