Sunday, July 22, 2018

Nasrudin usah malu-malu nak sokong Umno

 
PRK SG KANDIS | Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan dinasihat supaya berterus terang dalam menyatakan pendirian parti itu terhadap Umno serta BN menjelang pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis pada awal bulan depan.

Bekas calon PAS untuk kerusi parlimen Indera Mahkota itu juga dinasihatkan supaya menunjukkan kematangan dan berhemah dalam sikapnya menyokong Umno, bukan mencipta alasan serta menabur fitnah.

Pengarah Strategi Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) Ahmad Syukri Ab Razab berkata dengan sikap yang betul Nasrudin boleh menyampaikan mesejnya dengan lebih jelas kepada pengundi di kawasan dewan undangan negeri berkenaan.

"Pada pandangan saya Nasruddin masih malu-malu menunjukkan sokongannya kepada Umno dan BN.

"Dia sepatutnya perlu lebih berterus terang untuk menyeru pengundi agar menyokong calon Umno," katanya.

Menurut Ahmad Syukri lagi Nasrudin bukan seorang pemimpin yang naif dan sepatutnya cukup faham HARAPAN masih dalam fasa 100 hari pemerintahan.

"Lebih daripada itu ada janji-janji yang diungkit Nasrudin hari ini tidak termasuk dalam kategori yang perlu ditunaikan dalam tempoh 100 hari pertama HARAPAN menjadi kerajaan, seperti menghapuskan tol," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Baru dua bulan mentadbir

Ahmad Syukri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Nasrudin mengenai sikap PAS dalam PRK Sungai Kandis awal bulan depan.

Kata Nasrudin PAS tidak meletakkan calon di kerusi itu kal ini bagi mengelak berlaku pecahan undi di kalangan hampir 51,000 pengundi berdaftar di situ.

Menurutnya, HARAPAN mesti dikalahkan pada PRK itu sebagai menghantar isyarat kepada kerajaan bahawa rakyat tidak rela dipermainkan dengan kegagalan mereka menunaikan janji pilihan raya.

Nasrudin mendakwa antara janji yang gagal ditunaikan oleh HARAPAN ketika ini ialah menurunkan harga minyak, menghapuskan hutang peneroka Felda dan menghapuskan tol.

Pada kenyataan itu juga Nasrudin memperkenalkan slogan baru untuk menyokong gesaannya iaitu "Asal Bukan Pakatan Harapan (ABAH)".

Untuk rekod janji menghapuskan tol di lebuh raya negara ini tidak termasuk dalam 10 ikrar yang mesti dilaksanakan HARAPAN dalam tempoh 100 hari pentadbirannya.

Mengenai peneroka Felda pula beban yang akan dikurangkan ialah berkaitan hutang tidak wajar dan dipaksakan ke atas golongan terbabit.

Kata Ahmad Syukri, Nasrudin sepatutnya tahu janji menstabilkan harga petrol dengan perlaksanaan subsidi bersasar telah dilaksanakan.

"Saya pasti hari ini Nasrudin juga menikmati harga petrol RON95 yang stabil dan tidak lagi turun naik seperti sebelum ini," katanya.

Ahmad Syukri yang juga setiausaha pengelola Pemuda PKR menambah berbanding Nasrudin, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ternyata menunjukkan sikap yang lebih matang dan cermat.

"Semasa bercakap dalam forum anjuran IKRAM di Shah Alam malam tadi, Asyraf Wajdi berpendapat masyarakat tidak boleh berlaku zalim dengan menghukum HARAPAN sebagai gagal kerana baru dua bulan mentadbir negara," katanya.

Baca PAS yang kian berbisa

Justeru Ahmad Syukri berpendapat Nasrudin gagal mempamerkan contoh pemikiran politik Islam yang baik walaupun menjadi anggota PAS, sebaliknya dia kekal cenderung menghukum musuh politiknya berdasarkan dendam dan kebencian.

"Bagaimana pula dengan pentadbiran Umno yang selama ini melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang membebankan rakyat, menghapuskan subsidi bahan api dan menggubal pelbagai undang-undang zalim?

"Apakah itu semua sudah dilupakan oleh Nasrudin sehingga dia memihak kepada Umno di Sungai Kandis?" katanya.

PRK Sungai Kandis akan diadakan pada 4 Ogos ini dan menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan calon HARAPAN Ahmad Zawawi Mohd Mughni, Datuk Lokman Noor Adam (BN) dan K Murthy (bebas).

No comments:

Post a Comment