Sunday, July 22, 2018

Kelantan tetap nak royalty 5% berdasarkan pengeluaran, meniaga untung rugi lantak kerajaan pusat

Kelantan tetap mahu royalti minyak 5 peratus

Kerajaan Kelantan tetap dengan pendirian supaya agihan royalti minyak ke negeri itu diberikan sebanyak lima peratus daripada hasil pengeluaran.

Malah timbalan menteri besarnya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, penyaluran royalti minyak itu tidak sepatutnya berasaskan keuntungan seperti diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin.

"Pada padangan kami tidak sepatutnya royalti dibayar berasaskan keuntungan, kerana pengeluaran lebih penting.

"Soal untung rugi adalah berdasarkan perniagaan. Kalau harga minyak mahal atau jualan tinggi, banyaklah kita dapat, tapi jika jumlah jualan rendah atau harga turun, keuntungan rendah yang kita dapat.

"Buat masa ini kerajaan negeri belum melakukan pengiraan, boleh jadi pengeluaran lebih banyak atau mungkin keuntungan lebih tinggi kerana ia bergantung kepada perniagaan.


"Jika lima peratus dikira berdasarkan hasil pengeluaran, kerajaan negeri akan memperoleh tidak kurang RM700 juta setahun," katanya kepada media ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Dr Mahahir yang menyarankan 20 peratus yang diberikan syarikat pengeluar minyak sebagai royalti daripada keuntungan yang diperoleh negeri pengeluar.

Lebih banyak lebih baik

Terdahulu, media melaporkan kerajaan Terengganu akan meneliti secara terperinci penyaluran royalti minyak 20 peratus seperti diumumkan perdana menteri sebelum memberi sebarang keputusan.

Menteri besarnya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kenyataan Dr Mahathir itu kurang jelas, sama ada hasil royalti 20 peratus itu berdasarkan keuntungan Petronas di negeri pengeluar atau keseluruhan hasil yang sudah ditolak cukai.

Sementara itu, Mohd Amar berkata, penetapan lima peratus royalti kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat sudah termaktub dalam perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri pada 1975.

Sebaliknya tegas beliau, nilai 20 peratus yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) ialah perkara baru dan tiada dalam perjanjian .

Katanya pembayaran royalti dibayar berdasarkan keuntungan juga pertama kali didengar pihaknya.

"Justeru, Jawatankuasa Tuntutan Royalti Negeri Kelantan akan melakukan perbincangan secara mendalam dalam masa terdekat mengenai kenyataan Dr Mahathir, dan kita akan mengemukakan pandangan kepada kerajaan persekutuan.

"Apa pun, secara asasnya tuntutan Kelantan ialah lima peratus seperti dipersetujui dalam perjanjian. Tetapi kalau jumlahnya lebih banyak, itu lagi baik," katanya yang juga pengerusi jawatankuasa tersebut.

1 comment:

  1. Kalau orang tak bagi...nak jugak ka?cuba la ingat sikit... kalau Allah nak bagi tadak sapa pon yg bulih tahan..kalau Allah nak ambik pulak.. tadak sapa yg bulih halang..! Ni dok nak jugak...apa hal..? Bab duit ni.. dah hilang keyakinan kat Allah ka? Patut mintak la...Tuan Presiden berdoa...dengak habak...doa dia.. mustajab...! Doa kelas wali2 Allah betoi ka..?

    ReplyDelete