Thursday, September 6, 2018

KPDNHEP KEDAH Gempur premis kenakan cas tinggi

Gempur premis kenakan cas tinggi
CHANGLUN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima lapan aduan mengenai kenaikan harga sejak Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan 1 September lalu.

Exco Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr R Summugam berkata, aduan yang diterima melibatkan restoran, panggung wayang, kedai runcit dan tambah nilai prabayar.

Katanya, susulan aduan berkenaan, pihaknya mengadakan tinjauan dan pemeriksaan di premis terlibat.

“Premis pertama yang kami buat pemeriksaan adalah di sebuah restoran nasi kandar di sini yang mana ada laporan mengatakan pemilik restoran mengenakan cas yang tinggi.

“Bagaimanapun, setelah diperiksa kami mendapati mereka hanya mengenakan SST sebanyak enam peratus iaitu cukai untuk perkhidmatan sahaja.


“Kami juga minta pihak restoran cetak dua resit iaitu resit sebelum 1 September dan resit selepas 1 September dan hasilnya ia jelas menunjukkan harga makanan sama tetapi sekarang mereka mengenakan cukai perkhidmatan yang mana pihak restoran perlu kutip untuk bayar kepada pihak kastam,” katanya.

Summugam berkata, pihaknya turut membuat tinjauan di pasar raya berdekatan yang mana terdapat 22 jenis barang basah yang mengalami kenaikan harga.

“Kesemua harga barang-barang tersebut sebenarnya dipengaruhi oleh faktor permintaan dan penawaran.

“Bila permintaan melebihi penawaran, harga akan naik, tapi kalau barang itu banyak dalam pasaran harga akan kurang ini yang menyebabkan perubahan harga iaitu ia naik dan turun mengikut situasi,” katanya.

Tambahnya, memandangkan SST baharu saja dilaksanakan, maka kakitangan KPDNHEP akan melakukan pemantauan dari masa ke semasa dan melakukan pemeriksaan mengejut untuk memastikan aduan pengguna diambil tindakan.

“Kita juga menasihati peniaga agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya susulan dengan pelaksanaan SST ini.

“Sebarang aduan atau pertanyaan, pengguna boleh terus menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800, selain melalui portal rasmi, SMS ke 15888 serta media sosial,” katanya yang turut diiringi 15 kakitangan KPDNHEP cawangan Alor Setar dan Kubang Pasu serta dua pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia dari Alor Setar.

No comments:

Post a Comment