Sunday, October 7, 2018

Apabila kenyataan Mujahid dalam isu KHALWAT disalah definasikan

Kenyataan Rasmi Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah (NUNJI) Berkaitan Isu Tular Menghalang Pencegahan Maksiat Oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr. Mujahid Yusof

Berdasarkan perkara-perkara berikut:

i) Transkrip asal temubual YB Menteri dengan wartawan The Star bernama Zakiah Koya dalam bahasa Inggeris yang diperolehi daripada Setiausaha Akhbar Menteri
ii) Keratan akhbar The Star bertarikh 6 Oktober 2018
iii) Kenyataan-kenyataan akhbar pihak-pihak berkepentingan dalam masyarakat seperti para mufti dan peguam syar’ie
iv) Respon masyarakat awam di laman sosial
v) Penafian YB Menteri terhadap berita akhbar The Star melalui siaran TV al-Hijrah

Adalah dengan ini pihak ilmuan NUNJI mengesahkan bahawa frasa yang digunakan akhbar The Star “No more moral policing” (“Tiada lagi polis moral”), “No more night khalwat raids or intrusion into Muslims' private lives” (“Tiada lagi tangkapan khalwat malam atau pencerobohan ke atas kehidupan peribadi orang Islam”) dan “No more knocks on the door in the middle of the night and no more breaking down of doors by the religious authorities investigating reports of khalwat or other alleged wrongdoings” (“Tiada lagi ketukan di pintu pada tengah malam dan tiada lagi pemecahan pintu oleh pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan khalwat atau lain-lain kesalahan yang disyaki”) yang telah menimbulkan fitnah dan salah faham masyarakat itu BUKANLAH frasa atau ayat yang digunakan sendiri oleh Datuk Dr Mujahid dalam temubual itu, tetapi hanyalah ayat-ayat yang ditafsirkan dan disimpulkan sendiri oleh pemberita The Star.


YB Menteri tidak menyatakan operasi mencegah maksiat harus dihentikan, sebaliknya YB Menteri menegaskan tentang perbezaan ruang individu dan ruang awam dari segi tindakan sebagai kerajaan.

YB Menteri juga menjelaskan persoalan wartawan sama ada di masa akan datang pencegah maksiat akan memecahkan pintu dan menangkap orang yang melakukan maksiat. Jawapan YB Menteri bahawa beliau akan menasihati (would advise) pihak berkuasa agensi di bawah pentadbirannya agar lebih rahmah dan berhikmah dengan tidak menceroboh ruang-ruang peribadi.

YB Menteri juga menyebutkan ada kes-kes penyalahgunaan kuasa yang memerlukan penambahbaikan dari segi prosedur. Dalam pada itu YB Menteri menegaskan kerajaan terikat (bound) dengan peruntukan undang-undang yang membezakan kuasa kerajaan pusat dan kerajaan negeri, tetapi akan menyediakan platform berbincangan dengan pengarah-pengarah jabatan hal ehwal agama negeri-negeri.

Setelah berlaku kerosakan akibat penyebaran berita tidak benar tentang kenyataan YB Menteri itu, sukalah NUNJI mengingatkan semua pihak dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Al-Hujurat: 6)

Di sana juga terdapat hadis sahih yang bermaksud: “Sesiapa yang menjamin untukku anggota di antara dua kumisnya (iaitu menjaga mulut daripada berkata-kata perkara batil) dan menjamin untukku anggota di antara dua kakinya (iaitu menjaga kemaluan daripada maksiat zina dan seumpamanya), maka aku menjamin untuknya syurga” (Riwayat al-Bukhari)

Daripada ayat dan hadis di atas dapatlah kita fahami bahawa dosa akibat perbuatan mulut (dalam konteks hari ini termasuklah tular menerusi sebaran media sosial) adalah lebih dahsyat daripada dosa peribadi perlakuan zina dan seumpamanya. Pelaku dosa-dosa peribadi itu boleh bertaubat terus kepada Allah SWT dan Allah SWT sangat suka hambanya yang bertaubat dan kembali kepadaNya. Bagaimana pula dengan dosa akibat perbuatan mulut dan tangan yang menularkan perkara yang salah terhadap seseorang atau mana-mana pihak sehingga menyebabkan ramai umat Islam terjerumus melakukan dosa umpat, keji dan maki hamun terhadap pihak berkenaan?

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Memaki seorang muslim (tanpa hak) itu adalah kefasikan yang nyata dan membunuhnya pula adalah kufur” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Bagaimanakah orang-orang yang telah melakukan dosa akibat penyebaran perkara salah tanpa usul periksa ini ingin memperbetulkan atau menarik balik semua maki hamun yang telah diluahkan?

Di sini kita lebih memahami mengapa Allah SWT mengarahkan kita berhati-hati dengan berita yang sampai kepada kita sebelum menyebarkannya kepada pihak lain.

Ramai orang bimbang bala seperti Tsunami akan menimpa negara jika maksiat-maksiat seperti zina, khalwat, minum arak dan amalan LGBT berleluasa. Kita akui tentang kemurkaan Allah SWT terhadap dosa-dosa itu. Tetapi bagaimana pula dosa-dosa menyebarkan perkara salah sehingga menyebabkan sebahagian masyarakat menghukum, mencela dan memaki hamun sebahagian yang lain tanpa alasan yang dibenarkan syarak? Adakah Allah SWT tidak murka? Dan di manakah pencegah maksiat mulut dan jari yang mengongsikan berita-berita salah?

Justeru NUNJI menyeru sekalian umat Islam (khususnya asatizah dan orang awam yang tinggi semangat agamanya) dan masyarakat Malaysia amnya agar bertenang dan sabar apabila menerima sesuatu berita sehingga ternyata kedudukan sebenarnya. Sikap gelojoh ingin membuat ulasan dan menularkan ulasan-ulasan itu secepat mungkin bukanlah perkara yang baik, bahkan akan menjerumuskan kita ke lembah dosa-dosa besar kerana menzalimi pihak lain, memalukan diri sendiri dan menjatuhkan maruah kita akhirnya.

Semoga Allah SWT menunjukkan kita ke jalan yang lurus dan memelihara negara kita daripada musibah yang tidak mampu kita tanggung.

Gabungan Ilmuan NUNJI
7 Oktober 2018

.

No comments:

Post a Comment