Sunday, October 7, 2018
Kenyataan Mujahid: The Star perlu mohon maaf - SU akhbar
Akhbar The Star perlu memohon maaf kerana mengambil kenyataan Datuk Mujahid Yusof Rawa di luar konteks, kata Setiausaha Akhbar kepada Menteri Hal Ehwal Islam itu, Siti Zulaikha Zulkifli.
Zulaikha juga memberi amaran 'tindakan lebih tegas" akan diambil jika permohonan maaf tidak diterima dalam masa 24 jam.
"Saya amat menghormati kebebasan media, namun ini tidak bermakna pihak media boleh menulis berita di luar konteks sehingga tercetusnya perdebatan awam dan memberi impak negatif kepada menteri.
"Saya menggesa pihak The Star memohon maaf secara terbuka kerana menulis laporan yang salah sehingga menyebabkan kekeliruan dan permohonan maaf itu perlu disiarkan di akhbar berkenaan serta di portal mereka.
"Sekiranya perkara ini tidak dibuat dalam masa 24 jam, tindakan lebih tegas akan diambil," katanya dalam suatu kenyataan malam ini.
Tiada lagi ketukan di tengah malam
Pegawai menteri itu mengambil perhatian dengan tajuk berita The Star yang memaparkan wawancara dengan Mujahid yang terbit semalam.
Edisi cetaknya berjudul 'No More Moral Policing' dan bagi penerbitan dalam talian beritanya bertajuk 'No more night khalwat raids or intrusion into Muslims private lives says Mujahid'.
Beliau juga mempertikaikan perenggan pertama rencana itu yang berbunyi:
“No more knocks on the door in the middle of the night and no more breaking down of doors by the religious authorities investigating reports of khalwat or other alleged wrongdoings.” (Tiada lagi ketukan pintu di tengah malam hari dan tiada lagi pintu yang dipecahkan pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan khalwat dan dakwaan kesalahan lain.)
Zulaikha berkata menteri itu tidak pernah menuturkan kata-kata demikian dan ia hanyalah tafsiran penulis artikel semata-mata, tetapi laporan itu telah menjadi tular serta mencetuskan perbahasan di kalangan umat Islam di negara ini.
Menurutnya lagi, transkrip penuh wawancara itu telah disiarkan dalam hantaran Facebook Mujahid.
BERKAITAN: Mujahid: 'Serbuan khalwat dihentikan' tak pernah keluar dari mulut saya
Terdahulu, menteri hal ehwal agama itu juga menafikan memberitahu akhbar tersebut serbuan khalwat oleh pihak berkuasa agama akan dihentikan.
"Saya tak pernah menyebut isu kononnya (serbuan) dihentikan pada waktu malam, tidak diketuk pintu, itu semua adalah tambahan daripada editor yang mengambil rumusan mereka (daripada kenyataan saya).
"Sila rujuk kepada wawancara di dalamnya (laporan itu) yang lebih tepat kepada maksud yang saya ingin sampaikan," katanya kepada stesen televisyen Al-Hijrah.
Laporan The Star itu mendapat maklum balas berbeza, dengan ada yang mewajarkannya manakala yang lain pula menuduh Mujahid menggalakkan maksiat.
No comments:
Post a Comment