MELAYU
1) Apa yang bakal saya karangkan, mungkin susah ditelan, dan kemungkinan bakal menjemput kritikan dan cemuhan segelintir masyarakat, khususnya bangsa saya sendiri, bangsa Melayu. Namun, sebagai seorang anak muda yang tidak ingin melihat masa depan anak bangsa dibuai mimpi yang palsu, saya bertanggungjawab untuk berkongsi rasa sebelum maruah nasib bangsa saya terhakis perlahan-lahan.
.
2) Di manakah "Ketuanan" pada hari ini? Adakah Melayu betul-betul tuan di tanah air tercinta ini, atau adakah kita hanya sekadar "tuan" pada tanda nama, tetapi hakikatnya, semakin terpinggir dan diperhambakan tanpa sedar?
.
3) Mana perginya "Ketuanan" apabila kebanyakan anak muda Melayu sendiri lena diselimuti najis dadah?
4) Mana perginya "Ketuanan" apabila kontraktor-kontraktor Melayu sanggup berkiblatkan modal ali-baba untuk makan untung atas angin?
.
5) Mana perginya "Ketuanan" apabila ekuiti bumiputra tidak lagi mencapai 30%, malahan semakin menurun ke tahap 20%?
.
6) Mana perginya "Ketuanan" apabila ramai anak muda Melayu memilih untuk merempit sampai ke lewat malam, sambil rakan-rakan bangsa lain gigih mengejar ilmu untuk melakar masa depan yang lebih cerah? Tidak dinafikan, ada segilintir anak Melayu yang cemerlang, namun masih ramai yang terkandas.
.
7) Mana perginya "Ketuanan" apabila pemimpin Melayu yang dahulu disegani dan dihormati, kini dilihat terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa.
.
8)Lihat sahaja pada hari ini, sejarah bakal berulang kerana kita suka mengambil jalan yang mudah dan pintas dan tidak berani keluar dari zon selesa. Dari pekerja di kilang sampailah ke chef di restoran mewah, pekerja asing juga yang dicari, sambil bangsa kita masih menunggu dan mengharapkan tawaran kerja yang selesa berhawa dingin yang belum kunjung tiba.
.
9) Memang indah untuk kita dibuai mimpi "Ketuanan", tetapi realitinya ternyata berbeza. Memang popular apabila kita laungkan "Hidup Melayu", tetapi laungan itu kosong apabila berpijak di bumi yang nyata. Sambil kita menjulang keris dengan bangganya, perlahan-lahan kita sedang menghunusnya ke hati kita sendiri tanpa kita sedari.
.
10) Saya tidak akan berhenti berjuang demi nasib anak bangsa tercinta.
Syed Saddiq
28/10/2018
Kekuatan Hang Tuah pada huruf "Ta'sebab tuah dan ketuanan Melayu terletak pada huruf "Ba"sebab,tak lulus BM erti nya GAGAL.kah...kah...kah...MELAYU dah layuuu....UMNO Parti Penipu.!
ReplyDelete