Tuesday, December 4, 2018

Adakah tugas pembangkang sekarang sekadar terpekik terlolong saja?

Sebagai pembangkang, sewajarnya tugas mengawasi keputusan dan tindak-tanduk kerajaan ini adalah tugas pembangkang (iaitu PAS dan UMNO).

Jadi, jika sistem harga minyak yang ada sekarang ini boleh diperbaiki, sepatutnya PAS dan UMNO yang wajar melakukan kira-kira, kajian lalu membentangkan idea itu kepada rakyat.

Termasuklah tugas memantau harga minyak yang ditetapkan oleh kerajaan.

Itu tugas saya sebagai Ahli Parlimen pembangkang dahulu. Saya kira, saya bentangkan, saya berhujah.

Saya bagi bukti bagaimana sistem minyak bersubsidi boleh dikembalikan.

Hasil dari pembentangan saya itu, ramai rakyat yang bersetuju. Bila Pakatan Harapan menang, sebahagian dari saranan saya mengenai harga minyak diterima pakai.


Saya tidak menjadi Ahli Parlimen untuk mengajar penyokong-penyokong saya menjerit “hancing” dan “kencing” sepanjang masa.

Saya akan meneliti harga runcit yang ditetapkan sekarang berbanding dengan harga minyak mentah di pasaran dunia dan dibandingkan dengan jumlah subsidi yang telah dibelanjakan setakat ini untuk mengekalkan harga minyak pada ketika harga minyak mentah melambung tinggi.

In Sha Allah saya akan siarkan dalam sehari dua.

Tetapi sepatutnya ini tugas Ahli-Ahli Parlimen PAS dan UMNO.

Tidakkah ada seorang pun dari Ahli Parlimen PAS dan UMNO yang boleh menjalankan tugas ini? Supaya penyokong-penyokong mereka boleh bergantung harap kepada mereka, bukan datang menulis “hancing” dan “kencing” di mana-mana?

Saya sanggup mengadakan kelas percuma mengajar Ahli-Ahli Parlimen PAS dan UMNO ini bagaimana memantau harga minyak, supaya mereka tidaklah menjadi PASU di dalam Parlimen sementara penyokong mereka kencing di merata-rata.

Selepas itu, barulah pembangkang boleh melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik, kerana mereka mengambil gaji untuk tujuan itu.

Rafizi Ramli
3 Disember 2018

No comments:

Post a Comment