Wednesday, February 20, 2019
PAS 'KEKASIH' YANG TAK SETIA ATAU HANYA MAHU MEMECAH-BELAHKAN PH?
Secara nyata dan difahami umum, Pas adalah rakan kerjasama kepada UMNO, walaupun tidak secara rasmi dan tidak juga dengan cara masuk menyertai BN.
Sebelum PRU14 lalu, kerjasama itu dilakukan dengan cara menjadi kuasa ketiga serta bertanding bersendirian dengan harapan dapat memecahkan undi yang akhirnya akan memberi kelebihan kepada UMNO dan BN mengekalkan kuasanya.
Pertimbangan menjadi kuasa ketiga itu adalah susulan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar di mana pertembungan tiga penjuru telah memberi keselesaan kepada BN meraih kemenangan.
Meskipun menjadi kuasa ketiga dan seolah-olah tidak memihak kepada sesiapa, tetapi ketika itu jelas serangan Pas adalah 100% ditumpukan kepada PH dan parti yang bergabung di dalamnya.
Bersatu, PKR, DAP dan Amanah adalah mangsa serangan Pas dengan berbagai dalil agama serta politik yang dirangkumkan untuk mengIslamkan tindakan mereka itu.
Malah, tidak sedikit kata-kata penghinaan dilemparkan kepada Tun Mahathir Mohamad seperti sudah nyanyuk, patut lebih banyak beribadah di atas sejadah serta di suatu ketika Hadi Awang sendiri mengatakan Pengerusi PH itu selayaknua menjadi doktor di klinik 1Malaysia saja.
Ia adalah suatu penghinaan kepada Tun Mahathir yang memberi gambaran sokongan Pas adalah kepada Najib.
Apabila semua tindakan dan kata-kata itu tidak juga berjaya memenangkan BN dalam PRU14, Pas kemudiannya mengambil keputusan bekerjasama secara terbuka pula dengan UMNO.
Dalam beberapa PRK yang diadakan selepas PRU14, Pas dan UMNO jelas ada persefahaman kerjasama dengan saling memberi laluan untuk bertanding serta memberi bantuan kempen secara terbuka.
PRK Cameron Highlands telah membuahkan kejayaan dalam kerjasama UMNO - Pas itu dengan masing-masing memainkan sentimen kaum dan agama bagi meraih undi.
Bila berlaku PRK Semenyih, kerjasama UMNO dan Pas itu sepatutnya diperhebatkan lagi kerana ternyata ia bukanlah sesuatu yang sia-sia bagi kedua-dua parti.
Di peringkat awal, masing-masing iaitu UMNO dan Pas sudah saling setuju dalam kerjasama itu, apatah lagi bagi UMNO yang meletakkan calon, tentu saja mengharapkan bantuan daripada Pas untuk mengulangi kejayaan sebagaimana di Cameron Highlands.
Tetapi, adalah amat menghairankan apabila sehari sebelum penamaan calon, Hadi Awang dan dua pemimpin Pas lain bertindak menemui Tun Mahathir di Putrajaya.
Jika pertemuan itu sekadar untuk meminta bantuan kerajaan Pusat atau berkaitan hal Kelantan dan Terengganu yang ditadbir Pas misalnya, ia mungkin bukan sesuatu yang menghairankan.
Namun, berikutan dalam pertemuan itu Pas turut menyerahkan surat contoh sokongan kiranya berlaku undi tak percaya kepada Tun Mahathir di Parlimen, ini sudah dikira pelik lagi ajaib.
Sebagai rakan kerjasama kepada UMNO dan dalam kedudukan sesama pembangkang yang tentunya Tun Mahathir adalah musuh mereka, untuk apa sebenarnya Pas memberikan surat tersebut?
Adakah tindakan ini bererti Pas tidak setia kepada UMNO?
Tetapi, untuk apa Pas bersikap curang?
Atau, mungkinkah Pas sengaja berbuat demikian untuk memecah-belahkan PH?
Realitinya, tiada sesiapa dalam PH mahu mengusulkan undi tidak percaya kepada Tun Mahathir sebagaimana tanggapan Pas itu kerana persetujuan penyerahan kuasa kepada Anwar Ibrahim telah pun dipersetujui lama sebelum ini.
Jika begitu, tidak mungkinkah pertemuan Hadi dengan Tun Mahathir itu bukan saja untuk memecah-belahkan PH, tetapi barangkali juga adalah rancangan bersama Pas dan UMNO kerana mereka sedar selagi PH tidak dipecahkan, harapan BN untuk memang dalam PRU15 adalah terlalu tipis? (ShahbudinHusin 20/02/2019)
No comments:
Post a Comment