Wednesday, March 25, 2020

TUN M selepas tidak lagi jadi PM, luahan kepada Khalid Samad

Pertemuan saya dengan YAB Tun Mahathir:
Khalid Samad



"Dan apa yang Tun mahu lakukan selepas berjaya dapatkan semula (Parti Bersatu)?" tanya saya lagi kerana melihat kesungguhannya dalam melaksanakan usaha ini. 

"Adakah Tun ingin Bersatu kekal dalam PN (Perikatan Nasional) atau menyertai kembali PH (Pakatan Harapan)?"

Dari renungan matanya saya dapat merasai kesedihan yang terbuku di hatinya. Beliau terluka dengan pengkhianatan yang berlaku. 

Pada usia 95 tahun, saya fikir beliau tentu telah mengalami pengkhianatan berkali-kali dan tidak akan terkesan dengan apa yang sedang beliau lalui sekarang. 

Walaupun beliau cuba untuk menyembunyikannya, saya dapat merasai bahawa Tun terkesan dan sedang kesedihan.

Seperti biasa, beliau duduk di atas kerusi dengan tegak, tidak membongkok ataupun menggerak-gerakkan badannya. 
 
Walaupun saya merasakan hatinya sedang menanggung pilu, namun kelihatan wajahnya, dan juga keseluruhan tindak-tanduknya menggambarkan beliau seorang yang sedang memperjuangkan sesuatu misi.


Mungkin atas sebab Tun perasan saya sedang merasai bahawa dia sedang kesedihan, lantas Tun dengan cepat bertanya, “Kenapa kamu tidak datang tempoh hari bersama dengan pemimpin-pemimpin AMANAH yang lain?” 

Memang dua hari lepas ada lawatan oleh lima pimpinan utama AMANAH dan saya tidak bersama mereka. Perasan juga dia bahawa saya tidak bersama, takkan dia rindukan saya, saya terfikir.

Saya senyum dan sambil perlahan-lahan berpaling saya menjawab, “Mereka tidak menjemput saya bersama!” Tun kelihatan terkejut dan sambil tersenyum simpul beliau meletakkan file yang dipegangnya lalu bertanya, “Mengapa tidak? Bukankah kamu juga salah seorang pemimpin tertinggi mereka?”

Sekali lagi saya tersenyum, merasakan inilah peluangnya untuk melawak dan membuatkan lelaki tua ini ketawa. Sambil memandang tepat ke wajahnya, saya berkata, “Saya rasa mungkin mereka fikir Tun tidak mahu bertemu dengan saya” dan saya tertawa kecil tetapi dia hanya sekadar tersengeh. 

“Kenapa begitu?” tanya beliau lagi, sedangkan saya yakin dia cukup mengetahui bahawa saya dilaporkan membuat kenyataan yang tidak disenangi beliau beberapa hari sebelum itu.

“Oh, sebagaimana Tun tahu, saya ni terlalu banyak bercakap dan malangnya apa yang dilaporkan berbeza dengan apa yang dikatakan. Saya dilaporkan meminta Tun letak jawatan, dua hari selepas Tun sendiri letak jawatan!”

Dan kami ketawa ke atas kelucuan laporan tersebut.

Ianya hari Khamis, 12 Mac, 11.05 pagi di pejabat Tun, di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Saya telah membuat temujanji untuk bertemu dengan beliau memandangkan pada malam tersebut saya juga telah dijadualkan untuk memberi ceramah dalam FB Live atas jemputan ‘KelabInspirasikuMahathir’ pada pukul 9 malam. 

Saya mahu jelas tentang beberapa pandangan beliau, sekiranya moderator bertanya kepada saya tentang apa yang saya fikirkan mengenai beliau sebagai seorang individu dan sebagai seorang pemimpin. Saya ingin cuba untuk memahami personaliti in.

Saya telah pergi bertemu Tun bersama dengan Haji Azli, mantan Setiausaha Politik saya merangkap Ketua Kawasan AMANAH Shah Alam. Azli Yusof telah menjadi Ketua Kawasan Shah Alam Parti AMANAH Negara sejak tahun 2015 dan pernah menjadi Ketua Kawasan PAS Shah Alam sebelum itu pada tahun 2013.

Kami telah lebih daripada 30 minit bersama Tun. Hanya kami bertiga sahaja dan Azli mendiamkan diri hampir sepanjang masa tersebut. Ianya bagaikan sesi hati ke hati, sesi bicara tanpa halangan dan saya tanyakan soalan-soalan yang saya percaya ramai tidak sanggup tanya. Soalan berterus-terang, tajam tanpa selindung, tetapi masih sopan.

Ketika kami mula-mula masuk ke biliknya, kami menghulurkan tangan untuk bersalam seperti biasa namun dengan cepat Tun membuat isyarat ‘Namaste’ dengan tangannya. Kami turut melakukan perkara yang sama, sambil mengakui kebenaran dalam kata-kata Tun, “isu Virus Corona ini adalah perkara yang serius”. Dan kami duduk di depan meja beliau yang seperti biasa penuh dengan surat dan file.

Selepas perbualan ringkas seperti yang dilaporkan di atas, saya mula mengemukakan beberapa soalan. Banyak soalan yang telah ditanya, tetapi saya tidak akan mendedahkan semuanya kali ini. 





“Dan apa yang Tun mahu lakukan selepas berjaya dapatkan semula (Parti Bersatu)?” tanya saya lagi kerana melihat kesungguhannya dalam melaksanakan usaha ini. 


“Adakah Tun ingin Bersatu kekal dalam PN (Perikatan Nasional) atau menyertai kembali PH (Pakatan Harapan)?”

Beliau diam seketika, mungkin memikirkan bahawa jawapannya sepatutnya jelas bagi diri saya. Setelah menghela nafas panjang, Tun menjawab, “Kembali kepada PH”.

Ya, sudah tentu, fikir saya. Demi perjuangan, walaupun sudah berada di peringkat umur yang agak lanjut, beliau masih mahukan satu parti politik Melayu yang baharu dan bebas dari gejala rasuah bagi menggantikan Umno. 

Bagi Tun, Umno sudah tidak dapat diselamatkan lagi, rosak hasil kedurjanaan Najib dengan falsafahnya “Cash is King”. Bersatu sepatutnya menjadi satu platform baharu yang akan hanya menerima pemimpin-pemimpin Umno yang bebas dari rasuah, sambil yang korup akan dibiarkan mereput bersama Umno. 

Tetapi untuk itu, Bersatu mestilah berada bersama gabungan yang memerintah sambil Umno kekal bersama pembangkang.

Semuanya berjalan dengan lancar sehinggalah Azmin mempelawa Muhyiddin untuk meninggalkan PH dan bergabung dengan UMNO dan Pas untuk membentuk PN!

Dan itulah sebabnya, ketika ditanya sebelum itu, Tun berkata Muhyiddin bukan mengkhianati dirinya tetapi mengkhianati perjuangan parti. Ini adalah kerana parti BERSATU dibentuk dengan objektif yang khusus dan jelas ini.
Membawa Bersatu keluar dari PH dan membentuk kerajaan
 PN bersama UMNO bermakna matlamat perjuangan menjadi sia-sia. Keberadaan UMNO di dalam gabungan parti pemerintah yang sama dengan bilangan kerusi yang lebih dari Bersatu, apakah alasannya untuk pemimpin UMNO meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu? 

Secara logiknya, selepas jangkamasa yang singkat, lebih mungkin yang sebaliknya akan berlaku. Mereka berada di dalam pakatan yang sama, mengapa perlu mereka meninggalkan Umno?

Tun sudah pun mengingatkan Muhyiddin bahawa pada permulaannya, pemimpin-pemimpin Umno akan menerima segala syaratnya untuk membentuk satu pakatan kerajaan PN yang baharu tetapi sebaik sahaja Muhyiddin menarik Bersatu keluar dari PH, dia akan terpaksa tunduk kepada kehendak mereka! 

Ternyata ramalan Tun terbukti benar. Pada hari ini, kerajaan PN telah dijadikan gabungan, bukan antara parti politik tetapi gabungan individu Ahli Parlimen! 

Ini bermakna parti-parti politik ini tidak perlu setia kepada Muhyiddin dan sepantas mana mereka bersama Muhyiddin, sepantas itu jugalah wakil-wakil rakyat ini boleh meninggalkan beliau. Tiada ikatan, tiada janji, mereka hanyalah satu gabungan individu yang sangat longgar.

Muhyiddin sedang dipergunakan, bukan sahaja oleh Najib dan sekutunya, tetapi lebih-lebih lagi oleh Azmin, seorang yang saya percaya akan berbuat apa sahaja untuk tidak dibayangi Anwar sekaligus bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri. 

Tun sedar akan hakikat ini dan menolak untuk menjadi “batu loncatan” kepada sesiapa pun.
Malangnya Muhyiddin tidak sebijak itu atau mungkin juga pada pandangan beliau ini adalah peluang keemasan untuk beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia dan cita-cita ini adalah lebih penting daripada perjuangan parti. 

Ya, mungkin Muhyiddin bukanlah bodoh atau naif, seperti yang difikirkan ramai, tetapi beliau adalah seorang yang bercita-cita tinggi.

Namun demikian, impian beliau mengelirukan diri beliau sendiri. Jelas beliau tidak memahami Tun dan kesungguhan Tun untuk meninggalkan legasi politik yang boleh dibanggakan rakyat. 

Di mana legasi ini merupakan parti politik Melayu baharu yang bersih dan bebas rasuah bagi menggantikan Umno.
Atas sebab itu permohonan maaf Muhyiddin tidak akan dilayani Tun. Ianya bukan Tun yang telah kamu salahi Muhyiddin! Ianya adalah perjuangan dan matlamat di sebalik segala usahanya. 

Perjuangan yang mendorong Tun sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dan anda menjadikan kesemuanya berkecai menjadi debu-debu yang berterbangan!

Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang akan meletakkan Bersatu dalam kedudukan yang sangat lemah dan merugikan. Mereka perlu berunding dengan UMNO dan Pas untuk mendap
atkan kerusi sedangkan kedua-dua parti ini mempunyai sejarah yang panjang dan mantap dalam kesemua kerusi majoriti Melayu. 

Sedangkan Bersatu masih baharu. Tanpa perjuangan yang khusus dan tersendiri, pengundi Melayu akan mula melihat kekurangannya dalam barisan kepimpinannya sambil ‘ideologi’nya turut dilihat sama dengan Umno. Justifikasi berhubung kewujudannya akan mula dipersoal.

Pada akhir sesi, saya merasakan saya memahami cara pemikiran Tun. Keperluan bagi beliau untuk mendapatkan semula parti beliau demi mencapai matlamat perjuangannya semakin jelas.

Walau bagaimanapun, saya agak sangsi, berapa ramai di dalam Bersatu yang benar-benar berkongsi visi parti politik Melayu baharu yang bersih dan bebas rasuah itu. 

Dan berapa ramai pula yang akan sanggup bersama sehingga tercapai matlamat seperti beliau?

Saya melihat jam tangan menunjukkan sudah pukul 11.45 pagi. Saya teringat yang sedang menunggu di luar, mahu berjumpa Tun dengan jadual temujanji pada jam 11.30 pagi. 

Saya kira, sudah sampai masa untuk pergi. Dengan itu kami berdiri bagi mengucapkan selamat tinggal dan mengambil foto sebagai kenangan pertemuan dan sesi hati ke hati.

Sebelum beredar, saya mengambil kesempatan menyatakan kepada Tun, “Terima kasih Tun kerana telah melantik saya sebagai Menteri di Kabinet Tun. Meskipun untuk tempoh yang singkat, saya mempunyai peluang untuk berinteraksi dengan Tun dan mengenali Tun dari perspektif yang berbeza”.
Dia kemudian memandang saya, memikirkan kta-kata saya itu sebagai kata-kata perpisahan akhir dan dia lantas berkata, “Ia belum selesai” sambil tersenyum. 

Saya rasa kita akan bertemu lagi dan jika peribadi berusia 95 tahun ini sanggup berhadapan dengan PN, maka adakah mungkin saya tidak?

https://malaysiadateline.com/pertemuan-saya-dengan-yab-tun-mahathir/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

1 comment:

  1. Kalau ikutkan, Memang la Aku rasa kecewa dgn Tun, rasa mcm Dia Cuba melengah kan Janji Yg dibuat pada Anwar. Rasa Seolah mcm Tun nak Pegang kuasa selamanya, Sebab tu cakap dia sentiasa berubah ubah dlm melaksanakan Janji Tersebut. Tapi Sejak ph tersungkur setengah Jln kerana kerajaan baru. Sedikit sebanyak terubat la dgn pengakuan Tun Yg Dia pun dikhianati. Walaupun Aku 50/50, Tapi Mungkin Itu la Yg Terjadi. Jika Tun serah Lebih awal pun, Belum tentu akan kekal kerana tujuan mengambil alih pun kerana nak halang anwar. Dap tu Cuma alasan aje. Takpe la Tun, Bukan kawan, kuasa, wang ringgit yg menubuhkan sebuah kerajaan. Tapi rakyat. Jika rakyat Tetap yakin dgn Ph lepas ni. Sapa boleh halang. Sabar la. Mungkin ade rahmat. Salah Satu nya, tgk, tak payah pening kepala nak urus negara dlm keadaan negara sedang dilanda wabak penyakit. Dah Jadi mcm amalan, Yg rakyat akan salahkan kerajaan jika ade benda Yg berlaku, sekurangnya PH dah Selamat skit. Jadi relax Dan standby utk next pru... Insyaalah..

    ReplyDelete