Saya secara peribadi bersetuju dengan cadangan dari YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dari Parti Amanah untuk memperkenalkan ‘dasar minuman keras’ bagi mengehadkan penglibatan Muslim di dalam industri yang melibatkan beralkohol.
Beliau berpegang kepada prinsip yang sama sebagaimana ketika beliau menjawat jawatan Menteri Di Pejabat Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) apabila beliau menasihatkan Muslim untuk mengelakkan terlibat dalam industri yang melibatkan alkohol pada Oktober 2018.
Saya faham jikalau Pengarah Eksekutif Malaysian International Chamber of Commerce & Industry, Shaun Cheah tidak bersetuju dengan cadangan Datuk Seri Dr Mujahid kerana mungkin dia seorang yang Belum Muslim dan mempunyai nilai yang berbeza dan melihat ekonomi dan wang sebagai perkara utama.
Bagi Muslim, agama Islam bukan sekaar agama solat 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan tetapi Islam merupakan panduan dalam segala aspek kehidupan manusia dan bukannya sekadar kepercayaan dalam hati tanpa sebarang panduan kehidupan halal & haram.
Namun kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung, Rusli Affandi sangat mengecewakan kerana beliau seorang yang beragama Islam berdasarkan namanya.
Ya saya setuju bahawa ramai yang terkesan dengan pandemik COVID19 dan kehilangan atau kekurangan sumber pendapatan tetapi memberikan alasan dangkal kononnya mereka (pekerja Muslim) hanya menghidangkan alkohol dan tidak meminumnya.
Is ok andai kita tidak tahu tentang semua perkara tentang agama tetapi it is not ok untuk membuat andaian tentang hukum hakam dalam agama. Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wasalam telahpun bersabda tentang 10 golongan yang dilaknat kerana arak. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA: Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasalam melaknat dalam isu arak ini 10 golongan:
“Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, PEMBAWANYA, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”
[HR al-Tirmidzi (1295)]
Saya ingin nasihatkan diri saya, saudara seagama saya, Rusli Afandi dan semua Muslim agar sama-samalah kita membuat keputusan berdasarkan ketaqwaan bukan berdasarkan kemahuan & keperluan peribadi.
Prinsip seorang Muslim di dalam membuat sebarang keputusan adalah melihat kepada apa kata Allah & RasulNya dalam sesuatu urusan sebelum membuat keputusan;
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
(An-Nisaa' 4:59)
Tidak boleh bagi kita sebagai Muslim apabila Allah & RasulNya telah meletakkan suatu hukum dan ketetapan dan kita pula memilih selain dari apa yang telah diputuskan;
“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”
(Al-Ahzaab 33:36)
Dan ketaqwaan akan membolehkan kita untuk akur kepada perintah & larangan dari Allah & RasulNya tanpa merasa keberatan untuk melaksanakan perintah dan menjauhi larangan dalam Islam.
“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”
(An-Nisaa' 4:65)
Firdaus Wong Wei Hong
https://t.me/brofirdauswong
No comments:
Post a Comment