Menjawab Kenyataan & Tulisan YB Kuala Nerus al-Takiri Berhubung Penghakiman keatas Dato’ Sri Najib Razak
1.Saya membaca tulisan YB Dato’ Dr. Khairuddin Takiri, ahli Parlimen Kuala Nerus dalam mengulas penghakiman Mahkamah Persekutuan terhadap kes pendakwaan SRC International melibatkan mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak.
2.Saya kira, saya mesti bersetuju dengan YB Kuala Nerus akan beberapa perkara secara umum. Kita tidak patut bergembira atas musibah orang lain, kita tidak boleh melupakan jasa dan kebaikan pihak lain seakan tiada nilai dan terlalu melampau dalam meraikan penghakiman itu.
3.Namun! Mengapakah YB Kuala Nerus tidak berlaku jujur dan seimbang dalam menyebutkan ‘jasa’ dan musibah yang dilakukan oleh Perdana Menteri ke-6 itu? Mengapa tidak disebutkan juga beban hutang yang terpaksa dibayar oleh seluruh rakyat Malaysia disebabkan kesalahan jenayah yang beliau dihukum di Mahkamah Persekutuan itu?
4.Saya ingin maklumkan pada YB Kuala Nerus bahawa sungguhpun ada yang melampau dalam meraikan pemenjaraan Dato’ Sri Najib, tetapi apa yang dilakukan oleh Dato’ Sri Najib tidaklah perkara yang kecil. Dari RM42 juta wang SRC yang masuk ke akaunnya, lebih RM 3 juta adalah untuk pembelian barang kemas dan seutas jam berharga hampir RM 500 ribu untuk Datin Sri Rosmah Mansor bagi memujuknya yang merajuk akibat cuti Dato’ Sri Najib yang terpaksa dipendekkan bagi memantau keadaan banjir besar di Malaysia ketika itu.
5.YB Kuala Nerus tidak seharusnya memberikan penekanan pada ‘jasa’ tanpa menjelaskan sebab DS Najib dipenjarakan. Wang pembelian diatas diperolehi dari SRC yang mana ia datang dari pinjaman melalui Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP). Ini semua adalah fakta yang dibentangkan dalam mahkamah dan bukan cerita tepi jalan.
6.YB Kuala Nerus perlu juga maklumkan akan jumlah hutang yang dibuat oleh DS Najib; yang telah dibayar dan baki yang perlu dibayar. Untuk makluman YB Kuala Nerus, kalau YB Kuala Nerus tidak mahu memberitahu pada pembaca media sosial YB; hutang 1MDB yang telah dilunaskan oleh kerajaan Malaysia setakat Mei 2021 adalah sebanyak RM 12.54 BILION dan berbaki hutang yang masih perlu dilunaskan sebanyak RM 39.66 BILION. Untuk hutang SRC pula, yang sudah dibayar adalah RM 3.1 BILION, manakala RM 2.57 BILION masih perlu dilunaskan.
7.Mereka yang gembira dan berpuas hati atas penghakiman itu antaranya adalah kerana berpuas hati seorang penjenayah yang menyusahkan negara dan rakyat Malaysia dihukum. Bukan kegembiraan semata-mata memasung seorang bekas Perdana Menteri tanpa sebab. YB Kuala Nerus pun jangan nafikan bahawa disana wujudnya begitu banyak bukti bahawa para ulama’ salaf ada yang sujud syukur dan menangis kegembiraan apabila tewasnya atau gugurnya pemimpin yang zalim.
8.Saya juga dapati YB Kuala Nerus juga membawa 3 hadith Nabi SAW secara berasingan. Dua hadith daripadanya saya perlu akui ianya adalah sahih dan hasan. Namun, agak tidak jujur dan licik perlakuan YB Kuala Nerus dengan memetik hadith tanpa membawa konteks ‘kegembiraan’ rakyat atas hukuman terhadap penjenayah itu. YB Kuala Nerus sudah tentu maklum bahawa Nabi SAW sangat melarang untuk menjadi lunak terhadap kemaksiatan apatahlagi jenayah rompakan.
9.Adapun hadith ketiga yang dibawa oleh YB Kuala Nerus dengan memetik dari kitab Madarij al-Salikin karangan al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah, perlu kepada penelitian lanjut. Hadith yang YB Kuala Nerus bawakan itu ada tiga poin yang boleh diperhalusi disini:
i. Hadith yang YB Kuala Nerus sebut:
مَنْ عَيَّرَ أَخَاهُ بِذَنْبٍ لَمْ يَمُتْ حَتَّى يَعْمَلَهُ
Terjemahan: Sesiapa yang menghina saudaranya dengan satu dosa, dia tidak akan mati melainkan melakukannya juga.
ii. Hadith ini hakikatnya bukanlah hadith yang sahih kerana terdapat masalah pada sanadnya. Hadis ini datang dari jalur Muhammad bin al-Hasan bin Abi Yazid, daripada Thaur bin Yazid, daripada Khalid bin Ma’dan, daripada Mu’az bin Jabal. Ia adalah hadis yang terlalu dhaif bahkan sebahagian ulama’ menilainya palsu. Berikut penjelasannya:
- Hadis ini sanadnya terputus kerana Khalid tidak pernah bertemu Muaz bin Jabal.
- Muhammad bin al-Hasan pula adalah perawi yang matruk (ditinggalkan riwayatnya). Bahkan sebahagian ulama’ hadith menilainya pemalsu hadith. Saya nukilkan pandangan ulama’ terhadap perawi ini (rujukan kitab: Mizan al-I’tidal):
· Abu Daud berkata: Beliau pendusta.
· Ibn Ma’in berkata: Tidak dipercayai.
· Al-Nasaie berkata: Matruk.
· Al-Daraqutni berkata: Munkar al-Hadith
· Al-Zahabi berkata: Perawi binasa.
Oleh itu, Ibn al-Jauzi, al-Saghani, al-Fattani dan al-Albani menilai hadith ini sebagai hadith palsu.
iii. Sekiranya hadith ini sahih sekalipun, maksud hadith ini perlu difahami dengan sebaiknya. Kitab-kitab rujukan yang saya telaah tidak langsung menggunakan hadith ini untuk bertolak ansur atau meremehkan kemungkaran apatah lagi kezaliman terhadap harta rakyat. Setelah menelaah rujukan yang menghuraikan hadith ini, saya dapati terdapat
4 makna bagi hadis ini:
- Makna Pertama:
Larangan ini bermaksud jangan mencela seseorang Muslim dengan satu dosa yang dia sendiri telah bertaubat daripadanya. Ini tafsiran Imam Ahmad, al-Munawi dan al-Safarini. Bahkan ini juga tafsiran Ibn Mani’ yang merupakan perawi bagi hadis ini. Perawi hadis semestinya lebih memahami riwayatnya daripada kita di zaman ini. (Rujuk: Sunan al-Tirmizi 4/276, al-Adab al-Syar’iyyah 1/322, Ghaza’ al-Albab 1/109, al-Siraj al-Munir 4/312). Dalam kitab Madarij al-Salikin, al-Hafiz Ibn Qayyim membawa perkataan Imam Ahmad yang menafsirkan dosa (tertutup) yang disebutkan dalam hadith itu adalah dosa yang mana pelakunya telah bertaubat dari melakukannya. Ini sama sekali berbeza dengan pendirian DS Najib. Dia tidak mengakui kesalahan itu dan mendakwa dinafikan keadilan sungguhpun mengakui dalam mahkamah bahawa beliau tahu duit itu masuk kedalam akaunnya dan menggunakannya tanpa melaporkan kepada pihak berkuasa kewangan.
- Makna Kedua:
Larangan mencela dengan menzahirkan dosa yang tersembunyi. Ini tafsiran yang diisyaratkan oleh Ibn Rajab dalam al-Farq Baina al-Nasihah wa al-Ta’yir (hal. 70) dan al-Maghribi dalam kitabnya al-Badr al-Tammam (10/335). Kes DS Najib bukan aib tertutup. Bahkan kes DS Najib adalah kes jenayah awam melibatkan wang negara. Ia wajar dijadikan pengajaran supaya pemimpin lain tidak mengulangi perbuatan dosa/jenayah ini. Sepatutnya YB al-Takiri mengingatkan DS Najib untuk memulangkan semula hak dan harta rakyat yang diambilnya.
- Makna Ketiga:
Larangan mencaci saudaranya kerana dosa. Ini disebutkan dalam kitab Mirqat al-Mafatih (7/3048). Mencaci sememangnya diharamkan. Tetapi ia bukan bermakna kita dilarang untuk mengingkari kemaksiatan dan kezaliman yang dilakukan oleh DS Najib.
- Makna Keempat:
Mencela saudaranya kerana dosa dalam bentuk dia ujub dengan dirinya sendiri. Tafsiran ini dijelaskan sendiri oleh Ibn al-Qayyim Madarij al-Salikin yang YB Takiri sendiri nukilkan.
10.Nasihat saya, sungguhpun ingin membela ‘rakan’ yang disayangi, janganlah memanipulasi dalil dan agama. Agamawan sepatutnya menjaga kemurniaan agama dan bukan melacurkan agama sehingga gagal jujur dengan petikan teks dari kitab klasik.
DR. ABU HAFIZ SALLEH HUDIN
Kuala Lumpur
25 Ogos 2022
No comments:
Post a Comment