Sejak dahulu lagi, kejadian tidak cukup korum ketika sidang Parlimen memang kerap berlaku dan ia bukanlah sesuatu yang asing.
Baik ketika era pemerintahan BN, mahupun setelah negara ditadbir oleh Pakatan Harapan sekarang, perkara itu nampaknya tetap berlaku.
Ini bermakna, soal tidak hadir atau ponteng Parlimen tidak ada kena mengena dengan parti mana yang memerintah, tetapi lebih kepada sikap dan rasa tanggungjawab Ahli Parlimen itu sendiri.
Tidak kira ketika era BN atau pun PH, yang tidak hadir bukan saja Ahli Parlimen kerajaan, tetapi juga pembangkang.
Pelbagai peringatan, teguran dan kritikan selalu kita dengar setiap kali kejadian tidak cukup korum itu berlaku dan menjadi perbualan dalam masyarakat.
Malah, pelbagai cadangan, saranan dan syor juga akan kedengaran untuk membendung agar ia tidak berlaku lagi, antaranya pemotongan elaun dan sebagainya.
Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sendiri turut memberi peringatan kepada menteri, timbalan menteri dan Ahli-Ahli Parlimen mengenai perkara itu.