Minda Presiden PAS
JADILAH MELAYU YANG TIDAK LUPA
Sabda Rasulullah S.A.W.:
آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلاثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا ائْتُمِنَ خَانَ (رواه البخاري ومسلم)
“Tanda orang munafiq itu tiga: Apabila berjanji dia mungkiri, apabila dia bercakap dia bohongi dan apabila dia diberi amanah dia khianati”. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Melayu yang beragama Islam berakhlak mulia sangat menjaga pesanan Rasulullah S.A.W. sehingga setiap janji yang diucapkan kebiasaannya akan menyebut dengan Insya-Allah, kerana kebimbangannya berkemungkinan ada halangan tidak dapat menunaikan janji. Apabila memungkiri janji dengan sendirinya berlaku bohong dan tidak amanah laksana mata rantai yang saling berkaitan.
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) menjadi pengajaran bagi bangsa Melayu dalam menilai pemimpin yang mudah bercakap dengan lidahnya yang tidak bertulang: “Malam ini diisytiharkan menang, esok harga minyak diturunkan”. Laksana ucapan Almarhum Presiden Sukarno yang bergetar ucapannya mahu mengganyang Malaysia sebelum ayam jantan berkokok pada waktu pagi sewaktu penubuhan Malaysia yang terus tegak sehingga kini.
Ramai orang Melayu yang bertepuk tangan sehingga hampir bengkak jari jemarinya kerana mudah percayakan janji seperti ini. Tetapi sifatnya sejak azali mudah lupa. Sorak kemenangan pilihan raya menjadikannya lupa apa yang dilaungkan sebelumnya.
Maka yang paling kuat berucap dengan janji itu dikira paling layak menjadi pemimpin. Islam yang dianutinya sejak beberapa abad dilupakan, Rasulullah S.A.W. yang disambut maulidnya setiap tahun dengan gema selawatnya, hanya sekadar satu hari sahaja seperti mudah lupanya dengan janji yang kuat dilaungkan itu.