SHAH ALAM - Rakyat tidak seharusnya dikelirukan dengan isu kehadiran diplomat Israel dan juga pasukan kriket negara itu yang dibenarkan beraksi di Malaysia pada Kejohanan Kriket Trofi Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) 1997.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, mana-mana negara yang sedang bermusuhan walaupun diambang perang sekalipun tetap cuba mengendalikan acara sukan dengan adil.
“Ini antara hujah bagi menghalalkan kehadiran diplomat Israel di Malaysia dengan membangkitkan kisah pasukan kriket Israel yang dibenarkan beraksi di Malaysia pada 21 Mac 1997.
“Mereka ini seolah-olah tidak dapat membezakan antara peranan atlet dengan diplomat serta keperluan untuk mengasingkan sukan dari sebarang sentimen kebencian atau permusuhan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, kekeliruan tersebut sengaja dibangkitkan kerana mereka gagal memahami sensitiviti masyarakat tempatan khususnya umat Islam .
Sebagai contoh, Jerman pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 1936. Antara negara yang menyertai acara berprestij itu adalah musuh Jerman seperti Perancis dan Britain.
“Namun demi semangat kesukanan, Kerajaan Adolf Hitler mengendalikan Sukan Olimpik 1936 itu dengan jayanya walaupun terdapat beberapa kontroversi.
“Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri pada 1997 berkata, kerajaan membenarkan kemasukan pasukan kriket Israel supaya mereka dapat melihat keharmonian masyarakat Malaysia yang majmuk, terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama namun boleh hidup sejahtera, tidak seperti mereka di Tebing Barat,” katanya.
Menurut Muhammad Faiz, Korea Utara pimpinan Kim Jong-un juga penah mengundang pasukan bola keranjang dari negara musuh ketatnya, Amerika Syarikat (AS) pada 2013.
Namun di pentas antarabangsa, Korea Utara tetap bermusuhan dengan AS.
“Tiada diplomat AS dibenarkan masuk ke Korea Utara apatah lagi bebas berkeliaran tanpa diiringi wakil tuan rumah, hingga boleh bergambar di sana sini seperti apa yang dilakukan oleh diplomat Israel ketika berkunjung ke Malaysia,” katanya.
No comments:
Post a Comment