Friday, March 30, 2018

RUU Antiberita Tidak Benar 2018 dan kesannya


ZULQARNAIN LUKMAN


RUU Antiberita Tidak Benar 2018 dan kesannya
Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibentangkan di Parlimen telah mendapat liputan meluas kerana kesan sabitan terhadap kesalahan menerbitkan atau menawarkan berita tidak benar adalah sangat berat iaitu boleh didenda tidak melebihi RM500 ribu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 6 tahun.

Selain itu, jika kesalahan itu dibuat secara berterusan denda tidak lebih RM3,000 boleh dikenakan bagi tiap-tiap hari kesalahan itu dilakukan selepas sabitan.

RUU tersebut yang mengandungi 14 seksyen adalah bertujuan untuk memperkatakan tentang berita tidak benar dan perkara berkaitan. Mengikut huraian kepada RUU ini, perkembangan pesat teknologi telah menjadi kebimbangan global dan semakin serius sehingga menyentuh orang awam sehingga memerlukan kawal selia yang lebih tegas.

‘Berita tidak benar’ telah ditafsirkan sebagai apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea. “Penerbitan” pula ditafsirkan sebagai termasuk apa-apa penerbitan bertulis atau yang serupa dengan penerbitan bertulis atau salinan atau penghasilan semula secara substansial penerbitan itu dan apa-apa penerbitan yang dihasilkan secara digital, elektronik, magnetik atau mekanikal atau replikasi substansial penerbitan itu.


Ini bermakna apa-apa penerbitan melalui media sosial seperti facebook dan aplikasi whatsapp juga boleh dikenakan pendakwaan.
RUU ini memperuntukkan bahawa sesiapa yang mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar atau penerbitan yang mengandungi berita tidak benar boleh disabitkan atas kesalahan tersebut.

Selain itu, Mahkamah juga diberikan kuasa untuk memaksa pesalah itu untuk memohon maaf terhadap orang yang disentuh itu dan jika enggan maka boleh dikenakan hukuman menghina Mahkamah.

Selain itu, RUU ini juga memperuntukkan kesalahan bagi orang yang bersubahat dalam membuat penerbitan itu dengan memberikan bantuan kewangan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

RUU ini juga meletakkan kewajipan kepada mana-mana orang yang mempunyai milikan, jagaan atau kawalan terhadap penerbitan tidak benar itu untuk menghapuskan penerbitan itu secara serta-merta dan sesiapa yang tidak melaksanakannya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 ribu dan denda tidak lebih RM3000 sehari selepas sabitan selama kesalahan itu berterusan.

Menariknya juga RUU ini membenarkan mana-mana orang yang disentuh dengan penerbitan tidak benar itu boleh memohon di Mahkamah untuk penghapusan penerbitan itu.

Pesalah di bawah RUU ini bukan sahaja boleh didakwa kerana penerbitan berita tidak benar itu disiarkan di Malaysia. Pesalah itu boleh juga didakwa jika ianya diterbitkan di luar Malaysia dan tindakan pendakwaan boleh dikenakan tanpa mengira apa jua kerakyatan pesalah itu asalkan berita tidak benar itu adalah mengenai Malaysia atau orang yang disentuh itu adalah warganegara Malaysia.

Secara umumnya RUU ini nampaknya adalah baik untuk rakyat Malaysia khasnya bagi mengekang penyebaran berita palsu. Ini kerana dengan adanya RUU ini rakyat Malaysia mempunyai tempat untuk mengadu sekiranya mereka menjadi mangsa berita tidak benar.

Namun, kerisauan rakyat Malaysia keseluruhannya adalah peruntukan dalam RUU ini adalah terlalu umum dan mudah untuk disalahgunakan. Jika dilihat kepada takrifan ‘berita tidak benar’ itu ianya adalah terlalu longgar.

Jika dibandingkan dengan Anti-Fake News Act of 2017 (Philipphines), definisi berita tidak benar itu adalah lebih ketat kerana berita tidak benar itu mestilah telah menyebabkan atau mempunyai kecenderungan untuk menyebabkan perasaan panik, pecah belah, huru-hara, keganasan, kebencian atau menjadikannya sebagai satu propaganda untuk menjatuhkan reputasi seseorang.

Manakala undang-undang yang hampir sama di Jerman iaitu (Netzwerkdurchsetzungsgesetz) telah diberikan definisi yang lebih spesifik iaitu berita tidak benar itu hendaklah berkaitan dengan seksyen yang khusus dalam undang-undang jenayah seperti menyebarkan propaganda Nazi, aktiviti terorisme, fitnah terhadap Presiden atau negara, penderhakaan, penipuan, keganasan dan pornografi.

RUU ini juga gagal untuk menentukan siapakah yang boleh mengatakan sesuatu berita itu adalah ‘berita tidak benar’. Dalam hal ini, undang-undang Malaysia memberikan kuasa kepada pihak polis selaku pihak yang bertanggungjawab untuk membuat siasatan dan kepada Peguam Negara untuk membuat pendakwaan.

Ini bermakna kuasa untuk memutuskan sesuatu berita itu tidak benar adalah terletak kepada kedua-dua badan ini dan ini boleh menyebabkan keadilan terjejas. Walaupun kemudiannya Mahkamah yang akan membuat penentuan tetapi pada peringkat awal ianya diputuskan oleh PDRM dan Peguam Negara untuk tujuan pendakwaan. Sehubungan itu, berkemungkinan wujud kekhuatiran orang ramai mengenai ketelusan sesuatu penyiasatan dan pendakwaan.

Selain itu, kekhuatiran orang ramai juga adalah bahawa RUU ini akan mengekang kebebasan bercakap dan mengeluarkan fikiran seperti mana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kewujudan internet dan media sosial pada hari banyak mengubah lanskap pemikiran orang ramai. Orang ramai lebih mudah untuk mendapatkan maklumat dan ini terbukti dengan isu 1MDB yang mula diketahui ramai dengan meluas dan mendalam.

Justeru, kebimbangan orang ramai ini adalah berasas kerana kandungan RUU ini yang longgar dan tidak jelas menyebabkan kemungkinan berlaku ketidakadilan dalam perlaksanaannya. Lagipun, undang-undang yang sedia ada sudah lebih daripada mencukupi untuk menangani fitnah dan berita tidak benar yang berlegar di media sosial.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...