Friday, April 6, 2018

ECRL bakal bawa masuk puluhan ribu pekerja China?

Walaupun pihak Malaysia Rail Link Sdn. Bhd (MRL) pernah memberitahu projek raksasa Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan menawarkan 80,000 peluang pekerjaan tetapi angka itu mungkin tidak lagi sepenuhnya untuk rakyat tempatan.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak pemaju telah memohon kepada Putrajaya untuk mengambil pekerja warga China bagi projek melibatkan proses ambil alih tanah seluas 17,000 hektar atau melebihi 20,000 lot itu.

“Mereka telah memohon untuk merekrut pekerja China kerana peralatan dan jentera yang digunakan adalah teknologi China yang menggunakan bahasa Mandarin untuk sistem operasi dan manual,” jelasnya dalam jawapan Parlimen baru-baru ini.

Beliau berkata, selepas semakan, kerajaan mendapati permohonan untuk pengambilan pekerja asing bagi projek ECRL itu memenuhi semua kriteria dan nisbah kelayakan yang ditetapkan oleh Agensi Kawal Selia.

“Selain itu, perbincangan terhadap pekerja asing dari China sedang dijalankan berdasarkan kes demi kes dan hanya untuk projek-projek kerajaan yang berdampak tinggi akan diluluskan,” katanya.


Zahid menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang bertanya sama ada pengambilan pekerja Cina untuk projek ECRL dilakukan mengikut peraturan yang berkaitan.

ECRL projek China.

Walau bagaimanapun, Zahid tidak mengulas lanjut mengenai jumlah pekerja Cina yang terlibat dalam projek kontroversi bernilai RM55 bilion itu.

ECRL dimiliki oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) manakala China Communications Construction Ltd (CCCC) selaku kontraktor utama yang akan terlibat dalam pembinaan landasan, pemasangan sistem, isyarat dan komunikasi.

Keputusan kerajaan yang menerima pengambilan pekerja warga China untuk ECRL itu bagaimanapun dikritik banyak pihak yang bimbang peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan akan terjejas.

Pada masa sama, alasan bahasa Mandarin juga dipersoal memandangkan ramai rakyat Malaysia turut menguasai bahasa tersebut.

November tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd (MRL), Darwis Abdul Razak dilapor menganggarkan sebanyak 80,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan daripada projek tersebut.

Darwis turut memberitahu seramai 3,600 graduan ijazah, diploma dan sijil dalam bidang teknikal dan kejuruteraan berkaitan pembinaan akan dipilih secara berperingkat untuk menyertai Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) bagi merebut peluang pekerjaan dalam pembangunan ECRL.

Program yang dilancarkan pada 14 Jun 2017 itu dikelolakan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Universiti Beijing Jiaotong dan Universiti Southwest Jiaotong dari China.

“Melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tajaan CCCC ini, pelatih yang berjaya menamatkan latihan akan ditawarkan pekerjaan di MRL, CCCC atau sub kontraktor terlibat,” kata Darwis lagi dipetik dari Utusan Malaysia, 17 November 2017.

1 comment:

  1. Kita sudah saksikan kemasukan Indonesia sebagai buruh dan akhirnya ramai diantara mereka menjadi penduduk tetap dan memiliki hak 6ang sama dengan kita. Kita juga telah saksikan bagaimana Bangladesh datang dengan menjadi buruh dan akhirnya mereka menguasai banyak perniagaan yang sepatutnya hak rakyat Malaysia. Myammar dan Kemboja juga sama datang sebagai pelarian dan akhirnya mereka memiliki hak-hak seperti rakyat Malaysia dan bebas berniaga tanpa perlu membayar cukai atau sebarang undang-undang untuk mengikat mereka. Akhirnya rakyat Malaysia terpaksa terima tanah dipijak milik orang. Sekarang orang-orang China pula mula hendak bertapak dan apa pula kesudahannya jika parti yang memerintah sekarang terus dikekalkan?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...