Monday, April 2, 2018

Parlimen mungkin bubar minggu depan

https://malaysianaccess.com/wp-content/uploads/spr-pilihan-raya-1.jpg
SEPANGGAR – Dewan Rakyat mungkin dibubarkan sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan manifesto Barisan Nasional (BN) menjelang akhir minggu depan, kata Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini.

“Kemungkinannya, berdasarkan pengalaman kami (BN) sebelum ini, pelancaran manifesto BN dibuat selepas Parlimen dibubarkan. Itu dah jadi suatu tradisi.

"(Bagaimanapun) Saya tidak pasti sama ada Datuk Seri Najib akan mengamalkan kaedah yang sama (melancarkan manifesto selepas Parlimen dibubarkan),” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan jalan raya dan perparitan di Sepanggar di sini.

Abdul Rahman, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata manifesto itu dijadual dilancarkan minggu depan, manakala hari terakhir persidangan Dewan Rakyat ialah 5 April.

“Ada seseorang memberitahu saya, tapi saya tidak dapat mengesahkannya. Anda (rakyat) boleh menjangkakan Parlimen akan dibubarkan minggu depan,” kata beliau.

Menurut Abdul Rahman, manifesto BN akan dilancarkan secara besar-besaran pada satu majlis di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Menteri itu berkata, beliau sudah melihat manifesto berkenaan, yang mengandungi perkara "baik dan memeranjatkan”, terutama bagi Sabah.

"Ada juga beberapa perkara (dalam manifesto itu) yang kita tidak pernah terfikir sebelum ini, bagaimanapun kami (pemimpin BN Sabah) telah berjuang bermati-matian mengenainya supaya perdana menteri memasukkan satu atau dua daripadanya ke dalam manifesto itu. Tunggu sahajalah sehingga pelancarannya (untuk mengetahui perkara itu),” kata beliau.

Abdul Rahman berkata hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga akan dimasukkan ke dalam manifesto itu.

Sebagai anggota Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan tentang Penurunan Kuasa Kepada Sabah dan Sarawak, yang dipengerusikan bersama Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, beliau berkata masa untuk menyemak semula MA63 sudah berlalu dan kini adalah masa untuk melaksanakannya pula.

“Saya berani memberi jaminan kepada anda bahawa Datuk Seri Anifah dan Datuk Seri Nancy bersama-sama anggota Kabinet lain dari Sabah dan Sarawak benar-benar komited agar semangat MA63 dipulihkan, sejajar dengan kehendak perdana menteri sendiri supaya apa jua yang telah diambil secara tidak sengaja atau sengaja daripada Sabah (dan Sarawak), akan dikembalikan,” katanya.

Abdul Rahman berkata manifesto itu bukanlah suatu dokumen yang menjelaskan tentang semua perkara, tetapi menurut beliau, ia mengandungi perkara yang belum pernah dibincang sebelum ini, sesuatu yang BN berjanji untuk dilakukannya dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya ia diberi mandat untuk terus memerintah negara ini.

"Oleh itu, saya berpendapat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tentang pendatang tanpa izin di Sabah tidak sepatutnya dimuatkan ke dalam manifesto berkenaan kerana perkara itu sudah dilaksanakan dan sudahpun diketahui rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata manifesto itu perlu dibaca bersama-sama komitmen lain yang telah diumumkan kerajaan BN agar komitmen BN terhadap rakyat dan negara dapat difahami dengan lebih jelas.

“Sebagai contoh, anda perlu membaca manifesto itu bersekali dengan apa yang telah kami (kerajaan BN) janjikan dalam Rancangan Malaysia Ke-11, dokumen Transformasi Nasional 2050 dan belanjawan yang dibentangkan perdana menteri setiap tahun”. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...