Saturday, April 21, 2018

Saya akan guna gelaran ‘Datin Seri’ selepas ini, Izzah beritahu Rosmah

https://www.beritadaily.com/wp-content/uploads/2016/09/nurul-izzah.jpg

Naib presiden PKR itu memohon maaf dan menerima teguran isteri perdana menteri itu sebagai kritikan membina.

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memohon maaf kepada isteri perdana menteri kerana tidak menghormatinya sebagai orang tua dan beliau menerima teguran Datin Seri Rosmah Mansor sebagai kritikan membina.

Beliau berjanji akan menggunakan gelaran “Datin Seri” kepada Rosmah selepas ini.

“Saya sudah memohon maaf sekiranya saya mengguris hati Datin Seri Rosmah.

“Seingat saya, saya cuba untuk menggunakan gelaran ‘Datin Seri’ dan segala kritikan membina, maklum balas serta komentar saya berdasarkan pendirian prinsip keadilan, bukannya serangan peribadi,” katanya kepada FMT hari ini.

Semalam, Rosmah menyuarakan kekecewaannya terhadap Izzah yang dianggap anaknya, tetapi tidak menghormatinya sebagai orang tua dan memfitnah serta mengkritiknya di media sosial.

Katanya, beliau mengenali anak sulung bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sejak kecil lagi, tetapi kecewa dengan sikap Izzah yang tidak menghormati orang tua dan disifatkannya tidak layak menjadi pemimpin.



“Memang saya kecil hati dengan dia, saya kenal dia masa dia kecil lagi sebab saya berkawan dengan mak dia (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail). Saya sering pergi ke rumah mak dia sebab disuruh masuk jawatankuasa badan kebajikan.

“Saya tahu masa itu, saya tengok dia (Izzah) gigi pun tak ada lagi, masa dia umur 6 tahun ke 7 tahun lagi saya kenal dia, sekarang dia boleh panggil, tuduh saya macam-macam dalam sosial media.

“Dia tak nak panggil saya Datin Seri Rosmah tak apa, panggilah Aunty Rosmah ke, mak cik Rosmah ke? Ini tak, terus-terus panggil saya Rosmah Mansor.

“Tak apa kalau nak politik, politiklah, tapi jangan panggil orang nama sahaja, saya terasa. Saya umur 65 tahun, panggilah saya isteri Datuk Seri Najib ke, mak cik Rosmah ke, ada juga tanda hormat sikit,” katanya semalam.

Lembah Pantai pilihan hati

Dalam perkembangan lain, Izzah berkata, kerusi Parlimen Lembah Pantai yang disandangnya selama 2 penggal tetap menjadi pilihan hatinya pada pilihan raya umum ke-14.

Bagaimanapun, katanya, pucuk pimpinan parti yang akan menentukan calon di kerusi Parlimen itu dan beliau akur dengan keputusan PKR.

“Saya ingatkan diri saya berserta pimpinan lain, kita hanyalah terpilih sebagai calon sekiranya parti mengkehendakkan dan Lembah Pantai menjadi pilihan hati, walau saya akur dengan keputusan parti.

“Di manapun saya bertanding, pejabat saya di Lembah Pantai berserta program pendidikan yang saya anjurkan sentiasa terbuka kerana Lembah Pantai sentiasa di hati saya dan duit elaun bulanan gaji saya sejak 2008 saya belanjakan untuk kegunaan Parlimen Lembah Pantai kerana dinafikan wang peruntukan hampir RM5 juta setahun,” katanya.

Beliau menjawab cabaran Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil untuk terus bertanding di kerusi Parlimen itu menentang calon BN, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Semalam, Shahrizat menyifatkan Izzah pengecut kerana mendakwanya tidak berani mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai yang dimenanginya sejak 2008.

Izzah memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai pada 2008 dengan mengalahkan Shahrizat melalui kelebihan 2,895 undi dan berjaya mempertahankan kerusi itu pada 2013, selepas menewaskan Nong Chik dengan 1,847 undi.

Rabu lalu, Izzah menolak spekulasi akan menggantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanding di Permatang Pauh, selepas ibunya dilaporkan tidak menolak kemungkinan akan melepaskan kerusi Parlimen itu dan berpindah ke Parlimen Pandan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...