Friday, May 25, 2018

Andik yakin Rangel suntik semangat

ALOR SETAR: Pemain sayap lincah Kedah, Andik Vermansyah yakin kehadiran penyerang sensasi Paulo Rangel dalam skuad Lang Merah mampu menyuntik semangat baharu apabila turun menentang Selangor di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

Andik yang pernah beraksi di samping Rangel sebelum ini berkata, persefahaman baik antaranya dengan pemain Brazil itu memang sudah terjalin sewaktu mereka beraksi bersama Selangor dari 2013 hingga 2014.

"Hampir empat tahun saya tidak berjumpa dengan Rangel namun saya masih ingat gerakan berbahaya yang dia lakukan sewaktu kami beraksi untuk Selangor.

"Kini kami bertemu semula dalam pasukan Kedah dan saya rasa kami sudah semestinya mahu menggunakan persefahaman yang baik ini sebagai 'senjata' untuk kekuatan pasukan. Saya juga harap dia mengulangi kejayaan seperti sebelum ini."

Andik juga berazam meneruskan momentum kemenangan yang dilakar Kedah selepas menang dua kali berturut-turut menewaskan Negeri Sembilan (2-1) dan Pahang (2-0).


"Saya lihat rakan sepasukan kian bersemangat selepas kami mencatat kemenangan ke atas Negeri Sembilan dan Pahang sebelum ini dan dengan kemasukan penyerang baru Rangel, saya yakin jentera akan bertambah tajam dan semangat kami terus melonjak untuk terus memburu kemenangan."

Kedah berjaya membenam Selangor 4-0 di Stadium Darul Aman, bulan lalu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...