Wednesday, May 30, 2018

Kakitangan Jasa patut sedar mereka lantikan politik, MPN ahlinya pembodek, kata A Kadir


MALAYSIA DATELINE

http://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2018/05/jasa_putrajaya.jpg
Sebahagian kakitangan lantikan politik yang hilang jawatan apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menutup Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) harus sedar nasib mereka walaupun tidak terbabit secara langsung dengan kegiatan politik pro-Umno atau Barisan Nasional (BN).

Tokoh wartawan veteran A Kadir Jasin berpandangan demikian dalam tulisan di blognya, menyebut apa yang dikatakan itu adalah pandangan peribadinya sebagai blogger tidak mewakili mana-mana jawatan disandangnya,

Beliau menjelaskan, kakitangan terbabit juga sepatutnya tahu dan sedar bahawa turun naik nasib mereka bergantung pada jatuh bangun parti yang melantik mereka dan yang mereka sokong selama ini.

“Mereka terbabit secara subahat apabila ketua mereka ‘mempolitikkan’ tugas mereka. Ketua macam Ketua Pengarah dan Ketua Pemikir Jasa adalah orang yang perlu mengambil tanggungjawab atas kecelakaan yang menimpa anak buah mereka jika mereka berhati perut,” katanya.


Dalam pada itu, A Kadir berkata, semua pihak tidak perlu berasa simpati apabila MPN dibubarkan kerana ramai ahlinya menjadi ‘pembodek’ kepada ketua Umno dan BN khususnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Mereka mengorbankan kebebasan dan kecemerlangan kecendekiawanan semata-mata untuk pangkat, duit dan gelaran kebesaran. Khabarnya dalam kalangan naib canselor, mereka berlumba-lumba mendapatkan gelaran ‘Tan Sri’.

“Memang patut pun majlis itu dibubarkan. Dalam kefahaman umum, MPN adalah badan intelektual tertinggi yang tugasnya mempamer dan melaksanakan kebebasan intelektual di tahap paling tinggi,” katanya.

A Kadir juga mencadangkan supaya tempoh jawatan naib canselor sedemikian dikaji semula dan dipendekkan atau ditamatkan terus.

“Pilihlah pengganti yang tulen kecendekiawanannya dan rajin menyelidik serta menulis,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, wakil politik dalam agensi kerajaan tidak layak mendapat simpati dan terus memegang jawatan mereka.

“Ada beberapa orang sudah mengumumkan peletakan jawatan tetapi masih ramai yang berdiam diri. Kita pun tidak tahu apa tujuan dan muslihat mereka.

“Yang kita tahu ialah kalau mereka bersedia membuat pusingan U, tidak ada jawatan ‘pengampu’, ‘pembodek’ dan ‘pemakan dedak’ dalam sistem kita,” katanya.

Beliau dipercayai mengulas keputuan kerajaan PH pada 23 Mei lalu, membubarkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Majlis Profesor Negara (MPN), dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Tambah A Kadir lagi, eksekutif syarikat dan pelaburan berkaitan kerajaan (GLC dan GLIC) perlu mengundurkan diri secara sukarela atau menghadapi kemungkinan disingkirkan.

Katanya, ada segelintir mereka kini diminta memberi kerjasama kepada kerajaan dengan membekalkan maklumat mengenai urus niaga perbadanan pada zaman Najib, namun tidak bermakna mereka kini selamat.

“Kita pun sukar hendak bersimpati dengan watak-watak korporat yang amat akrab dengan ‘suri dalam dapur’ sekiranya saham mereka ditekan turun oleh pelabur di Bursa Malaysia manakala kontrak, projek serta konsesi mereka dikaji semula.

“Selepas kemenangan PH, jika mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan dan perniagaan mereka adalah tulen dan telus mereka tidak perlu bimbang. Tapi nampaknya pelabur tahu dan mereka menjual saham syarikat terbabit sehingga harganya jatuh merudum,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...