Saturday, July 7, 2018

Bekas PM dipenjara 10 tahun kerana rasuah

Rasuah: Bekas PM Pakistan dipenjara 10 tahun
6 JULAI 2018


ISLAMABAD - PAKISTAN. Sebuah mahkamah antirasuah di Pakistan, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif atas kes rasuah berhubung pembelian kediaman mewah di London.

Biro Akauntabiliti Kebangsaan (NAB) mendakwa keluarga Sharif yang kini menetap di London gagal untuk membuktikan sumber pendapatan sah untuk pembelian apartmen Avenfield di ibu negara Britain itu pada pertengahan 1990-an.
"Keputusan hari ini menunjukkan apartmen itu dibeli menggunakan wang rasuah," kata pendakwa raya, Sardar Muzaffar Abbasi.

Anak perempuannya, Maryam yang dilihat sebagai pewaris politiknya juga berdepan hukuman penjara tujuh tahun manakala suami wanita tersebut, Muhammad Safdar yang merupakan ahli parlimen Liga Islam Pakistan (PML-N) dihukum penjara 12 bulan.

Mahkamah turut mengarahkan Maryam membayar denda 8 juta pound (RM42.8 juta) dan 2 juta pound (RM10.7 juta) serta harta mereka di London dirampas bagi pihak kerajaan Pakistan.

Keputusan itu dilihat bakal memberi tamparan hebat kepada parti PML-N menjelang Pilihan Raya Umum pada 25 Julai depan. - Press TV

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...