Wednesday, July 4, 2018

Mahfuz catat sejarah di Pokok Sena


POKOK SENA - Pelantikan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sebagai Timbalan Menteri Tenaga Manusia semalam mendapat sambutan baik dari kalangan penduduk di situ.

Mereka berharap pelantikan itu akan memberi rahmat kepada penduduk di Pokok Sena ini dan membawa kemajuan pada masa akan datang.

Juhari Hanapiah dari Kampung Pokok Pauh berkata, masyarakat di Pokok Sena tidak menyangka Ahli Parlimen Pokok Sena itu akan dilantik dalam senarai Kabinet.

Katanya, pemilihan Mahfuz adalah tepat sekali kerana beliau seorang yang sentiasa mengambil berat tentang masalah rakyat dan tidak hairanlah mampu mengekalkan kerusi Parlimen itu selama tiga penggal.

“Pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri dalam kabinet turut mencatat sejarah di Pokok Sena ini kerana sebelum ini Ahli Parlimen di sini hanya memegang jawatan Setiausaha Parlimen sahaja.

“Masyarakat di sini sangat bersetuju beliau dilantik dengan jawatannya itu kerana beliau seorang yang lantang memperjuangkan nasib rakyat tidak kira apa masalah sekali pun,” katanya yang juga seorang pesara guru.

Menurut Juhari, pelantikannya itu bukan sahaja hadiah kepada beliau tetapi kepada seluruh penduduk di Pokok Sena ini yang mahu meningkatkan lagi pembangunan di daerah itu.

Mahfuz catat sejarah di Pokok Sena
“Saya berharap dengan sikapnya yang sentiasa mendekati masyarakat di sini memberi banyak maklumat serta akan dapat memacu kementerian yang beliau terajui ke arah membina semula negara,” katanya.

Md Zain Hassan,38, dari pekan Pokok Sena berkata, pelantikan itu diharap dapat membawa kemajuan di Parlimen ini pada masa akan datang.

Katanya, adalah bertepatan seorang menteri dilantik di kawasan ini kerana semenjak Pokok Sena berpisah dari Parlimen Padang Terap belum lagi wakilnya dilantik sebagai menteri.

“Apabila dimaklumkan Mahfuz dilantik sebagai Timbalan Menteri dalam Kabinet, penduduk di sini sungguh gembira kerana yakin Pokok Sena yang mempunyai beberapa masalah kemudahan asas selama ini dapat dimajukan,” katanya.

Menurut Md Zain, Mahfuz memang layak dilantik sebagai menteri kerana seorang yang bekerja keras dan sentiasa turun ke padang bagi mendalami masalah rakyat.

Sikapnya yang tegas dan tidak pernah mengaku kalah dalam memperjuangkan nasib rakyat di sini menjadi kunci kejayaan kepadanya hingga ke hari ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...