Wednesday, July 11, 2018

Penjelasan ZAM sebab apa dia suruh tutup sekolah tahfiz..!

MENGAPA SAYA MAHU SEKOLAH TAHFIZ DITUTUP

Pertama sekali saya mengalu-ngalukan kenyataan Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa yang menjawab pertanyaan umum apakah langkah kerajaan untuk mengawal sekolah-sekolah Tahfiz berikutan dengan tragedi dahsyat kebakaran yang membunuh lebih 20 orang pelajar tahfiz di Kuala Lumpur tidak lama dahulu.

Kajian dan siasatan telah dijalankan oleh beberapa pihak termasuk Kementerian Pelajaran tetapi sepi kerana kerajaan BN pimpinan Najib tidak berani menyentuh senstiviti agama dan tidak pernah diumumkan secara terperinci apakah langkah seterusnya yang akan diambil. Kajian itu terus terbenam bersama terbenamnya kerajaan BN . Jabatan-jabatan agama yang terlibat juga mendiamkan diri seolah-olah mahu melepaskan diri dari tanggungjawab ini.

Provokasi saya telah menghasilkan jawapan yang ditunggu oleh masyarakat Islam di negara ini yang semakin ramai memandang serong dan negatif terhadap sekolah-sekolah tahfiz persendirian. Masih tidak ada kawalan berkesan terhadap pertumbuhannya.



Langkah kerajaan untuk mengawal selia sekolah-sekolah tahfiz supaya tidak terasing daripada sistem pendidikan yang ditetapkan seperti yang dinyatakan oleh Dr.Mujahid, itulah yang menjadi harapan masyarakat Islam di negara ini.

Kejayaan sekolah tahfiz melahirkan huffaz profesional adalah terpencil tetapi banyak anak-anak kita yang akan menjadi korban dan membuang masa di sekolah-sekolah tahfiz persendirian yang masih di luar kawalan.

Saya ingin menarik perhatan Dr. Mujahid sebab yang mendorongkan saya supaya ditutup dulu semua sekolah tahfiz persendirian di negara ini kerana menjadi perdagangan ustaz-ustaz.

Antaranya:

1. Seorang rakan peguam saya di Pulau Pinang mempunyai kes aduan seorang ustaz telah menukarkan tanah yang diwakafkan kepadanya tanpa surat perjanjian untuk membuka sekolah tahfiz telah menukarkan tanah itu menjadi miliknya. Kes belum selesai dan banyak lagi kes penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa mengambil kesempatan dari sentimen agama.

2- Murid- murid sekolah tahfiz diexpolitasi oleh ustaz-ustaz mereka untuk menjual buku-buku agama dan mengutip derma dari orang ramai. Banyak menunggu di hadapan bank-bank atau mengutipnya di kedai-kedai mamak dan juga dari rumah ke rumah- suatu cara yang dijalankan oleh Al-Arqam yang telah diharamkan suatu masa dahulu.

3-Ibu bapa yang telah berjaya dalam hidup termasuk dari kalangan profesional menghantar anak-anak mereka ke sekolah tahfiz dengan kepercayaan mempunyai anak huffaz akan membantu membasuh dosa mereka dan jika mati, mayat tidak akan hancur.
(Mayat Stalin dan juga Mao Zedong tidak hancur di simpan di mousoleum di Moscow dan Beijing). Mayat sami Buddha yang terkenal juga disimpan di Thailand dan dikeluarkan sesekali untuk tontonan ramai. Apa perlunya mayat tidak hancur?

4-Banyak tragedi telah berlaku di sekolah-sekolah agama bukan kerajaan. Selain dari kebakaran dan kemalangan juga penderaan, hukuman dan tekanan dalam pembelajaran kerana ustaz-ustaz tidak mempunyai latihan pendidikan yang sempurna dan profesional. Anak-anak yang masih muda membuang masa di sekolah-sekolah ini yang tidak mempunyai kokurikulum dan sistem pendidikan akademik yang moden.

5-Perkembangan sekolah-sekolah tahfiz berlaku setelah ustaz-ustaz yang tidak mempunyai nilai ekonomi menyedari inilah satu cara yang mudah untuk mendapatkan sedekah atau memperdagangkan agama. (Ini juga akan diwarisi oleh murid-murid mereka yang juga nanti tidak mempunyai nilai komersial)

6-Pejabat-pejabat agama negeri tidak berani bertindak kerana senstiviti agama dan menghormati orang-orang yang berjubah dan berkopiah putih.

Pimpinan BN Tun Dr.Mahathir dahulu berani mencabar senstiviti pemimpin-pemimpin agama, ulama-ulama yang tidak relevan dan juga tokoh-tokoh politik Islam yang karut dengan tujuan ikhlasnya untuk mengubah pemikiran umat Islam negara ini ke arah kemampuan menghadapi cabaran zaman dengan membina pendidikan agama dan indoktrinasi Islam yang bersifat universal, progresif, dinamik dan profesional. Beliau membina institusi-institusi Islam yang bertujuan membangunkan imej Islam tidak sahaja di kalangan umat Islam tetapi juga bukan Islam di negara ini.

Tetapi apabila beliau bersara tidak ada lagi Perdana Menteri yang sanggup memerangi aliran pemikiran Islam yang jumud, kolot dan mundur ke belakang di dalam bidang politik, ekonomi dan keilmuan. Program agama di TV dan radio mengutamakan komersial dan menjalankan indoktrinasi doa dan doa untuk ke syurga.

UMNO tunduk kepada hukum hudud PAS yang menyebabkan orang bukan Islam terutama MCA merasa mereka dikhianati oleh UMNO yang menjadi kawannya sekian lama dan orang Cina menolak UMNO.

Alhamdulillah setelah Mahathir kembali sebagai Perdana Menteri, beliau mendapat dua orang Islamic Scholars yang dinamik dan progresif iaitu Menteri Pelajaran Dr. Mazlee Malik dan Menteri Agama Dr. Mujahid Yusuf Rawa.

Mereka boleh meminta bantuan untuk memajukan Islam yang sihat daripada interlektual Islam yang terhormat di negara ini seperti Pakar Motivasi Dr.Mohd Fadzilah Kamsah, Mufti Perlis Dr. Maza, Bekas Ketua Pengarah IKIM Dr.Ismail Ibrahim dan bekas Pengerusi Bank Islam Dr. Abdul Halim Ismail.

Saya percaya kedua orang menteri ini yang mempunyai latar belakang akademik yang seimbang, boleh menjadikan diri mereka sendiri sebagai contoh pembinaan masyarakat Islam(role model) yang berkualiti dan terhormat di negara ini.

Adalah menjadi harapan saya agar program -program agama TV dan Radio mempunyai penasihat yang tidak berasaskan doktrin doa dan doa sebagai jalan ke syurga dan komersial semata. Cabaran zaman sekarang tidak boleh hanya di jawab dengan doa dan doa sepanjang masa. Doa tanpa usaha adalah khayal dan usaha tanpa doa adalah bongkak.

Jalan ke syurga bagi anak-anak Islam masa depan adalah dengan pencapaian cemerlang dalam semua bidang ilmu termasuk penguasan Bahasa Inggeris yang baik yang boleh meninggikan martabat orang Islam di negara sendiri.

Bahasa Arab tidak lagi mempunyai nilai sebagai bahasa Ilmu kecuali dibidang agama. Mana ada orang Arab yang terkenal di dunia dalam bidang profesional kerana bahasa Arab sendiri terbantut kemajuannya dalam bidang ilmu. Orang kita tidak berani berterus terang dalam hal ini kerana menyekutukan Arab dengan agama. Anak-anak Melayu lebih maju di bidang profesional dari orang Arab yang maju dalam bidang berbunuhan sesama sendiri.


DIEXPLOITASI MENJADI PEMINTA SEDEKAH

Langkah segera mestilah diambil bagi mencegah murid-murid sekolah tahfiz di exploitasi menjadi peminta sedekah oleh pihak berkuasa sekolah untuk menjalankan kutipan derma bagi pembiayaan pengurusan dan kemajuan sekolah mereka.

Disebalik kenyataan Menteri Agama Dr. Mujahid Yusuf Rawa kunonnya sekolah-sekolah ini telah di kawal selia, kita boleh melihat anak-anak tahfiz berada di hadapan pintu- pintu bank,di pasar-pasar, di kedai-kedai mamak dan ditempat-tempat umum dengan membawa risalah-risalah mengenai sekolah mereka yang memerlukan bantuan atau untuk pembinaan sekolah baru tahfiz.

Kenapa tidak meminta sahaja dari pejabat zakat?

Tidakah ini mencemarkan imej Islam sebagai agama rasmi negara?

Kenaapa ini tidak berlaku di kalangan masyarakat Cina di negara ini?

Kenyataan beberapa orang yang mempertahankan sekolah tahfiz,kunonya telah diberikan nilai baru,tidak seperti dahulu lagi dan ramai lepasan tahfiz yang boleh masuk ke pelbagai bidang adalah kenyataan yang tidak mengetahui situasi sebenar,kenyataan yang membohongi diri sendiri,bersifat umum dan serkap jarang.Sebuah dua sekolah berubah dan berjaya bukan menjadi suatu aliran umum untuk dibanggakan atau berupaya menutup kelemahan. Ia hanya merupakan setitik nila dalam susu sebelanga.

Sebagai wartawan saya boleh mendakwa saya tahu hal sebenar dan bukan pegawai-pegawai Yadim yang tidak berada di lapangan tetapi diawangan kerana tidak menjalankan tangungjawab sepenuhnya.

Realitinya selepas berlaku berbagai trajidi sekolah tahfiz,tidak ada langkah kongkrit yang telah diambil bagi memantapkan sekolah-sekolah tahfiz dengan penilaian displin ilmu dan keselamatan sebagai sekolah berasaskan nilai sekolah yg ditetapkan oleh kerajaan sebaliknya masih berperaturan pondok.
Uniform mereka sudah cukup membayangkan permulaan penutupan minda yang tidak selari dengan imej aliran perdana,tiada keterbukaan ,displin dan kurikulum yang disesuaikan dengan sistem pelajaran kebangsaan negara dalam artikata sebenar.

Semua sekolah ini masih belum dibawah kawal selia seperti yang didakwa oleh Menteri Agama Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.Lapuran siasatan yang dijalankan oleh beberapa pihak selepas berlaku kebakaran yang membunuh lebih 20 murid sekolah tahfiz tidak pernah dikeluarkan untuk pengetahuan orang ramai.

Kita tidak boleh membuat kenyataan sekadarkan untuk melepaskan batuk ditangga.Orang ramai menunggu lapuran rasmi dari Kemenertaian Pelajaran.

Saya tidak faham mangapakah mesti ada sekolah untuk orang Melayu dan Islam yang diluar aliran perdana yang pastinya menambah kecelaruan kepada sitem pelajran kebangsaan dan mengancam perpaduan masa depan orang Islam sendiri. Jika orang bukan Melayu memikirkan dengan berada di luar sistem ini akan mendatangkan faedah kepada mereka maka biarlah mereka menempah masa depan yang berada di luar aliran utama negara.

Kenapakah tahfiz ini tidak dimasukan sebagai satu kurikulum di Sekolah Kebangsaan yang akan memudahkan untuk dikawal selia dan memberikan kualiti dan nilai kepada pelajar-pelajarnya.

Reaksi dari seorang pengikut blog saya sewajarnya diberikan perhatian berat walaupun ringkas oleh Menteri Pelajaran baru dan juga Menteri Agama baru jika kita benar-benar kita hendak membina Malaysia Baru dengan mempunyai Islam yang berkualiti dalam masyarakt berbilang kaum dan antarabangsa.

Inilah pandangannnya:

Saya juga setuju dengan pandangan Tan Sri. Kerajaan patut ambilalih pendidikan TAHFIZA dengan
memasukkannya sebagai salah satu kurikulum. Setakat ini cuma ada 3 kurikulum selepas PT3 iaitu SAINS TULIN,
AKAUN dan SASTERA. Patut tambah satu lagi iaitu AGAMA bagi mereka yang cenderong untuk menjadi
TAHFIZA atau mendalami hal-hal berkaitan ISLAM. Dengan cara ini tidak perlu ditubuhkan pusat-pusat TAHFIZ
sendirian untuk mengkayakan ustaz- ustaz secara mudah. Dengan cara ini, anak-anak yang minat dalam bidang
TAHFIZ tidak perlu jadi peminta sedekah, memalukan ISLAM.

https://zamkata.blogspot.com/2018/07/mengapa-saya-mahu-sekolah-tahfiz-ditutup.html?m=1

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...