Friday, July 13, 2018

Umat Islam harus cari ruang bina negara dengan tidak terpengaruh persepsi

ARHAM MERICAN

Umat Islam harus cari ruang bina negara tidak terpengaruh persepsi
ULASAN: Umat Islam perlu bertenang, tidak reaktif dan terus membina kepakaran bagi mengisi ruang membina Malaysia Baru. Kenyataan Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) semalam yang antaranya mengatakan bahawa telah lengkap posisi Tiga Serangkai pada sektor undang-undang dan kehakiman oleh figura yang sangat meresahkan umat Islam adalah satu kenyataan yang tidak perlu dan bakal membina perpecahan antara warganegara Malaysia.

Secara asasnya, tiada larangan khusus dalam Islam yang melarang perlantikan warganegara bukan Muslim ke posisi-posisi tertentu dalam sesebuah negara. Ini apa yang disebut oleh Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam buku beliau Fiqh Negara, bahawa memberi jawatan kepada bukan Muslim dalam pemerintahan sesebuah negara jika individu itulah yang paling layak dan amanah, maka ianya adalah suatu bentuk keadilan yang sejajar dengan tuntutan Islam. Suruhan untuk berlaku adil kepada orang bukan-Muslim ini disebut dalam Al-Quran (Surah al-Mumtahanah, ayat 8 ).

Pandangan yang sama dinukilkan oleh Sheikh Dr. Fareed Abdul Khaliq, salah seorang pengasas Ikhwan Muslimin dalam buku beliau Fiqh al-Siyasi al-Islami bahawa memberikan golongan bukan-Muslim hak untuk dilantik memegang sesuatu jawatan adalah suatu penegasan dan sokongan terhadap kesatuan dalam sesebuah negara. Ia juga menghalang mereka daripada memecahkan kesatuan ini atas alasan mereka dipinggirkan dalam negara sendiri, yang dapat menanam kebencian dan permusuhan dalam jiwa mereka terhadap kaum Muslimin. Maka hal ini adalah suatu mudarat besar yang perlu dielakkan.

Selain itu dalam perbincangan Fiqh Negara dan Kewarganegaraan, yang menjadi garis ukur menentukan segala hak, hubungan dan tanggungjawab orang Muslim dan bukan-Muslim adalah kontrak perjanjian antara mereka, iaitu dalam konteks negara, merupakan Perlembagaan dan undang-undang negara. Pendirian ini adalah selaras dengan Sunnah Rasulullah dalam Perlembagaan Madinah, bahkan disebut oleh Sheikh Nuruddin al-Khadimi, ulama Maqasid dan bekas Menteri Agama Tunisia, ia (Perlembagaan Madinah) ibarat rujukan ketiga dalam negara Madinah ketika itu selepas al-Quran dan Sunnah. Jika tidak berpuas hati dengan undang-undang yang ada, maka undang-undanglah yang perlu dipinda berdasarkan prosedur yang telah ditetapkan.

Sama ada individu itu Muslim atau bukan-Muslim, melantik sesiapapun untuk memegang suatu jawatan tertakluk kepada Perlembagaan, kelayakan, pertimbangan manfaat, dan mudarat kepada Negara.

Berkenaan pelantikan Tan Sri Datuk Seri Panglima Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara, lantikan telah dilakukan berdasarkan prosedur yang disebut dalam Perkara 122B (1) Perlembagaan Persekutuan, dengan nasihat Perdana Menteri dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-raja. Rasional pelantikan beliau adalah kerana beliau adalah hakim paling kanan di mahkamah tertinggi Negara.

Siasah Rahmah juga ingin menyeru semua pihak agar tidak terlalu cepat menghukum dan berpegang dengan nilai Tiga Serangkai yang pernah diungkapkan oleh bekas Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Razak iaitu wala’ (kesetiaan kepada Pemimpin dan Negara), Wasatiyyah (sikap sederhana, moderat) dan tabayyun (teliti dan berhati-hati dengan maklumat). Semoga dengan nilai ini, kita dapat bersama-sama membina Malaysia yang inklusif, moderat, dan gemilang.

“Penulis adalah Penyelaras Siasah Rahmah sebuah kumpulan advokasi Politik Islam dan Polisi Awam pro- Shariah.

https://malaysiadateline.com/umat-islam-harus-cari-ruang-bina-negara-tidak-terpengaruh-persepsi/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...