ISMAIL HASHIM YAHAYA
Terdapat sesetengah ahli akademik yang mengatakan media arus perdana tidak lagi relevan kerana yang penting adalah media baharu. Malah sesetengah ahli akademik mempertikaikan bahawa media arus perdana terdiri akhbar, televisyen, radio dan agensi berita nasional sahaja kerana bagi mereka media baharu juga tergolong ke dalam media arus perdana.
Ini kerana bagi mereka khalayak masa ini lebih cenderung membaca berita daripada media baharu seperti Malaysia Dateline, The Malaysia Insight, Malaysiakini, Free Malaysia Media atau Awani Online atau Sinar online, The Star Online dan seumpamanya.
Tetapi perkembangan terkini menunjukkan bahawa media arus perdana tradisional masih lagi relevan dan berkuasa memainkan peranan propaganda bagi Pakatan Harapan (PH).
Ia menunjukkan ekonomi-politik media bukan tertumpu kepada media baharu, tetapi penguasaan pemilikan dan kawalan media oleh parti-parti poltik dalam PH.
Laporan berita dari media sosial memaparkan dengan gamban Datuk Hussammudidn Yaacob, pemilik Kumpulan Karangkarf Sdn Bhd dan Editor Pengurusan Sinar Harian sekarang menjadi Pengerusi TV Alhijrah. Ini bermakna Parti Amanah telah menguasai stesen televisyen itu.
Ini memandangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa juga Naib Presiden AMANAH yang tentunya mengambil seseorang yang pro-AMANAH sebagai seorang yang menjaga stesen televisyen tersebut.
Begitu dengan cadangan perlantikan Wan Hamidi Hamid sebagai Ketua Pengawai Eksekutif Bernama memperlihatkan seolah-olah wujudnya kaitan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dari DAP.
Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Rais Yatim mencadangkan kerajaan agar menimbangkan semula cadangan pelantikan bekas Ketua Pengarang media rasmi DAP, Roketkini, Wan Hamidi Hamid selaku ketua pegawai eksekutif (CEO) Bernama bagi mengekalkan konteks neutral dalam agensi berita itu.
Banyak juga media sama ada yang tradisional dan baharu telah melaporkan bahawa bekas wartawan, Wan Hamidi Hamid disebut-sebut bakal dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang baharu.
Apa yang pelik Rais juga tidak neutral kerana beliau adalah dari Parti Bersatu.
Bagaimana dengan akhbar The New Straits dan Berita Harian. Adakah kumpulan Tun Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin tidak ingin menguasainya? Penasihat Media kepada kerajaan adalah Datuk Kadir Jasin tentu masih mempunyai pengaruh dalam NST dan Berita Harian (BH). Kadir adalah juga ahli Bersatu.
Akhbar The Sun milik Vicent Tan, rakan baik Mahathir boleh saja menjadi suara tidak rasmi Bersatu dan PH yang pro kepada Perdana MenterI Malaysia.
Maka tidak hairan jika Bersatu boleh menguasai NST dan BH. Bagaimana dengan PKR? PKR tidak perlu bimbang kerana akhbar The Edge dan Financial Daily sudah berada di pihak mereka. Kecenderungan pemlik dan penerbit The Edge Media group Datuk Tong Kooi Ong kepada PKR dan PH dapat lihat kepada beberapa isu lampau.
Tong pernah dianggap sebagai kroni Datuk Seri Anwar Ibrahim dan didakwa Anwar pernah membantu Tong mendapat pemilikan Bank Phileo Allied dan membangunkan block bangunan dikenali Phileo Damansara. Satu blok bangunan didawka sebagai ibu pejabat PKR satu ketika dahulu.
Terdapat juga ura-ura bahawa wujud cadangan kumpulan pro-Anwar untuk menguasai TV3 dengan menyuntik dana ke dalam stesen televisyen itu.
Cuma tinggal RTM, sejauhmanakah stesen nasional negara itu kekal neutral kerana ia berada di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Gobind pernah meminta RTM menonjolkan imej baharu dan lebih agresif dalam tempoh enam bulan sebagai usaha menarik lebih ramai penonton, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.
Gobind berkata perubahan itu bagi memastikan stesen berita paling utama itu mampu bersaing secara sihat atau lebih baik berbanding stesen televisyen swasta yang lain termasuk di peringkat antarabangsa.
Jika ini trend berterusan ini bermakna ekonomi politik media masih relevan dan penting kepada PH kerana segala pandangan dan polisi perlu diuar-uarkan supaya mengetahuinya. Ini juga bermakna media tradisiona masih diperlukan dalam era digital ini.
Apa akan jadi dengan akhbar milik parti seperti Suara Keadilan, Mingguan Amanah dan Roket misalnya. Tidak akhbar-akhbar boleh diangkat menjadi media arus perdana atau tinggal sebagai akhbar milik parti sahaja? Akhbar-akhbar boleh menyaingi ahbar-akhbar arus perdana tetapi memerlukan modal yang besar juga untuk menguruskannya.
Parti-parti dalam PH sudah memiliki media online seperti Malaysia Dateline, Amanah Daily dan Keadilan Daily.
Dalam pendekatan ekonomi politik, kepemilikan media (media ownership) penting untuk melihat peranan, ideologi, kandungan media dan kesan yang ditimbulkan media kepada masyarakat. Oleh kerana itu pertanyaan-pertanyaan mengenai apakah perbezaan pemilik media akan memberikan kesan kepada perbezaan pada kandungan media juga dan juga perbezaan pemilik media dapat memberikan implikasi yang berbeza pula kepada masyarakat selaku khalayak media.
Cuma persoalannya sejauh manakah kebebasan dapat diperluaskan berbanding dengan sekatan dan kongkongan media di bawah BN? Sejauh manakah media di bawah PH dapat membenarkan pandangan dari pembangkang dan NGO dapat dimuatkan dan diterbitkan di dalam media pengaruh PH sekarang.
* Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran, Universiti Selangor (UNISEL).
No comments:
Post a Comment