Monday, October 8, 2018

Laehnya Umno untuk beri saingan kepada PH

AHMAD LUTFI OTHMAN

https://assets.nst.com.my/images/articles/PAKATANUMNO_1537960126.jpg
Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2018 berlalu tanpa riuh-rendah dan sorak-sorai. Kemilau gemerlapan pun terasa pudar. Siaran langsung televisyen tiada lagi. Lagu rasminya — yang diakui pernah jadi halwa telinga — hanya sayup-sayup kedengaran.

Tempoh pertemuan juga telah disingkatkan. Daripada empat hari menjadi dua hari. Sebenarnya, persidangan penuh tinggal sehari sahaja.

Nampak laeh sangat apabila Umno bercerai-tanggal dengan kuasa dan takhta sejak tarikh keramat 9 Mei 2018. Seolah-olah dalam sekelip mata Umno hilang segala-galanya, menjadi muflis dan pokai, walaupun lebih enam dekad berkuasa.

Maka sewajarnya, selepas mula berbaik-baik mengatur taawun sesama dua parti Melayu ini, Umno boleh mengambil iktibar menyediakan persiapan untuk beroperasi sebagai parti pembangkang berwibawa dan konstruktif.

Mungkin Umno sepatutnya belajar daripada Pas — berpotensi menjadi rakan sekutunya yang baru — yang mampu terus memeriahkan muktamar tahunannya selama empat lima hari walaupun berada di barisan oposisi dan berdepan tekanan regim pemerintah di era lama.

Ya, Umno kini menghadapi rantaian krisis dan konflik. Kekalahannya dalam PRU14 satu tragedi besar, yang sewajarnya sudah diduga. Bagaimanapun, pimpinan utamanya sentiasa dalam zon selesa. Mungkin bertitik-tolak daripada sikap dan pegangan presidennya waktu itu, Najjb Razak, “Cash is King”.

Sejak penubuhannya hampir 70 tahun lalu, Pas tidak pernah sunyi dilambung gelombang derita dan dipukul taufan sengsara. Pemimpin, aktivis dan penyokongnya didiskriminasi serta dianiayai. Namun majoriti mereka tetap istiqamah berdiri di atas garis perjuangan.

Bukan tidak ada pemimpin Umno yang menyedari ia sudah berada di ambang kejatuhan. Berduyun tanda-tanda yang menghantar isyarat terbuka Umno bakal tumbang, terutama apabila skandal super mega, 1MDB mula terbongkar.

Timbalan Presiden waktu itu, Muhyiddin Yassin — videonya ditularkan — dalam program tertutup pimpinan tertinggi parti di Janda Baik, sudah memberi amaran keras, hayat Umno sebagai penguasa mungkin berakhir jika skandal kewangan terbesar itu tidak ditangani dengan baik.

Akibatnya, Muhyiddin dipecat, yang kemudian melorongkan Umno retak menjadi belah. Apabila Dr Mahathir Mohamad, presiden selama 22 tahun turun padang membelasah Najib, suara akar umbi masih dipandang remeh. Pimpinan Umno masih tidak boleh membaca mesej bahawa rakyat mahu perubahan total.

Umno cuba mententeramkan diri sendiri. Pengundi Melayu masih bersamanya, atau sekurang-kurangnya bersama Pas, ia melebihi undi yang diperolehi Pakatan Harapan.

Apa pun, tanpa menunggu lama, deretan wakil rakyat BN melompat parti, bermula di Sabah. Ada Adunnya cenderung kepada PH dan menyokong pembentukan kerajaan negeri yang asalnya nampak buntu. Ahli-ahli Parlimen, termasuk bekas menteri senior, turut keluar Umno, dengan memberi alasan berbeda-beda.

Secara peribadi, saya menjangkakan lebih ramai wakil rakyat Umno, dalam masa lebih singkat, akan menyertai parti komponen PH. Mungkin ada halangan atau sekatan tertentu yang membantutkan hasrat mereka itu.

Meninggalkan parti yang kalah demi memaut dahan yang lebih kukuh sentiasa dipandang negatif dan tidak bermoral. Namun bagi sebahagian politikus, pertimbangan kuasa mewajarkan segalanya.

Dalam tradisi regim lama yang mengakar, kuasa adalah sumber kesenangan, prestij, pengaruh dan kedudukan istimewa. Politik wang dalam Umno menjadikan situasi lebih parah. Usia sementah 20-an tidak menghalang aktivis muda Umno yang dekat dengan elit penguasa untuk meraih pangkat dan kemewahan.

Sudahlah hilang kuasa buat pertama kali di peringkat persekutuan, Umno dibebani dengan imej yang busuk. Tidak cukup dengan 1MDB, pelbagai lagi pendedahan mengejutkan oleh Kementerian Kewangan menambah-hodohkan lagi citra parti yang cuba bangkit itu.

Sekadar satu contoh, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan, untuk projek bernilai RM9.4 bilion, dbayaran dibuat berdasarkan tempoh dan bukan berdasarkan kerja progresif yang dilaksanakan menyebabkan RM8.3 bilion dibayar atau 88 peratus daripada nilai keseluruhan projek walaupun hanya 13 peratus siap dilaksana.

Hanya sekitar 10 hari selepas dirundung kekalahan PRU14, pada 22 Mei, Setiausaha Agung Tengku Adnan Tengku Mansor menghantar pekeliling kepada setiausaha bahagian dan sayap-sayap Umno, memaklumkan peruntukan kewangan dari ibu pejabat telah dihentikan, mulai bulan Mei.

Rampasan wang tunai RM115 juta, barangan kemas, beg tangan mewah, jam tangan, semuanya bernilai lebih RM1,100 juta di beberapa premis yang dikaitkan Najib dan isterinya, Rosmah, memberi pukulan maut kepada integriti Umno. Bayangkan, pengawal keselamatan pejabat Perdana Menteri pun sempat mencuri wang RM3.5 juta sejurus selepas BN diketahui kalah pada malam 9 Mei itu.

Hanya dengan satu dua kes tersebut, bagi saya, sudah cukup membuatkan majoriti rakyat, termasuk orang Melayu, untuk tidak lagi memikirkan agar kembali menyokong Umno.

Apa lagi Umno tidak mengambil kesempatan membersihkan imejnya semasa pemilihan jawatan presiden baru-baru ini. Warisan Najib, sang kleptokrat bertaraf dunia, masih kekal kukuh apabila Zahid Hamidi menggantikannya.

Sekiranya Tengku Razaleigh Hamzah ataupun Khairy Jamaluddin terpilih, mungkin usaha meremajakan Umno agak lebih mudah walaupun bekas ketua pemuda itu mengakui kesilapan tidak menegur Najib sebelum pilihan raya lalu. Zahid mendapat sokongan lebih separuh daripada jumlah bahagian Umno.

Umnp terbukti sukar untuk berubah. Ia masih terikat dan mengenang jasa Najib yang murah hati menaburkan wang untuk bahagian-bahagian. Kita menunggu episod pendedahan seterusnya, bagaimana dana haram 1MDB diagihkan kepada pemimpin Umno dan komponen BN.

Pada PAU baru-baru ini, Zahid dilihat gagal memanfaatkan ucapan perasmian dan penggulungan. Hala tuju Umno juga samar-samar dan tidak jelas. Mahu serius menentang PH dan membina wibawa sebagai pembangkang konstruktif ataupun beragan-angan membentuk kerajaan perpaduan melalui pintu belakang? Sekutu rapat, MCA, turut tidak hadir menandakan BN hanya wujud pada nama selepas hampir sepuluh parti komponen berpisah.


Najib Razak dilihat tidak dapat menahan sebak bertemu dengan ahli-ahli Umno yang menyambutnya pada Perhimpunan Agung Umno 2018 di PWTC, 30 September lalu.

Watak kesederhanaan dan imej jalur tengah BN pun terburai. Tambah sarat dengan perkauman dan sentimen sempit agama. Gerak Umno berjinak-jinak dengan Pas juga tidak mudah. Ramai mempersoal, sama ada langkah itu akan mendekatkan dengan kemenangan atau sekadar menjarakkan lagi dengan kuasa.

Apabila Umno tidak bersedia menghantar calonnya dalam PRK Port Dickson, ia ibarat mengibarkan bendera putih, mengaku kalah sebelum turun ke medan.

Sekali lagi Umno mempamerkan imej laehnya. Dalam politik, melakukan tiga empat tugas atau misi serentak adalah perkara biasa. Memulihkan semangat dan komitmen ahli selepas kalah mengejutkan juga memerlukan event besar seperti PRK. Namun, Umno melihat dari sudut lain, dari perspektif orang kalah yang masih dibelenggu kemurungan.

Sayang jika lanskap politik tanahair tidak dapat nenyaksikan persaingan yang sihat dan sepadan di antara PH dan pembangkang. Saya tidak suka dengan slogan “pembangkang sifar” seperti pernah dipopularkan Dr Khir Toyo.

Saya agak pesemis dengan situasi Umno terkini, yang terus laeh dan mandom. Proses pendemokrasian yang matang agak terencat jika saingan kepada pemerintah mudah disudutkan ke penjuru gelap.

Kita tidak mahu mengulangi pengalaman Dr Mahathir terutama ketika di awal pemerintahannya dahulu, pada PRU1982 — PRU1995. Tiada cabaran sengit, malah pembangkang terpisah-pisah. Menunggu keputusan pilihan raya bukan untuk mengetahui siapa memerintah — kecuali di peringkat negeri tertentu — tetapi berapa banyak majoriti kerusi BN.

Bukan pula bermakna saya memperkecilkan keupayaan pembangkang, seperti Umno dan Pas, apatah lagi di bawah langit Malaysia Baharu. Rakyat yang berani berubah ini tidak lagi terkongkong dengan khurafat pantang menukar kerajaan. Bila ada pilihan lebih baik, mereka tidak ragu-ragu untuk merehatkan penyandang!

Justeru, pemimpin Umno perlu membuktikan mereka dan gabungannya serius menawarkan alternatif lebih baik buat rakyat. Ia menjadikan kepentingan dan kebajikan rakyat akan lebih terpelihara, insya Allah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...