Thursday, December 13, 2018

ZETI SOKONG BANK NEGARA KAWAL SELIA TABUNG HAJI


Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menyokong kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas Lembaga Tabung Haji (TH), mengatakan penglibatan bank pusat dalam pelan pemulihan menyeluruh lembaga itu sebagai “perkara penting”.

Bekas gabenor bank pusat itu tidak melihat sebarang masalah dengan penglibatan BNM dalam pelan memulihkan penyata kira-kita TH yang merekodkan defisit RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017, seperti yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

“Mesti ada kawal selia badan pengawal keseliaan (regulatory authority). Perkara itu penting,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pusat Pengimejan IJN-PNB di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.



Pengerusi kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu berkata PNB juga dikawal selia Suruhanjaya Sekuriti (SC), dan menambah langkah sebegitu bukanlah perkara baru.

“Keputusan meletakkan TH bawah BNM adalah keputusan kerajaan. Seperti PNB sendiri, dikawal selia SC,” katanya ringkas.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan TH akan dikawal selia BNM bermula Januari tahun depan bagi menambah baik tadbir urus lembaga itu.

Antara langkah yang terkandung dalam pelan pemulihan TH adalah penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) pada bulan ini bagi mengambil alih, memulihkan dan memaksimumkan pemulihan aset yang menunjukkan prestasi lemah, bagi memulihkan kedudukan kewangan TH.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...