Tuesday, January 29, 2019
RAMAINYA MAHU PH KALAH DI SEMENYIH.....
Walaupun PRK Semenyih akan berlangsung agak lama lagi, tetapi bahangnya sudah pun mula terasa sekarang ini.
Di mana-mana ketika ini semakin ramai yang bercakap mengenai pilihanraya kecil itu yang hanya akan berlangsung pada 2 Mac depan.
Apa yang menariknya, rata-rata yang mengulas atau bercakap mengenai pilihanraya kecil itu lebih mengharapkan PH kalah berbanding mencapai kemenangan.
Tidak saja mereka yang pro UMNO dan BN yang mengharapkan demikian, malah ramai daripada kalangan penyokong dan pengundi PH juga benar-benar berharap calon daripada Bersatu akan kecundang dalam pilihanraya itu nanti.
Tidak terkecuali yang turut berharap PH akan kalah ialah mereka yang aktif dan memegang jawatan dalam Bersatu di peringkat bahagian-bahagian.
Kata mereka, hanya dengan kalahnya Bersatu di Semenyih saja diharapkan dapat menyedarkan pimpinan PH, termasuk Tun Mahathir Mohamad sendirinagar lebih prihatin dengan rakyat serta mengawal menteri-menterinya daripada bersikap sombong dan merapu.
Tambah mereka lagi, mungkin ada pimpinan sudah sedar diri berikutan kekalahan di Cameron Highlands baru-baru ini, namun melihat reaksi kebanyakan pemimpin-pemimpin PH yang mengulas mengenai kekalahan itu jelas mereka belum lagi terngadah walaupun dahi sudah tergantuk di palang pintu.
Dengan yang demikian, kekalahan di Semenyih adalah perlu dan wajib untuk menyedarkan semua yang sudah lupa diri itu.
Terdapat juga kalangan mereka yang aktif dalam Bersatu bersikap lebih lantang lagi dengan mengatakan, jika sebelum ini mereka bertungkus-lumus menumbangkan Najib Razak, UMNO dan BN, apa salahnya kalau dalam PRU15 nanti mereka bermati-matian menumbangkan PH pula.
Sudah ada di kalangan mereka yang berkira-kira mahu merancakkan serangan di media sosial kepada PH dengan menubuhkan Grup Whatapp atau akaun baru di Facebook bagi tujuan itu.
Kata mereka lagi, mereka tidak rugi apa-apa dengan pertukaran kerajaan biar sekerap mana sekali pun, tetapi agak malu dengan PH yang sebelum pilihanraya dulu telah berjanji berdegar-degar, tetapi gagal melaksanakannya setelah mencapai kemenangan.
Yang lebih kami benci, tambah mereka, beberapa dasar atau peraturan baru yang mahu diperkenalkan oleh menteri-menteri PH lebih membawa kesusahan dan menambahkan belanja rakyat, sedangkan janji pokok dalam Buku Harapan tidak juga ditunaikan.
Dalam PRU14 lalu, DUN Semenyih dimenangi oleh PH melalui calon daripada Bersatu, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor yang menang dengan majoriti 8,964 undi.
Beliau mendapat 23,428 undi mengalahkan calon BN, Johan Abd Aziz yang memperolehi 14,464 undi, calon Pas, Mad Shamour Kassim (6,966 undi) dan calon PSM, S Arutchelvam (1,293 undi)
Bagaimanapun bekalan majoriti 8,964 itu dikira belum selamat lagi kerana dalam PRK 2 Mac nanti, Pas sudah pun mengumumkan tidak akan meletakkan calonnya dan akan memberi sokongan penuh kepada BN.
Adalah dijangkakan PSM juga tidak akan meletakkan calonnya kali dan ini memungkinkan berlaku pertandingan dua penjuru antara PH dengan BN saja dalam pilihanraya tersebut.
Gabungan kerjasama BN dan Pas diramal akan memberi saingan sengit sebagaimana yang telah terbukti di Cameron Highlands yang lalu.
Beserta dengan semakin ramai yang mahukan PH kalah di Semenyih nanti, termasuk daripada kalangan Bersatu sendiri, tidak mustahilkah harapan kepada kekalahan itu akan menjadi kenyataan? (ShahbudinHusin 28/01/2019).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment