Friday, March 15, 2019

TERIMA KASIH ADUN JENERI JELAS KONSEP KERAJAAN PERPADUAN PAS-UMNO.

https://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2018/09/pas-umno-bekerjasama.jpg

BUATLAH CEPAT DI KELANTAN DAN TERENGGANU.
KAMI NAK TENGOK

Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Muhammad Sanusi Mohd Nor, ADUN Jeneri kerana cuba sekolahkan saya mengenai jenis Kerajaan yang sedang diusahakan oleh PAS dan UMNO.

Oleh kerana saya ni lembap sikit nak faham apa sebenarnya yang dimaksudkan, maka dengan penuh rendah diri, saya ingin mencadangkan agar konsep Kerajaan Perpaduan ini diamalkan dulu di negeri Kelantan dan Terengganu. Tentu sekali ini tidak akan menimbulkan sebarang masalah bagi PAS dan UMNO kerana kesemua kerusi DUN di kedua-dua negeri dikuasai oleh mereka sahaja, kecuali DUN Ayer Lanas di Kelantan.

Dengan berjayanya penubuhan Kerajaan Perpaduan yang hampir sifar pembangkang di Kelantan dan Terengganu, maka PAS dan UMNO akan dapat membuktikan kematangan politik era baru yang YB Sanusi war-warkan itu.

Maka, akan terkedulah kami atas kejayaan PAS dan UMNO itu. Kedudukan saya sendiri sebagai Menteri Besar Kedah yang digambarkan oleh YB Sanusi umpama telur di hujung tanduk, akan terjejas akibat kehilangan kepercayaan wakil-wakil parti komponen PH terhadap saya dan keinginan mereka untuk menturuti pendekatan politik penuh bijaksana PAS dan UMNO itu.



Mana tidaknya, kekuatan DAP sangat luar biasa kerana dengan hanya dua kerusi DUN, mereka dapat menguasai seluruh Kerajaan Kedah. Dua wakil DAP itu akan menolak saya sebagai Menteri Besar untuk memberi laluan kepada PAS bagi menubuhkan Kerajaan baharu yang diwakili oleh 15 wakil PAS, dua UMNO dan tujuh PKR (termasuk 4 bukan Melayu).

Pembangkang pula akan dianggotai oleh 6 ADUN Bersatu, 3 Amanah dan 2 DAP. Mungkin YB Sanusi perlu menjelaskan bagaimana Kerajaan Campuran Perpaduan Melayu yang mereka idamkan di Kedah tidak dianggotai sepenuhnya oleh ADUN-ADUN Melayu, manakala kesemua ADUN-ADUN pembangkang pula adalah Melayu kecuali di dua DUN.

Hakikatnya, cadangan pendek akal oleh ADUN Jeneri itu tidak boleh diterima oleh Rakyat kerana lojiknya lemah dan kewibawaan pemimpin-pemimpin PAS sendiri diragui setelah terdedahnya kes sogokan RM90 juta daripada UMNO. Bukan saya tuduh tetapi ini diakui oleh pemimpin peringkat nasional parti YB Sanusi sendiri.

PAS perlu jawab persoalan ini dulu bagi membersihkan nama (suci sangatkah?) mereka sebelum menuduh PH menyogok ADUN Guar Chempedak untuk berhijrah ke Bersatu. Ahli-Ahli Yang Berhormat PAS yang dikatakan dari kalangan alim ulama tentunya tahu bahawa mengaibkan seseorang itu dengan dakwaan sinis, palsu, tiada bukti serta tidak berasas bukannya ciri pemimpin Islam, malah ianya berdosa! Mustahil ADUN Jeneri tak tahu hukum fitnah.

Rakyat tidak terpedaya dengan helah mengalih perhatian yang cuba dilakukan oleh YB Sanusi dan sekutunya. Rakyat juga sedar bahawa skandal kecurian wang Rakyat berskala mega 1MDB yang kini kian terbukti kesahihannya tidak langsung dipedulikan oleh kepimpinan PAS, termasuk YB Sanusi dari dulu sampai ke hari ini.

Saya nak tanya ADUN Jeneri yang bijaksana. Kalau PAS ikhlas inginkan Kerajaan Perpaduan bercirikan Islam, kenapa perjanjian mereka dengan Bersatu ditarikbalik sejurus selepas ianya ditandatangani? Adakah mungkin ianya ada sangkut paut dengan RM90 juta yang diterima mereka dari UMNO? YB, jangan sembang deraih sangat, sampai pokok pun boleh tumbang!

Sekali lagi saya tegaskan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan akan tetap menegakkan Islam dengan cara membanteras rasuah dan salahguna kuasa. Kerajaan PH tidak akan sekali-kali menidakkan hak Rakyat dengan menerima sebarang sogokan dari mana-mana pihak termasuk dari kepimpinan UMNO sekalipun.

Sebaliknya keluhuran undang-undang negara akan dipertahankan melalui siasatan, dakwaan, perbicaraan dan hukuman kepada pesalah-pesalah rasuah. Bagi kami, pendekatan PH adalah sangat menepati ajaran Islam. Inshaa-Allah.

Mukhriz Mahathir
Jitra, Kedah
13 Mac 2019

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...