Friday, November 6, 2020

TAN SRI MUHYIDIN YASIN MESTI DIKEKALKAN SEBULAT SUARA KERANA ‘JASA’ BELIAU YANG TERBAIK INI..

 

Oleh : Armin Baniaz Pahamin
1. Dalam sejarah Malaysia, hanya kerajaan Perikatan Nasional yang duduk meraut ranjau, tegak meninjau jarak. Semenjak Tan Sri Muhyiddin Yasin menjawat jawatan Perdana Menteri (PM-8), beliau tidak pernah kelihatan berehat, sentiasa bekerja keras di padang golf mengambil risiko jangkitan Covid-19 untuk berbincang, merancang dan mengatur strategi demi kesejahteraan rakyat.
2. Beliau berhempas pulas sehingga sanggup mengambil alih dan menggalas tanggungjawab menyelesaikan masalah terbesar negara sebagai Perdana Menteri sehingga sanggup memanipulasi sokongan majoriti yang dipersembahkan kehadapan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong.
3. PM-8 telah berjaya meningkatkan integriti kerajaan yang dipimpinnya dan memastikan kebebasan kehakiman sehingga Dato’ Sri Najib Razak didapati bersalah dalam mahkamah untuk semua tujuh pertuduhan. Akibatnya, Dato Sri Najib dihukum dengan kehidupan selesa di kediamannya, terus bebas bersuara dan bebas untuk kemana-mana. Beliau juga diberi kemewahan perlindungan polis (police escort) untuk berkempen di PRK Slim dan PRN Sabah. Tidak ada rekod yang seorang penjenayah pernah menderita disiksa sebegitu rupa.
4. PM-8 tidak gentar bersemuka dengan ahli-ahli parlimen dalam sesi Dewan Rakyat yang lepas khususnya pada Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga yang ditunda selama 2 bulan. Beliau tidak takut berbahas dalam persidangan Dewan Rakyat bulan Jun itu namun semua ahli parlimen dipaksa membisu tidak boleh berkata-kata. Barangkali terlampau teruja dengan kebijaksanaan PM-8. Hanya KDYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong yang bersuara bertitah.
5. Beliau hanya tahu berkhidmat, tidak reti bermain politik tetapi bijak memanipulasi mandat rakyat dan hanya menawan kerajaan persekutuan bersama 5 negeri sahaja iaitu Negeri Kedah, Melaka, Johor, Perak dan Sabah.
6. Beliau seorang yang tegas dan menggunakan rotan untuk membendung penularan pandemik Covid-19 dan berjaya membuatkan wabak Covid-19 merebak dari 10,000 pesakit kepada 30,000 pesakit positif.
7. PM-8 seorang pemimpin demokrasi yang terunggul. Kerana beliau, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dapat dipilih tanpa sebarang undian dalam Dewan Rakyat yang mulia.
8. Sementara ahli politik lain hanya memberi sumbangan wang, laptop dan makanan, PM-8 memberi kekebalan dari undang-undang kepada ‘rakyat’ yang memerlukan.
9. PM-8 sangat bermurah hati dan membentuk saiz ahli jemaah kabinetnya yang sangat besar supaya dapat memberi peluang pekerjaan kepada 70 orang rakyat. Hal ini sangat berbeza dengan Perdana Menteri sebelumnya, yang kedekut dan hanya melantik hampir setengah sahaja dari ahli Jemaah Kabinet PM-8.
10. PM-8 seorang pemurah, mengorban dana negara yang sedang tenat, berjuta-juta ringgit untuk menampung gaji ahli Jemaah kabinet yang terbesar. Tan Sri Muhyidin juga menyumbang kepada ekonomi ‘rakyat’ dengan membeli-belah kerusi-kerusi ahli DUN di Sabah dan seterusnya menjadikan ahli-ahli Parlimen dan DUN sebagai satu komoditi yang boleh diperdagangkan.
11. PM-8 dan kabinetnya cukup mantap dan dipercayai ramai. Sehingga mencatat rekod dalam sejarah Malaysia dimana KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong buat julnug-julung kali menolak nasihat seorang Perdana Menteri untuk pengisytiharan darurat.
12. Menteri-menteri lantikan PM-8 memang terpilih dari kalangan cendekiawan. Seorang Menteri memberi nasihat kepada para isteri untuk memimik suara Doraemon dirumah supaya suami terhibur dan terpesona manakala Menteri Kesihatan memberi nasihat untuk membunuh kuman Covid-19 dengan minum air panas dan ‘sunbathing’ berjemur dibawah kepanasan matahari. Seorang lagi menteri mengajak rakyat untuk meluangkan masa bermain Tik Tok.
13. PM-8 sangat prihatin dan sensitif kepada situasi rakyat sehingga sanggup mengisytiharkan darurat untuk melindungi pekerja-pekerja lantikan dalam Kabinet, ketua-ketua agensi kerajaan dan GLC. Supaya mereka tidak dibuang kerja dan dapat mengelak kenaikan jumlah pengangguran.
14. PM-8 sanggup mengorbankan diri untuk berkhidmat sebagai Perdana Menteri lebih dari 2 penggal dan menarik balik Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menghadkan tempoh lantikan seseorang Perdana Menteri.
15. PM-8 berhutang dan berbelanja berpuluh bilion ringgit supaya kadar pengangguran dapat dinaikkan kepada 800,000 dari jumlah asal 650,000. Satu pencapaian yang mesti di contohi.
16. Sokonglah Bajet 2021 dan berilah peluang kepada Perdana Menteri ke-8 dan kerajaan Perikatan Nasional untuk memelihara Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri dalam kabinet yang terbesar serta pertingkatkanlah jumlah hutang negara supaya negara kita terus maju, rakyat dapat hidup makmur dan aman tanpa pekerjaan.
 

 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...