KENYATAAN MEDIA 16 DISEMBER 2020
AMANAH DESAK MALAYSIA TARIK DIRI DARIPADA EXPO DUBAI 2020 DEMI PALESTIN.
1) Pada sidang akhbar 3 Disember 2020 di Parlimen, AMANAH telah mendesak kerajaan Malaysia untuk menarik diri daripada menyertai EXPO DUBAI 2020. Namun sehingga kini, tiada sebarang respon diberikan oleh pihak kerajaan terutamanya Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah Bertaraf Menteri.
2) Selepas pengiktirafan diplomatik DUBAI-UAE bersama Israel secara rasmi, Dubai telah menjemput Israel menyertai EXPO Dubai 2020. Dengan penyertaan Israel dan pengiktirafan Israel oleh UAE-DUBAI, Palestin telah menarik diri daripada EXPO DUBAI 2020 pada Ogos yang lalu.
3) Penarikan diri Palestin daripada EXPO DUBAI 2020 dilaporkan secara meluas oleh media dunia sejak 0gos 2020 lagi, menerusi pelbagai akhbar termasuk The Times of Israel, Palestin Post 24, Middle East Monitor, Anadolu Agency, WAFA, serta Al Najah.
4) Namun, negara Malaysia yang selalunya berprinsip dalam menentang kezaliman terhadap Palestin, masih tidak mengambil sebarang langkah untuk memboikot EXPO DUBAI 2020.
5) Kami amat kecewa dengan tindakan Timbalan Menteri MOSTI yang juga ahli parlimen Kuala Terengganu YB Hj Amzad Hashim (PAS) yang telah mendirikan papan iklan (billboard) yang besar di Terengganu, mempromosikan EXPO DUBAI 2020.
6) Tindakan ini, jelas tidak sensitif dengan penderitaan rakyat Palestin dibawah kekejaman Zionis Israel. Sikap tidak peka ini juga nyata, bertentangan dengan perjuangan retorik PAS yang kononnya memperjuangkan Islam.
7) Kami menuntut jawapan rasmi daripada YB Timbalan Menteri atas tindakan beliau. Kami juga menuntut kenyataan rasmi daripada Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah bertaraf Menteri iaitu Presiden PAS sendiri, berkenaan isu kerjasama negara-negara Arab dan Israel.
8) Amanah sentiasa konsisten berdiri teguh dengan Palestin dan kesucian Masjidil Al Aqsa. Kami berharap kerajaan Malaysia juga mampu mengeluarkan pendirian yang tegas dalam hal ini – boikot EXPO DUBAI 2020.
YB DATUK SERI SALAHUDDIN AYUB
TIMBALAN PRESIDEN AMANAH
PENGERUSI BIRO ANTARABANGSA AMANAH
No comments:
Post a Comment