Wednesday, May 19, 2021

Sudahlah. Berhentilah. Jangan gadaikan masa depan rakyat & negara demi kepentingan diri. Negara di ambang kritikal.


 KRITIKAL


Sehari dua ini kita dilaporkan dengan peningkatan angka positif Covid19 dan angka kematian di seluruh negara akibat Covid19. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam bercadang untuk mencadangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh di Selangor.


Selain itu beberapa daerah di Kedah telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).


Situasi sekarang nyata kritikal dengan hospital-hospital awam sudah hampir melebihi kapasiti malah dilaporkan terpaksa menyewa kontena bagi menyimpan jenazah.


Apa yang tidak kena dengan kita? Kenapa semakin hari semakin meningkat di saat Program Imunisasi Kebangsaan sedang berjalan.


Adakah masyarakat yang perlu dipersalahkan kerana tidak mematuhi SOP atau abai serta sambil lewa melanggar peraturan?


Jangan hanya menuding masyarakat sedang pihak bertanggungjawab iaitu Kerajaan terlebih dahulu sering kali menukar peraturan. Kerajaan tidak tegas dan tidak tetap dalam membuat keputusan. Seperti tidak tahu apa yang perlu difokuskan.


Setiap hari peraturan dan SOP bertukar malah ada ketikanya selang beberapa jam sahaja boleh berubah. Arahan dan pengumuman antara Menteri juga bercanggah. Sekejap tiada sekatan, kemudian disekat. Sekejap ditutup, kemudiannya dibuka.


Sekejap kompaun, sekejap terus dipenjara. 


Masyarakat menjadi keliru dan kelam kabut. Semuanya akibat caca marba tindakan kerajaan.


Orang awam biasa dikenakan tindakan serta merta walau pun merayu dengan alasan sedangkan golongan lain diambil masa disiasat dan sebagainya. Orang awam biasa amat tertekan jika dikompaun tidak seperti golongan lain yang hanya senyum bila dikompaun. Ada yang berkali-kali lakukan perlanggaran masih mampu senyum kerana bagi mereka jumlah kompaun ribu-ribu tidak menjadi hal.


Inilah akibatnya apabila Kerajaan lebih takut hilang kuasa daripada menjaga nyawa dan keselamatan rakyat. Lebih sayang jawatan sendiri daripada maslahah awam yang lebih utama.


Tak perlu lagi alasan “kita tidak gagal cuma belum menang”. Mengakulah Kerajaan sudah gagal. Jadikan kegagalan sebagai panduan supaya tindakan seterusnya tidak berulang gagal. Bukan meneruskan kegagalan dengan kegagalan.


Yang akan tanggung akibatnya bukan hanya Menteri dan Kerajaan tetapi seluruh rakyat dan negara.


Sudahlah. Berhentilah. Jangan gadaikan masa depan rakyat dan negara demi kepentingan diri. Negara di ambang kritikal.


Zulhazmi Syariff

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...