Friday, December 10, 2021

APA HEBATNYA ANAK SHARIZAT YANG GAGAL PROJEK LEMBU KONDO DIANGKAT ANNUAR MUSA JADI PENGARAH MDEC!


 SURAT TERBUKA BUAT TAN SRI ANNUAR MUSA

Hari ni ramai orang tag dan mesej aku pasal menteri MCMC, Tan Sri Annuar Musa yang mempertahankan lantikan anak Kak Jat NFC sebagai pengarah dalam MDEC. Maka aku terpanggil untuk menulis sebuah warkah terbuka ini kepada Tan Sri Annuar Musa. Aku mengharapkan ia sampai dan dibaca beliau.

Assalamualaikum Tan Sri yang dimuliakan Allah,

Saya Aliff. Seorang anak muda yang lahir daripada sperma dan ovum orang miskin. Kedua ibu bapa saya bukan sesiapa, hanyalah rakyat Malaysia biasa yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bukan anak Tan Sri, bukan anak Dato’. Ayah saya hanyalah seorang pegawai rendah kerajaan, mak pula hanya seorang penjual kuih di tepi jalan untuk membantu ekonomi keluarga yang berada dalam kemiskinan bandar.

Umur saya sama macam anak Kak Jat, Izzana Salleh. Bezanya, ketika saya berusia 21 tahun, saya masih belajar di Australia. Mungkin dia sekolah private, start awal, habis awal. Ketika itu, saya juga bekerja sebagai pencuci jamban profesional untuk mendapatkan lebihan wang untuk dihantar kepada keluarga di Malaysia. Bukan setakat jadi cleaner, saya juga pernah jadi tukang buat rumah, petik buah dan pencuci pinggan di restoran Uyghur ketika menjadi pelajar di Australia.

Manakala anak Kak Jat pula, di awal usia 21 tahun, dia sudah menjadi pengarah di dalam sebuah syarikat yang mendapat geran softloan lebih kurang RM200 juta. Tak tahulah berapa puluh ribu gaji dia dapat ketika itu. Dia sebagai graduan biotechnology, pulang ke Malaysia terus dapat kerja yang baik. Aku yakin gajinya juga lumayan.

Tan Sri yang memegang amanah rakyat,

Pada ketika saya menjadi pelajar di benua kangaroo, saya telah bangunkan syarikat cleaning, shipping, dan trading bersama-sama rakan-rakan saya di sana. Agak berjayalah juga untuk kami anak-anak muda Malaysia sampai kena bayar cukai di sana. Banyak jugalah. Tapi mungkin tidak seberjaya Izzana yang ada modal sebanyak RM200 juta, ada ibu ketua wanita UMNO dan ayah seorang ahli korporat. Dan ada Annuar Musa yang dipanggil Uncle. Dia sendiri pun ahli UMNO seawal usia 18 tahun kalau tak silap.

Setelah 2 tahun kerja makan gaji, saya bangunkan firma M&E di sana dan dapatlah job kecil-kecilan. Maklumlah, orang merantau, bukan “white ass” kan. Takda connection dan tiada Tan Sri yang saya boleh panggil uncle seperti Izzana. Ketika itu, NFC sudah mula tersontot. Izzana yang juga anak Dato’ terbang ke London buat MBA di Imperial College, siapa bayar fee belajar dia? Manakala saya pula ke Abu Dhabi menjadi project engineer mencari rezeki di negara unta.

Ketika NFC makin parah, Izzana boleh ke Harvard sambung belajar lagi, manakala saya ke UK bekerja sebagai project manager di firma tenaga terkenal di eropah. Syarikat-syarikat saya di Australia juga masih berjalan dengan baik diuruskan oleh para pekerja dan pelajar Malaysia. Saya hanya mahu merasa bekerja dengan orang eropah setelah bekerja dengan orang arab. Nak cari pengalaman hidup. Saya tak sanggup buang duit untuk berjalan, jadi saya pilih dengan cara bekerja, baru berjalan melihat negara lain. 

Tan Sri yang saya hormati,

Saya faham yang ibu kepada Izzana kawan baik Tan Sri, Izzana juga graduan Ivy League, tetapi adakah itu indicator merit yang Tan Sri katakan? Tak terasakah Tan Sri yang betapa “desperate-nya” Izzana untuk mecari merit diri sendiri sehingga terpaksa meletakkan syarikat yang dia baru daftar tahun ini (Rise Human Capital) di dalam profile pada laman pengarah MDEC. Syarikat itu setakat ini hanya sekadar buat event sembang-sembang sahaja. Itu merit Tan Sri?

Menjadi pengarah di Talentcorp dan SOCSO juga jelas adalah lantikan politik. Takkanlah hanya kerana dia graduan Ivy League dia faham tentang dunia digital ekonomi. Apa syarikat teknologi yang dia pernah bangunkan? Kalau Tan Sri tanya saya, saya ada syarikat IT dan software house. Kami juga pioneer developer blockchain technology di Malaysia. Kami juga pioneer drone developer yang telah siap mengeluarkan 2 publication tentang drone ciptaan kami. Saya juga usahawan startup teknologi yang tak pernah terima apa-apa geran mahupun bantuan perniagaan daripada kerajaan selama ini.

Izzana ada apa Tan Sri? Apa dia pernah buat? Apa dia faham pasal industri ini? Ketika di parlimen pun, Tan Sri hanya ulang dan ulang, dia graduan Imperial dan Harvard, itu sahaja.

Tan Sri yang dibayar gaji oleh rakyat,

Tan Sri bagitahu jangan salahkan Izzana disebabkan masalah business keluarga dia. Saya rasa Tan Sri masih mabuk sebab baru berjaya jadi menteri barangkali. Izzana tu pengarah NFC Tan Sri. Dia bukan sekadar bekerja. Dia juga adalah salah seorang yang disaman kerajaan dalam isu NFC. 

Let say-lah kita abaikan NFC. Kita bagi dia benefit of the doubt. Mungkin sebab mak ayah yang suruh dia jadi pengarah. Tapi selepas itu, apa yang dia dah berjaya buktikan? Apakah syarikat yang berjaya di bawah seliaan dia? Sebagai graduan biotechnology yang telah gagal mengurus syarikat penternakan, bagaimana mungkin dia layak mentadbir agensi yang menjaga industri digital yang bukan bidang dia?

Tan Sri boleh tolong jawab tak soalan saya ini. Berapa elaun Izzana dapat jadi pengarah MDEC tu? Tolong share appointment/offer letter, boleh?

Tan Sri yang budiman,

Saya kira Tan Sri tidaklah bodoh, jadi saya pasti Tan Sri tahu yang perlantikan daripada menteri kewangan itu jelas hanya percaturan politik. Izzana juga ahli UMNO bukan? Saya telah jelaskan yang Izzana tidak layak dan tiada merit langsung. Sudah tiadakah anak muda lain yang lebih layak sampai 3 GLC dia dapat? Tiada lagi wanita yang tiada kaitan dengan politik layak?

Jika sekadar belajar di Havard dan Imperial dianggap terlebih merit. Saya boleh cadangkan beberapa kawan saya yang juga graduan Harvard, Oxford dan Cambridge yang telah menghasilkan banyak kajian bahkan memegang banyak patent inovasi. Dan mereka juga usahawan digital, bukan usahawan lembu dan kondo. Tidak pernah dilantik lagi menjadi pengarah di GLC-GLC. 

Bezanya kawan-kawan saya ini, bukanlah anak mantan ketua wanita UMNO, bukan juga ahli UMNO, dan tiada pengalaman menguruskan geran sebanyak RM200 juta. Mereka juga bukan kroni kaum elitis menteri kewangan. Mereka sama seperti saya, lahir dari sperma dan ovum rakyat marhaen. Mungkin sebab itu mereka tidak dipilih.

Tan Sri yang didoakan rahmat dan kebaikan,

Saya telah senaraikan hampir kesemua syarikat yang dia pernah duduki dan dia miliki. Yang mana tiada satu pun saya kira berjaya. Izzana juga tidak berasa berjaya kerana dia sendiri malu meletakkan nama syarikat-syarikat tersebut dalam profile dirinya sendiri. Adakah orang sebegini layak dengan merit?

Rujuk balik :

 https://www.facebook.com/106639804995509/posts/196960875963401/?d=n

Saya mengecam lantikan di MDEC kerana MDEC dekat dengan hati saya, kawan-kawan saya, anak-anak muda dan usahawan-usahawan startup di Malaysia. Saya tidak mahu seorang yang tidak punya pengalaman dan tidak faham realiti duduk di dalam jemaah pengurusan menyuarakan pandangan bagi pihak kami. Saya percaya, dia takkan membantu kami. Ideanya juga hanya sekadar retorik.

Saya percaya ramai jauh lebih layak. Jika Tan Sri menyebut Izzana mencapai merit dah terlebih layak, jelas betapa dangkal dan sengalnya otak seorang menteri yang mentadbir kementerian yang menjaga dunia digital. Saya nasihatkan Tan Sri turun ke bawah, jangan hanya mendabik dada melihat anak kawan-kawan yang berjaya masuk ke Ivy League sambil mendongak langit. Ramai lagi anak muda yang jauh lebih layak, hebat dan berbakat.

Tan Sri, Tan Sri, Tan Sri..

Saya sebenarnya amat mengkagumi Tan Sri yang hebat berpidato di dalam dewan. Tetapi hujah Tan Sri kali ini jelas membunuh kaliber Tan Sri sendiri. Cuba menjustifikasi amalan “cable” adalah sangat menghina akal dan menghina anak muda yang tiada cable. Elok kiranya Tan Sri beristigfar banyak-banyak. Kalau suruh letak jawatan, pasti taknak. Gaji masyuk juga kan?

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, saya tidak kisah jika Izzana benar-benar layak walaupun dia anak ahli politik. Masalahnya, dia benar-benar tidak layak dan ramai lebih layak. Dia tiada pengalaman dalam industri dan even gagal dalam perniagaan. Dia hanya ada 2 tiket. Anak Kak Jat dan graduan Ivy League. Itu saja. Dia tak pernah merasai kesusahan anak muda lain membangunkan startup. Tidak juga berjaya membangunkan sesuatu dalam dunia digital. Dia juga bukan seorang inovator atau technologist. 

Mungkin dia layak jadi setiausaha akhbar Tan Sri lah kot atau pegawai khas Tan Sri yang menjaga event dan branding. Sebab syarikat RISE dia tu rajin buat event dan talk sahaja. Atau, memang dia dihantar ke MDEC untuk lebih mencantikkan event-event since MDEC memang lebih dikenali sebagai agensi event-event selama ini.

Tapi Tan Sri..

Jika MDEC ini bukan agensi untuk rakyat marhaen, bukan untuk anak muda yang biasa-biasa, dan bukan untuk usahawan startup dari golongan marhaen. Ianya hanya untuk kaum elitis. Maka saya mohon maaf. Tan Sri boleh lantik lagi ramai cable-cable yang layak menurut Tan Sri untuk memenuhkan MDEC. Saya cadangkan Tan Sri lantik Ahmad Helmie Hassan sekali. Dia pun duk ulang-ulang script Ivy League banyak kali, sebiji macam Tan Sri.

Sekian warkah ini. Saya doakan Tan Sri kembali berfikir secara waras dan cakna hal industri. Pandanglah anak muda lain sebagaimana Tan Sri pandang anak kawan-kawan Tan Sri. Mungkin suatu hari nanti, roda sudah berubah. Anak cucu Tan Sri pula sampai giliran duduk di bawah.

Aliff Ahmad
Co-Founder SCRUT

Anak orang miskin. | Bukan graduan Ivy League. | Tiada lembu dalam kondo. |
Tak pernah terima geran kerajaan untuk perniagaan. | Bukan suami dan lebai daiyus.|

;)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...