Thursday, April 27, 2023

SADA: Masalah Air di Negeri Kedah


 SADA: Masalah Air di Negeri Kedah

Sekali lagi umat Islam serta seluruh rakyat di Negeri Kedah di asak dengan masalah bekalan air yang meruncing. Krisis berlaku menjelang bulan Ramadhan dan kemuncaknya Aidil Fitri 1444H.

Ini bukan polimik untuk mencari politik murahan di sebalik derita rakyat. Ini adalah hakikatnya! SADA di bawah Datuk Seri Sanusi selaku Pengerusinya serta orang nombor satu dalam Kerajaan Negeri Kedah yang belum lagi berjaya menyelesaikan masalah air di Kedah terutamanya Kuala Kedah.

1. Tiada siapa pun ingin berperang dengan YAB Menteri Besar Kedah dalam semua urusan. Tetapi saya telah beberapa kali merayu dengan sekujur jasad saya ini agar Datuk Seri Sanusi memberikan pertimbangan yang sewajarnya kepada derita rakyat yang terputus berkalan air di seluruh Kedah dan TERUTAMANYA Kuala Kedah.

2. Kami tahankan sejenak dengan penuh kesabaran pada bulan Ramadhan yang lepas sehinggalah menjelmanya Aidilfitri 1444H dan selepas 5 hari berlalunya Hari Lebaran ini. Genjatan bahasa di media sosial telah di lakukan demi menghormati 'Eid Mubarak' selaku hari kebesaran dalam Islam. 


Namun pada hari ini, saat kesabaran saya telah hilang apabila di desak oleh pelbagai panggilan serta whatsapp. Manakala soalan dari wartawan datang bertalu-talu dari dalam dan luar Kedah. Lalu tertanya-tanya di dalam benak hati saya: 


i. "Sanusi.. adakah kamu sedang mambatu atau tidak mendengar keluh kesah rakyat yang menyambut puasa dan sedang berhari raya?" 


ii. "Adakah tiada simpati kepada rakyat yang sedang menyambut Hari Raya? Terputusnya bekalan air di bulan Ramadhan dan Syawal amat besar deritanya.."


3. i. Jika sebelum ini MB Kedah seolah di sebut sebagai memperjuangkan bola sepak Kedah dan Malaysia (hakikatnya tiada pencapaian kejuaraan pun) lalu keras kenyataannya keatas JDT.


ii. Lantang ingin membelat air Kedah keatas P. Pinang serta beberapa lagi tuntutan keras keatas Negeri tersebut di dalam kenyataan.


iii. Lantang menyerang Perdana Menteri ke 10 di dalam beberapa hal termasuklah pelbagai isu lagi sehingga kononnya memperlihatkan MB Kedah bagaikan seekor singa yang garang pantas menerkam.


SOALAN:


i. Kenapa tidak lantang mahu menjadi pembela kepada rakyat Kedah sendiri yang sedang berhadapan dengan bekalan air? Atau adalah MB Kedah sudah terkesima serta gagal kerana sudah tidak mampu berbuat apa-apa?


ii. Kalau tidak di sebut gagal? Bahasa apakah lagi yang perlu di katakan kepada MB Kedah selaku pemimpin nombor satu negeri Kedah yang juga Pengerusi SADA pada ketika sudah tiga tahun berkuasa?


4. 36 bulan (hampir 3 tahun) Kedah di perintah oleh parti pemerintah yang sama di negeri dan negara sebelum PRU15. Apa yang anda buat dalam tempoh itu untuk menyelesaikan masalah air?


5. Katanya perancangan akan berjaya dilakukan dan tiada lagi masalah bekalan air pada tahun 2023. Lalu cakap hanya tinggal cakap sahajakah sebagaimana MB Kedah yang suka berceramah: 


i. Kedah bakal memiliki litar lumba ANTARABANGSA RM75 juta. Litar lumba di Sg Petani akan siap dalam tempoh terdekat. Dekat masa bila? Tahun bila? Sampai sekarang di mana letaknya?


ii. Tidak mengaku 'Test Drive’(uji pandu) Ford Raptor semasa PKP. Akhir MB Kedah dikompaun RM1,500. Salah atau tidak salah? Cakap degar-degar tidak melakukannya. Hakikatnya saman di bayar. Kalau tidak bersalah kenapa di saman?


iii. Beliau optimis usaha untuk membina sebuah stadium baharu buat pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mampu meletakkan mereka sebaris dengan Johor Darul Ta'zim (JDT). Kesudahannya di mana bayang Stadium tersebut?


iv. Sebuah litar kereta berprestasi tinggi dan bertaraf antarabangsa akan dibina di Bukit Malut, Langkawi. Bersorak gembira rakyat menerima perkhabaran tersebut. Hanya sekadar sembang sahaja kot? Apa buktinya?


v. Di gegarkan dengan kenyataan beliau akan penemuan Rare Earth Element (REE) yang dianggarkan bernilai RM742.7 bilion di seluruh negara di mana RM62 bilion tersimpan di bawah bumi ditemui di Daerah Sik. Wow.. Kayanya Kedah?


a. Apa kebenaran kepada keberhasilan buat Kedah? 


b. Kenapa tanah yang di bawah jagaan MBI (Menteri Besar Incorporated) boleh di ceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab berhubung perlombongan REE? Apakah hasil siasatannya?


c. Apakah yang sebenarnya sedang berlaku? Atau perlu sehingga bertukar kerajaan untuk di bongkar segala persoalan yang menjadi segala tanda tanya. Insyaallah masanya akan tiba..


vi. Banyak lagi kenyataan yang sekadar cakap-cakap seperti Pelabuhan Sanglang dan Kulim Kargo Airport (KXP). Kesemuanya memerlukan ruang masa untuk penghujahan.


6. Menurut laporan: Paling teruk masalah bekalan air ini menjelang musim perayaan adalah Daerah Kuala Muda terutama di Merbok, Tanjung Dawai, Bedong dan Sungai Petani, selain kawasan sekitar Kuala Kedah di dalam Daerah Kota Setar.


SOALAN


Apakah sebenamya status kedudukan pembinaan Loji Rawatan Air di seluruh Kedah? Apakah yang telah terjadi pada Loji Pelubang? Sg Limau dan Bukit Selambau? Sehinggakan menurut laporan akhbar terkini satu juta rakyat Kedah menanggung bahana akibat krisis bekalan air.


7. Tuding menuding jari tidak akan menyelesaikan masalah air di Kedah terutamanya Kuala Kedah. Jangan biarkan rakyat menderita kerana pemerintah negeri yang sibuk berpolitik, bercakaran dan menghentam kenyataan antara Negeri dan Persekutuan? Lalu apa kelebihan yang MB Kedah dapat? Boleh menyelesaikan masalah air di Kedah?


8. Sudah puas kami menggunakan bahasa yang lembut untuk merayu. Namun hasilnya masih tidak kunjung tiba. SADA tetap SADA.

Kebanyakan lori SADA gagal beroperasi menepati jadual ataupun terlewat daripada garis panduan yang ditetapkan.


9. Sebagaimana biasa tulisan sebegini akan mengundang unjuk rasa kepada penyokong MB Kedah. Lalu berbondong-bondonglah membuat kenyataan: "Siapa memerintah pun sama..!"


i. Sebagai makluman, kerajaan kami di tebuk atap oleh pihak Sanusi ketika di tengah jalan pemerintahan sewaktu kerajaan baru berusia 22 bulan. Berbanding kerajaan beliau pada ketika ini telah berusia 3 tahun (36 bulan).


ii. Berani ambil kerajaan beranilah bertanggungjawab. Atau sekadar berani ambil kerajaan tetapi tidak mampu dan tidak mahu bertanggungjawab?


10. Kepada rakyat Kedah, bertabahlah. Kita berdoa agar dibukakan hati Menteri Besar supaya berhenti bermain politik menyerang demi masa depan Negeri. Adakah beliau sengaja berbuat demikian seakan terdesak untuk meraih simpati sebagaimana yang terpampang di media?


11. Kita doakan juga agar MB Kedah tidak cepat baran dan amarah lalu terpesong fokus daripada tumpuan terhadap masalah rakyat kepada agenda populariti diri, sentimen mahu ingin menjadi hero dan juga strategi meraih simpati murahan 


12. Sepatutnya beliau wajar menjadi ahli parlimen supaya dapat menjadi juara di peringkat persekutuan sebagaimana kokok beliau yang kuat menghentam pelbagai pihak. Jangan hanya kokok sahaja berdegar-degar sedangkan masalah bekalan air di negeri sendiri pun tidak mampu diselesaikan.


Mohon sekali lagi MB Kedah yang juga Pengerusi SADA agar dapat menjadi juara keseluruhan kepada penyelesaian terhadap permasalahan air di Kedah. Bukan sekadar pandai ceramah sahaja.


Asmirul Anuar Aris

Rakyat Kedah

#AnakKualaKedah

#MasalahBekalanAir


LINK

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...