Begini sahabat. Keperluan setahun beras negara kita adalah 2.5 juta metrik tan. Negara hanya produce 65% atau 1.5 juta metrik tan. 1 juta tan lagi kita import.
Yang 65% tu termasuklah padi huma, padi wangi dan beras istimewa macam beras Bario. Tinggallah 60% sahaja beras putih.
Yang banyak beli beras tempatan dulu dari pengilang adalah pembekal tender kerajaan untuk kem tentera, sekolah dan sebagainya. Malah bee hoon pun banyak guna beras tempatan sebab kosnya murah. Jadi mereka ni buat kontrak dengan kilang untuk dapatkan beras tempatan.
Maka tinggallah 30-40% sahaja yang dipasarkan ke pasaraya iaitu lebih kurang 1 juta metrik tan. Sebab itulah kat pasaraya dari dulu yang banyak adalah beras import sebab beras import permintaannya tinggi kerana harganya tidak jauh beza dengan beras tempatan.
Kita kena ingat pengeluaran padi di negara kita bukan dituai setiap bulan. Setahun hanya dituai 2 kali sahaja. Misalnya musim ini, MADA di Kedah baru tuai 20% padinya. Beras ni pula perlu melalui satu tempoh mengusang supaya kualitinya lebih baik dan tidak mudah basi.
Sebenarnya harga beras import dunia dah mula naik sejak awal tahun ini tapi kita semua tak perasan sebab Bernas masih kekalkan harga RM2,350 untuk 1 tan. Tapi bila kenaikan harga beras dunia telah naik 60%, Bernas terpaksa buat pelarasan harga kepada RM3200/tan. Jika Bernas tak buat, Bernas kena tanggung kerugian RM800 juta sebulan. Keadaan ini boleh menjejaskan 10 obligasi Bernas kepada Kerajaan serta tidak boleh memberikan 30% keuntungan bersih Bernas dari penjualan beras import kepada 240 ribu pesawah.
Bila BERNAS buat pelarasan harga baru kepada RM3200/tan - pengusaha restoran mula beralih ke beras tempatan dan ada yang menempah terus dari kilang. Keadaan ini menyebabkan kenaikan mendadak permintaan beras tempatan dan sebab itulah beras tempatan makin hilang di pasaraya.
Sebelum harga beras import naik - kita tak ambil tahu sangat jenis beras yang kita beli. Selalunya kita beli ikut brand. Misalnya dulu Beras Import jenis standard harganya sekitar RM2.80/kilo ke RM3.20/kilo. Tak jauh beza dengan beras tempatan.
Tapi sekarang ni bila harganya jauh berbeza, orang mula cari beras yang lebih murah dan tentulah beras tempatan yang paling murah sebab harganya dikawal RM2.60 sekilo. Isunya sekarang ni orang nak cari beras murah, bukannya sebab beras tempatan atau beras import. Nak beras tu murah je.
Masalahnya beras murah (tempatan) susah nak jumpa sekarang ni. Memanglah susah nak jumpa sebab yang ada dalam simpanan kilang kebanyakkannya dah diborong awal dan kilang terikat dengan kontrak yang telah dipersetujui. Inilah yang kita kata gangguan pasaran telah berlaku. Permintaan yang naik tak dapat ditampung penawaran yang ada.
Adakah kerajaan khususnya Menteri Pertanian duduk sahaja dan tidak memikirkan kaedah untuk menyelesaikan isu ini? Jawapannya tidak.
Menteri telah mengarahkan pelbagai langkah intervensi bagi menyusun semula edaran dan menyusun penggunaan beras tempatan yang memang terhad dari sebelum beliau jadi kerajaan lagi.
Apa yang Menteri Pertanian sedang buat?
1. Beliau telah hadkan pembelian 100kg untuk seorang supaya belian panik tak berlaku.
2. Beliau telah meminta pengilang memberikan 20% stok beras mereka kepada FAMA dan LPP untuk dipasarkan terus ke kawasan luar bandar yang banyak kumpulan B40. Yang diviralkan pembangkang adalah video orang beratur menunggu beras di outlet FAMA. Sedangkan kekecohan itu hanya berlaku di 2 daripada 35 tempat dan Menteri telah arahkan stok yang lebih banyak dihantar pada pusingan kedua.
3. Beliau telah mengarahkan Kementerian Pertanian untuk berbincang dengan Kementerian Kewangan supaya tender kerajaan menggunakan beras import sahaja.
4. Beliau telah memberikan lesen borong kepada pengusaha restoran supaya mereka boleh membeli beras import pada harga borong RM3.20 sekilo daripada Bernas.
5. Yang terkini beliau telah mengarahkan pegawai untuk mengkaji jumlah subsidi yang perlu dikeluarkan jika Kerajaan ingin mensubsidikan beras import. Jika Kerajaan nak subsidikan 1 juta metrik tan beras import setahun, kerajaan mungkin perlu menanggung sehingga RM1 bilion setahun. (Kiraan rasmi masih sedang dibuat). Nak laksanakan ini perlu bawa paper ke kabinet dan memerlukan sedikit masa untuk Kementerian mengkaji pros n cons.
Langkah yang disebut di atas ini hanyalah langkah jangka pendek.
Yang lebih penting adalah apakah langkah yang perlu diambil untuk memastikan SSR beras negara mencapai 100% dalam tempoh 5 tahun mendatang kerana sejak 60 tahun merdeka - usaha mencukupkan beras negara tak dijadikan keutamaan kerajaan.
Antara langkah jangka panjang yang sedang dibuat oleh Menteri Pertanian adalah:
1. Berjaya mendapatkan bajet lebih RM3 billion untuk memperbaiki saliran di kawasan MADA Kedah supaya padi boleh ditanam 5 musim dalam masa 2 tahun.
2. Sedang menyiapkan paper untuk membuka 200 ribu ekar sawah di Sabah yang mungkin menelan belanja lebih RM3 billion.
3. Meminta MARDI mempercepatkan kajian benih yang boleh dituai dalam masa 75 hari supaya 3 musim dalam setahun boleh dibuat.
4. Meminta MARDI menghasilkan benih yang tahan air masin supaya kawasan sawah terbiar berhampiran dengan laut dapat dibangunkan semula.
5. Menggalakkan pesawah dan syarikat swasta mengusahakan sistem Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) supaya hasil tuaian dapat ditingkatkan ke 7 tan/hektar daripada hasil tuaian sekarang yang masih sekitar 3 tan/hektar.
6. Mengarahkan MADA, KADA dan IADA menggunakan jentuai padi yang moden supaya tumpahan padi dapat diminimumkan. Sekarang ni jentuai yang banyak diguna adalah jentuai untuk menuai gandum.
Maka dah tiba masanya agenda keterjaminan makanan dijadikan agenda utama negara. Jika nak lakukan reform - inilah masanya.
Nota: Saya rasa geli hati juga bila melihat gelagat EXCO yang mempersoalkan Menteri macam tak buat kerja sedangkan kita boleh tanya dia - sejak dia jadi EXCO, apa usaha yang dia buat untuk cukupkan SSR beras di negeri dia. Dan ini adalah pendapat peribadi. 😅
Adeysham Nor
No comments:
Post a Comment