Monday, March 26, 2018

Debat terbuka antara Najib, Tun Mahathir dan Hadi wajar diadakan

Shahbudin Husin


Salah satu faktor terpenting dalam memilih dan menentukan calon Perdana Menteri melalui PRU 14 akan datang ialah kebolehan atau kemampuan seseorang itu dalam usaha menyelamatkan negara, memulih ekonomi dan memberi kesejahteraan kepada rakyat yang kian terbeban dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup.

Sebagaimana yang kita tahu dan sedia maklum, negara kini terbeban dengan hutang yang mencecah hampir RM1 trilion, rakyat sengsara dengan kos sara hidup, sedangkan pendapatan tidak meningkat dan pengangguran masih tinggi di mana ramai graduan tidak mempunyai pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan mereka.

Cukai GST yang merobek poket rakyat setiap kali berbelanja, di samping penarikan banyak subsidi dan harga minyak yang tidak stabil dengan sendirinya telah menyebabkan harga barang turut tidak menentu dan menganggu banyak kehidupan rakyat.

Lebih dari itu, dengan gaya kepimpinan Najib Razak yang boros dan suka bermewah, selain skandal 1MDB, ia bukan saja menyebabkan negara terus terjebak dengan peningkatan hutang yang berterusan, malah kini diancam pula oleh penguasaan China melalui penjualan aset dan tanah serta penyerahan kontrak besar-besaran kepada kuasa besar tersebut.

Lantaran itu, kebijaksanaan rakyat atau pengundi dalam memilih kerajaan atau calon Perdana Menteri dalam bapa segala pilihanraya kali ini adalah amat penting sekali.

Kali inilah satu-satunya peluang bagi rakyat menunjukkan kebijaksanaan mereka. Jika kali ini kebijaksanaan gagal diserlahkan, sebaliknya rakyat lebih terikut dengan sentimen kaum dan agama yang sempit dalam memilih parti dan calon Perdana Menteri, mereka seharusnya menyalahkan diri sendiri kiranya kehidupan masa depan tidak berubah dan kesusahan terus bertimpa-timpa.

Sehingga ini, secara umumnya kita ada tiga calon Perdana Menteri daripada tiga parti yang berbeza yang akan bertarung dalam pilihanraya akan datang.

Mereka ialah Najib daripada BN, Tun Mahathir Mohamad daripada Pakatan Harapan dan Hadi Awang mewakili Gagasan Sejahtera.

Dua daripada parti tersebut, Pakatan Harapan dan Gagasan Sejahtera sudah pun membentangkan manifesto masing-masing sebagai pemberitahuan kepada rakyat mengenai apa yang mereka tawarkan dan apa yang mahu dilakukan jika berjaya menubuhkan kerajaan nanti, manakala BN dijangka berbuat demikian pada 7 April depan.

Namun demikian, baik pembentangan manifesto oleh Pakatan Harapan atau Gagasan Sejahtera, mahupun oleh BN pada 7 April nanti, semuanya adalah melalui penyampaian secara sehala saja.

Rakyat hanya berpeluang mendengar, mengngguk atau menggeleng kepala, tetapi tidak ada kesempatan sama sekali untuk menyoal balik berkenaan manifesto yang dibentangkan itu.

Untuk berlaku adil kepada semua parti dan untuk melihat sama ada faktor usia seseorang calon itu penting atau tidak berbanding kemampuannya berfikir serta berhujah, maka ada baiknya diadakan debat terbuka yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, baik melalui media arus perdana atau ribuan saluran media alternatif yang lain yang melibatkan ketiga-tiga calon Perdana Menteri itu.

Beri peluang seluas-luasnya untuk Najib, Tun Mahathir dan Hadi berdebat dan mempertahankan manifesto atau tawaran masing-masing.

Kemudian, mereka juga harus dibenar menyoal antara satu sama lain, selain rakyat turut diberi peluang mengajukan soalan-soalan kepada calon-calon Perdana Menteri tersebut.

Adalah lebih baik jika debat terbuka itu bukan saja diadakan sekali, tetapi sekurang-kurangnya tiga kali sepanjang tempoh berkempen nanti.

Dengan itu, biar rakyat sendiri dapat menilai dengan adil mana satu yang lebih baik dan meyakinkan untuk membawa negara ini ke arah yang lebih baik, meyakinkan dan membawa kesejahteraan.

Berbalas-balas hujah dan mengata antara satu sama lain antara Najib, Tun Mahathir dan Hadi, begitu juga mempertikaikan tua atau muda, kemudian diikuti pula oleh penyokong masing-masing yang kadangkala terlebih ghairah dalam menyampaikan hujah sebagaimana yang sedang berlaku sekarang, sebenarnya bukanlah suatu keadaan yang baik, membawa kematangan dan kesejahteraan kepada rakyat, negara dan sistem demokrasi kita.

Anjakan paradigma harus dilakukan segera dan Najib sebagai calon Perdana Menteri paling muda berbanding ketiga-tiganya, ditambah kuasa sedang digenggamannya, beliau seharusnya paling awal menunjukkan keberaniannya dengan memulakan era debat terbuka ini bagi kepentingan kita semua.

Jika tidak, apa lagi kelebihan yang ada pada Najib dalam beliau selalu berbangga dengan usianya yang lebih muda itu?

>> Komentar bebas Shahbudin Husin, penganalisa isu semasa I 25 Mac 2018.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...