Sunday, May 27, 2018

'Bail out' 1MDB terbesar dalam sejarah, kata Guan Eng



Bekas perdana menteri patut bertanggungjawab ke atas skandal rasuah 1MDB yang juga melibatkan 'bail out' (suntikan dana kerajaan) yang paling besar dalam sejarah negara bagi menyelamatkan syarikat pelaburan itu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

"Datuk Seri Najib Razak mesti bertanggungjawab ke atas skandal korupsi 1MDB.

"Kementerian Kewangan (MoF) telah membayar pelbagai tuntutan kewangan yang dikenakan ke atas 1MDB sejak April 2017. Pembayaran tersebut kini berjumlah RM6.98 bilion. Sebanyak RM954 juta lagi perlu dibayar sebelum akhir tahun ini.

"Walau bagaimanapun, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menulis bahawa ia “adalah salah untuk memanggil pembayaran-pembayaran tersebut sebagai satu bailout” pada hari Jumaat lepas dalam laman Facebooknya," kata Lim dalam suatu kenyataan hari ini.



Lim mengulas kenyataan Najib pada 25 Mei 2018 yang menyangkal 1MDB menerima hampir RM7 bilion dalam bentuk "bail out" (suntikan dana) daripada kerajaan BN sebelum ini.

"Bukan sahaja ini mengelirukan, ia merupakan percubaan bermotifkan politik untuk mengaburkan fakta-fakta," dakwa Najib yang juga bekas menteri kewangan.

Bagaimanapun, Lim Guan Eng menyifatkan 1MDB sebagai 'bail out' yang terbesar dalam sejarah negara.

"Oleh sebab itu, label pembayaran RM6.98 billion yang dibuat MoF bagi pihak 1MDB sebagai ‘bailout’ adalah cukup tepat.

"Malah ia merupakan ‘bailout’ terbesar dalam sejarah Malaysia.

"Justeru, tak perlulah kita berbahas sama ada bayaran-bayaran ini merupakan ‘bailout’ atau tidak," kata Lim.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...