Sunday, May 27, 2018

Mukhriz aetuju sandang jawatan Presiden KFA

MUKHRIZ SETUJU SANDANG JAWATAN PRESIDEN KFA

ALOR SETAR, 27 Mei: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan persetujuan untuk menyandang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sekali lagi bagi memenuhi sokongan majoriti penyokong Lang Merah.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira permintaan, reaksi dan maklum balas penyokong Lang Merah yang dibuat menerusi kaji selidik dalam laman sosial sebelum ini, yang mahukannya kembali memegang jawatan tersebut.

“Permintaan penyokong untuk saya kembali terajui jawatan itu tinggi walaupun ada yang rasa tidak sesuai, tapi masa ini kecenderungan saya adalah untuk terima tawaran sebagai Presiden KFA dan beri yang terbaik bagi membolehkan pasukan kita kembali menjulang piala kemenangan.

“Selepas menjadi Menteri Besar, memang saya diberi tanggungjawab seperti Presiden jadi saya ingat sudah alang-alang buat kerja, baik saya terus pegang jawatan tersebut. Tambahan pengurusan KFA juga berharap sangat saya kembali sebagai presiden,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.



Katanya buat masa ini beliau akan menerajui KFA kecuali ada pihak lain yang berhasrat mahu menjadi Presiden dalam mesyuarat agung tahunan yang akan diadakan pada bila-bila masa nanti.

Sementara itu, Mukhriz berkata beliau merasakan terdapat seperti harapan yang memuncak diletakkan atas bahunya serta rakan-rakan lain bagi membolehkan membentuk sebuah pasukan yang jitu dan mantap.

“Ini tidak boleh dibuat seorang diri, perlu kerjasama semua pihak untuk menjayakannya. Ia memerlukan komitmen tinggi selain kos perbelanjaan yang besar tapi setakat ini semuannya baik jadi saya harap ia dapat diterjemahkan dalam bentuk kemenangan di padang.

Dalam pada itu, ditanya mengenai beberapa jawatan kosong dalam organisasi KFA, beliau berkata pihaknya sudah mempunyai nama-nama calon yang sesuai, namun ia masih sedang dalam pertimbangan dan akan diumumkan apabila dipersetujui kelak.

http://pru14.frontdesk.com.my/bm/index.php/2018/05/27/mukhriz-setuju-sandang-jawatan-presiden-kfa/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...