Sunday, July 29, 2018

Mukhriz - Kerajaan Negeri Kedah akan cari penyelesaian terbaik atasi isu Gunung Pulai


ALOR SETAR - Kerajaan negeri dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung bantahan penduduk mengenai cadangan pembinaan kuari di sekitar Gua Kelambu, Gunung Pulai, di sini, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya sudah membincangkan mengenai perkara itu secara terperinci ketika mesyuarat Exco berlangsung, petang kelmarin.

Katanya, mengikut laporan yang diterima oleh pihaknya mendapati Yayasan Islam Negeri Kedah (Yiked) mematuhi semua syarat dan proses yang ditetapkan.

“Malah soal penduduk di situ patut diberi perhatian. Difahamkan, pihak pemaju ada membuat permohonan untuk mengambil sedikit tanah rizab Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS), tetapi JPS tidak setuju. Untuk menggantikan tanah itu, pemaju mohon untuk mengambil tanah orang kampung termasuk kawasan bendang.

“Saya tidak pasti apa penyelesaian dalam urusan ini, tetapi melihat bantahan penduduk di situ seolah-olah, pemaju memang tidak dapat persetujuan orang kampung. Tetapi berdasarkan laporan diterima kawasan bendang sudah mula ditambun,” katanya.

Katanya, tindakan itu sudah tentu akan menerima bantahan penduduk kampung di situ.

“Saya berpandangan bahawa ruang sepatutnya perlu diberi perhatian dan janganlah sampai tahap macam itu sekali.


“Walaupun pihak kami tidak terima laporan tetapi nampaknya kalau ada penduduk bantah maka, kerajaan negeri harus lakukan sesuatu untuk betulkan keadaan ini,” katanya.

Mengenai cadangan pembinaan kuari di sekitar Gua Kelambu, Gunung Pulai, di Baling, Mukhriz berkata, Exco Alam Sekitar, Simon Ooi Tze Min sudah meninjau lokasi berkenaan dan mengakui kawasan itu mempunyai potensi untuk dijadikan kawasan pelancongan.

“Namun begitu, kelulusan untuk tapak berkenaan sudah diberikan sejak tahun 1996. Kalau nak rungkai balik itu, kita pun nak elak kerajaan negeri disaman oleh syarikat walaupun ia merupakan anak syarikat kerajaan negeri kerana melibatkan pihak swasta yang lain.

“Perkara ini akan dipertimbangkan untuk mencari penyelesaian yang terbaik termasuklah mengambil kira maklumbalas daripada penduduk kawasan...kalau saya sempat, saya akan turun padang. Sebelum itu, wakil-wakil kerajaan akan turun padang,” katanya.

Pada Ahad ini, Tze Min akan bersama-sama dengan pihak Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) akan mengadakan lawatan ke Gunung Pulai Baling dan juga ke Hutan Simpan Bukit Enggang Sik.

Sebelum ini, penduduk di kawasan itu mendesak kerajaan negeri selamatkan Gunung Pulai dan membantah operasi kuari batu dilaksanakan di gunung tersebut.

Penduduk nyatakan hasrat untuk berjumpa Mukhriz dalam tempoh dekat untuk serahkan surat bantahan. Jika tiada tindakan baru, penduduk bercadang untuk mengambil tindakan mahkamah.ISUKelulusan untuk tapak berkenaan sudah diberikan sejak tahun 1996.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...