Sunday, February 3, 2019

Saman Sarawak Report : Takziah Penyelesaian Tanpa Kesudahan

 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiShRbOcq94gwiGv3STjJyR5gmxz1pv6-WoRRjtmF_bm3W3v9fI2aeEWsdJvLoOGd9wnlLsClV-sixFw3fWa49rSGqhTSS8fgWjS146YQhlstn7RuofsavODljSmTMrhV-O1qyUhRk3_A/s1600/PAS+2.jpeg

Takziah.

Kepada siapa senandung takziah ini hendak disampaikan?

Saya sendiri tidak pasti kepada siapa ucapan takziah ini hendak disampaikan.

Apabila laporan Sarawak Report bertarikh 6 Ogos 2016 yang menyebut ‘ - RM 90 million is widely reckoned to have flowed into the top echelons of Pas/RM 90 juta yang telah dianggap menjadi pengetahuan meluas telah mengalir kepada pemimpin-pemimpin tertinggi Pas’ masih terpampang, sedang armada para pejuang/peguam yang terbang ke London dengan wajah singa dan berpatah pulang dengan terkulai layu - ia se akan mengesahkan laporan itu adalah benar.

Selepas menghabiskan lebih dari RM 2 juta wang yang sebahagiannya dipungut dari ahli dan penyokong - yang mendapat laba hanya peguam di London dan kedudukan laporan Sarawak Report sedikit pun tidak terusik.

Rakaman audio se orang pemimpin muda Pas yang membuat pengakuan sememangnya wujud perbuatan menerima wang dari sebuah parti yang pernah digelar asabiyah oleh pemimpin parti bertunjangkan Islam gagal mendapat peluang untuk ditolak kesasahihannya.

Pengumuman oleh seorang pemimpin kanan parti itu menjelang PRU lalu bahawa Presiden mereka telah mendapat kejayaan pertama dalam saman berkenaan berlalu dibawa angin ‘penyelesaian tanpa perlawanan’ dan ‘penyelesaian tanpa kesudahan’.

Tajuk lebih penting di sini ialah gejala politik wang yang berjangkit, jika benar dan setakat ini kebenarannya tidak tersangkal, kepada parti Islam.

Sedangkan, ketika negara dan bangsa kita boleh runtuh kerana gejala rasuah dan penyelewengan, yang diharapkan untuk menjadi penyelamat adalah parti-parti alternatif khususnya yang berjenama Islam.

Parti berjenama Islam memperaga pemimpin dan ahli sebagai bencikan godaan dunia, cintakan pahala dan takutkan dosa. Bersikap jujur dalam perjuangan dan bukan mengejar pangkat dan harta. Tidak termakan dengan godaan dunia dan paling dapat dipercayai.

Apa jadi jika segelintir pemimpin mereka telah menggadaikan prinsip perjuangan dengan turut menadah tangan kepada parti perasuah?

Cukup dengan beberapa ekor ‘kuda perhiasan dan ketulan emas dan perak’ yang diterima, brek perjuangan ditarik dan peluru serangan dialihkan halanya kepada musuh politik kepada parti berkuasa.

Apa akan kita katakan jika Muhamad Al Fatih berpaling dari menawan kota Konstantinapol semata-mata kerana Raja Rom menghadiahkan beberapa ekor kuda dan barang perhiasan? Lalu Muhamad Al Fatih berpatah balik sambil berlenggang menaiki kuda Raja Rom dan menghentikan misi menawan kota Istanbul selama-lamanya.

Belot?

Telah dibeli?

Berpaling tadah?

Hasilnya, persekongkolan yang kini telah menjadi terbuka.

Kepada siapa bangsa dan negara akan berharap?

Begitu mudah sebuah perjuangan digadaikan?

Dari sinilah, jauh di lubuk hati saya, episod ini adalah sebuah tragedi malang. Amat malang.

Nama baik sebuah parti yang dulu menjadi pengharapan rakyat telah tercemar.

Dalam dunia pemikiran yang jernih, kegagalan mengambil peluang memadamkan dakwaan Sarawak Report, perlu diikuti oleh sesuatu tindakan.

Sama ada plaintif sendiri mengambil tanggung jawab melepaskan jawatan secara terhormat. Atau pemimpin yang terlibat menerima sesuatu mengambil langkah mulia mengundurkan diri. Atau pemimpin dan ahli yang bermaruah mengusulkan sesuatu bagi memulihkan integriti parti. Dalam setengah keadaan, integriti Islam juga kerana parti berkenaan sentiasa mengasosiasi partinya dengan Islam.

Dalam dunia tarbiyah, selalu disebutkan, perjuangan lebih mahal dari individu.

Takziah itu, akhirnya, saya berikan kepada diri saya sendiri, kepada rakyat yang pernah berharap, kepada penyokong yang penuh harap, kepada negara yang kehilangan alternatif lebih berkat dan kepada mereka yang kecundang dalam percaturan politik wang.

Takziah yang mendalam.

HUSAM MUSA
Naib Presiden Parti Amanah Negara
3 Februari 2019

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...