Saturday, February 2, 2019

SENANG CERITA, PAS DIKIRA TELAH TEWAS KEPADA SARAWAK REPORT


Dalam satu tindakan mengejut dan tiba-tiba, Presiden Pas Hadi Awang dilapor menawarkan penyelesaian luar mahkamah dalam saman yang difailkannya terhadap Sarawak Report.

Penyelesaian luar mahkamah yang diterima dan disambut baik oleh Sarawak Report itu secara muktamadnya memutuskan:-

Hadi Awang menarik balik tuntutan terhadap defendan; Clare Rewcastle Brown selaku defendan menarik balik tuntutan balas terhadap Hadi Awang; Tiada perintah berkaitan kos; dan
Kedua-belah pihak adalah tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan mengenai terma-terma berkaitan penyelesaian itu.

Penjelasan mengenai penyelesaian luar mahkamah ini terkandung dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Politik Hadi Awang, Syahir Sulaiman.


Kepada yang mungkin terlupa, saman yang difailkan oleh Hadi Awang terhadap Sarawak Report dan Clare Rewcastle Brown adalah berhubung laporan portal tersebut yang mendakwa Pas menerima RM90 juta daripada Najib Razak.

Wang tersebut dikatakan diterima oleh Pas berikutan kesediaannya berbaik-baik dengan Najib dan UMNO menjelang PRU14 yang lalu.

Sebagai tindakan menafikan pernah menerima wang tersebut, Pas dan Hadi Awang telah memfailkan saman fitnah di mahkamah London terhadap Sarawak Report dan Clare Rewcastle Brown.

Saman tersebut sudah pun berjalan, malah sebagai usaha membiayai yuran guaman yang dilaporkan mencecah jutaan ringgit, kutipan derma daripada ahli-ahli Pas telah pun digerakkan bagi tujuan itu.

Dalam beberapa kenyataan oleh beberapa pemimpin Pas kemudiannya, mereka juga melahirkan keyakinan dapat memenangi saman tersebut kerana kononnya ia adalah fitnah yang terang lagi nyata.

Tetapi, apa sudah jadi dengan penyelesaian luar mahkamah yang dilakukan oleh Hadi secara tiba-tiba ini?

Jika sejak awal begitu yakin dakwaan Sarawak Report itu suatu fitnah, mengapa meminta penyelesaian luar mahkamah?

Apakah Pas tidak yakin lagi untuk memenangi saman tersebut?

Adakah Pas sudah tidak mampu membiayai yuran guamannya dan tidak mahu terus membebankan ahli-ahlinya dengan kutipan derma demi kutipan derma?

Ataukah kerana hubungan kerjasama Pas dengan UMNO sekarang sudah menjadi bukan lagi rahsia, maka Hadi Awang beranggapan tiada keperluan lagi meneruskan saman?

Habis, bagaimana dengan dakwaan menerima wang RM90 juta itu?

Yang menghairankan di sini ialah penyelesaian luar mahkamah itu tidak terkandung sama sekali apa-apa persetujuan yang menghendaki Sarawak Report menarik balik laporan atau memohon maaf kepada kepada Pas dan Hadi Awang berkaitan dakwaan menerima wang RM90 juta daripada Najib itu.

Secara langsung bererti laporan Sarawak Report berkenaan dengan dakwaan RM90 juta itu adalah kekal berada dalam talian dan boleh dibaca oleh sesiapa juga sehinggalah ke hari kiamat nanti.

Secara tidak langsung dari segi tanggapan umum, dengan tindakan menarik balik saman ini, ia bermakna Sarawak Report dianggap menang, manakala Pas telah kalah, tewas dan kecundang dalam perjuangannya menegakkan kebenaran berhubung dakwaan menerima wang RM90 juta daripada Najib.

Hadi Awang, melalui penyelesaian luar mahkamah ini jelas dilihat tidak sedia dan tidak mampu mempertahankan hujah bahawa beliau dan Pas tidak pernah menerima wang tersebut dan keadaan ini tentunya akan memerangkap parti itu dalam pelbagai andaian yang berterusan berkaitan dengan penerimaan wang tersebut. (ShahbudinHusin 02/02/2019)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...