Tuesday, November 19, 2019
POLITIK 'ZERO SUM' YANG SEDANG MEMBUNUH PH
Jamzuri Ardani
'Zero sum' bermaksud, keuntungan utk satu pihak menyebabkan kerugian untuk pihak lain. Keseronokan untuk satu pihak bermaksud kesedihan untuk pihak lain. Sokongan dari satu pihak membawa penentangan dari pihak lain.
Di dalam politik, prinsip 'zero sum' ini digunakan oleh pelobi politik untuk memastikan polisi kerajaan memihak kepada kepentingan mereka, dan biasanya pertembungan kepentingan akan berlaku. Di sinilah pertimbangan biasanya dibuatkan berdasarkan prinsip 'zero sum'.
Di Malaysia, kegagalan besar kita ialah apabila membenarkan dikotomi perkauman dan anutan agama di kalangan rakyat dimasukkan dalam angkubah perkiraan politik 'zero sum'.
Lebih buruk, sikap sebahagian kita lebih suka mempertikaikan apa yang dinikmati oleh pihak lain. Ada orang Melayu yang suka pertikai peruntukan utk rumah ibadat dan sekolah jenis kebangsaan. Padahal kerajaan juga memberikan peruntukan yang besar untuk pembinaan masjid dan surau, serta sekolah-sekolah agama. Tetapi, kegelisahan mereka lebih kepada peruntukan yang dinikmati oleh kelompok bukan Melayu.
Begitu juga halnya dengan sebahagian masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam. Ada yang suka mempertikaikan polisi-polisi yang memihak kepada Bumiputera dan agama Islam. Ada juga yang masih tidak faham tentang sensisitiviti masyarakat majmuk dalam isu-isu tertentu. Kenyataan dan tindakan yang menyentuh sensitiviti dibuat sewenangnya dengan cuai dan jahat.
Kesannya hanya akan mempertajamkan dikotomi dan polarisasi perkauman dan agama di kalangan rakyat.
Kerajaan yang berwibawa perlu tegas dan adil menangani isu-isu keseimbangan di kalangan masyarakat majmuk melibat kepentingan kaum dan agama. Isu-isu ini sangat mudah membakar emosi orang ramai sekiranya gagal diurus dengan baik.
Antara kelemahan ketara kerajaan PH dalam urusan ini ialah ia cuba bersikap adil tetapi tidak tegas. Tanpa ketegasan, ada kalanya keadilan dilihat sebagai satu kelemahan yang diambil manfaat oleh pembangkang. Ini akan menjadi lebih buruk apabila komunikasi terhadap polisi-polisi yang dilaksanakan tidak berjaya disampaikan dengan berkesan.
Kesimpulannya, politik 'zero sum' boleh membunuh kewibawaan kerajaan PH.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment